Langgan

Fokus Fesyen: 'Coming of Age' oleh Shals meraikan perjalanan dan evolusi Shalma Ainaa

Transformasi yang telah lama dinantikan oleh usahawan dan pempengaruh ini.
3 minit untuk membaca
Published: September 17, 2024
Fotografi: Richy Chye/ Yipieyaya Studio

Sesiapa yang aktif di media sosial pasti mengenali Shalma Ainaa. Juga terkenal sebagai pengacara TV dan influencer, namanya paling sinonim dengan penggerak di sebalik Shals—sebuah jenama fesyen kontemporari yang dikenali untuk pendekatannya yang mengaburi batas antara stail maskulin dan feminin. Baru-baru ini, Shals mencatatkan satu kejayaan penting dengan penampilan sulungnya di Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW 2024), sebuah usaha yang disambut dengan pujian sebulat suara.


Jenama Shals ditubuhkan 13 tahun yang lalu, tetapi minat Ainaa dalam bidang fesyen bermula sebelum itu lagi. Sebelum memasuki universiti, Ainaa berhasrat menyambung pengajiannya dalam subjek reka bentuk fesyen. Namun, atas permintaan ayahnya, dia berkompromi dan sebaliknya memilih untuk fokus kepada aspek perniagaan fesyen. "Walaupun saya belajar perniagaan fesyen, minat pada rekaan sentiasa ada dan ia telah menjadi sebahagian daripada diri saya untuk masa yang lama," katanya.


Setelah sekian lama memberi fokus kepada bisnes dan penjenamaan peribadinya sendiri sebagai influencer—termasuk menghadiri Minggu Fesyen Milan, Paris dan New York pada tahun lalu—Ainaa menjadi lebih berinspirasi untuk mencipta koleksi runway sendiri. "Memerhati jenama antarabangsa dan melihat sendiri proses rekaan mereka membantu saya membina keyakinan untuk akhirnya melangkah ke pentas peragaan," kenangnya.

Foto: Shals

Selain itu, salah satu dorongan Ainaa datang daripada kerjasamanya dengan pereka tempatan, Kit Woo, mencipta sut khusus untuk konsert Afgan—seorang penyanyi tersohor dari Indonesia—di Kuala Lumpur beberapa bulan yang lalu. "Pengalaman itu membuatkan saya sedar bahawa saya juga boleh mereka pakaian ready-to-wear. Saya hanya perlu mempercayai diri dan naluri sava," ujarnya.


"Sebelum penampilan sulung di KLFW ini, saya tidak menggelarkan diri saya sebagai pereka, tetapi lebih kepada kurator. Namun, semenjak mempamerkan koleksi sava, ia bagai sebuah impian yang menjadi kenyataan."


Koleksi runway pertamanya, 'Coming of Age', mencerminkan tema perjalanan jenama Shals dan perjalanan peribadi Ainaa. "Tema ini melambangkan pertumbuhan dan kematangan, serta mencerminkan bagaimana Shals dan saya telah berkembang bersama," jelas Ainaa. Koleksi ini menawarkan stail kontemporari dengan potongan oversized, serta kasut dan aksesori yang melengkapkan sut custom, vest, dan skirt pleated dipakai atas seluar, dengan perhatian khusus pada perincian yang bersih dan elegan. Palet warnanya merangkumi kelabu, mentega dan merah ceri.

Foto: Shals

Ainaa menjelaskan, "Saya suka tailoring lelaki dan gaya oversized. Pada mulanya, agak sukar untuk meyakinkan pelanggan atas reka bentuk kami yang agak minimal, tetapi saya tetap setia kepada apa yang saya percayai. Dan kini, kami berjaya tukar mindset mereka. Walaupun nampak longgar, pakaian oversized boleh memberi kuasa dan keyakinan dan yang paling penting sekali, sangat selesa apabila dipakai!"


Kami berbincang pula tentang mesej dan matlamat pertunjukan tersebut dan Ainaa berkata, "Saya suka memperkasakan komuniti dan menyebarkan tenaga positif. Matlamat saya adalah untuk memberi inspirasi dan menunjukkan bahawa jika saya boleh mencapai impian saya, mereka juga boleh." Dia menambah, "Walaupun proses yang saya lalui dipenuhi dengan tekanan dan keraguan diri, tetapi saya tetap berbangga dengan pencapaian kami."

Foto: Shals


Melihat ke hadapan, Ainaa teruja tentang masa depan industri fesyen tempatan. "Terdapat banyak potensi untuk pertumbuhan. Sokongan terhadap jenama tempatan telah mengukuh dan ia adalah usaha semua bersama," katanya. Nasihat Ainaa kepada pereka muda yang bercita-cita untuk melancarkan bisnes sendiri adalah untuk bersabar dan tekun. "Percayalah kepada bakat anda, kekal sabar dan jangan sekali-kali berputus asa. Perjalanan ini telah mengajar saya bahawa ketekunan adalah kunci kejayaan."


* Artikel ini adalah sebahagian daripada rencana Fesyen di Ambang Perubahan dalam ELLE Malaysia Isu September 2024. Dapatkannya di pasaran sekarang
.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down