Jenama stoking tempatan, Goodpairsocks memulakan lembaran baharu dalam perjalanan perniagaannya. Kini dengan pembukaan stor fizikal terbaharu di The Zhongshan Building, sebuah hab kreatif yang cukup terkenal dalam kalangan pencinta seni dan budaya ibu kota.
Terletak di bangunan empat tingkat berwarna putih di Jalan Rotan, Kampung Attap, lokasi ikonik ini bukan hanya menjadi ruang komersial. Ia malah terkenal sebagai pusat penganjuran acara seni, festival kreatif dan pelbagai aktiviti komuniti yang meraikan sejarah serta warisan bandar. Bangunan yang dianggarkan berusia lebih 60 tahun itu telah melalui proses pemuliharaan dan penambahbaikan. Kini menjadi antara mercu tanda kreatif paling dikenali di Kuala Lumpur.
Dengan seni bina era 1950-an yang masih dikekalkan, The Zhongshan Building menempatkan pelbagai perniagaan kreatif termasuk galeri seni, kedai buku, perpustakaan, kafe, studio reka bentuk dan ruang pameran. Ini sekali gus menjadikannya destinasi tumpuan masyarakat pelbagai lapisan.


Pembukaan Goodpairsocks di lokasi bersejarah ini dilihat selari dengan identiti jenama yang menampilkan reka bentuk kreatif dan cita rasa tempatan. Pembukaan ini juga dijangka memberi peluang pelanggan menikmati pengalaman membeli-belah lebih dekat sambil menghayati suasana unik yang ditawarkan di sana.

Diasaskan pada 2014 oleh Sam Wong dan pasangannya, Goodpairsocks dikenali dengan koleksi stoking rekaan khas yang direka dan dihasilkan di Malaysia. Setakat hari ini, mereka mempunyai komuniti pelanggan yang semakin berkembang di dalam dan luar negara.

