
Beauty is pain. Dan, dari zaman dahulu kesempurnaan visual sering datang dengan harga yang tinggi, di mana kesihatan menjadi taruhan. Sebagai contoh, korset menjadi simbol kewanitaan dan status sosial, tetapi pemakaiannya mengakibatkan kesukaran bernafas, tekanan pada organ dalaman dan dalam kes ekstrem, merosakkan tulang rusuk. Begitu juga dengan ‘lotus feet’ di China, di mana perempuan mengikat kaki sejak kecil untuk menghentikan pertumbuhan kaki.

Walaupun era moden tidak lagi menuntut pengorbanan yang melampau, ancaman terhadap kesihatan masih tidak hilang. Realitinya, hanya sekadar berubah bentuk sahaja. Kini, kesakitan berfesyen tidak lagi datang secara fizikal, namun secara halus. Tanpa disedari, fabrik harian yang kita sarungkan berkemungkinan dipenuhi bahan kimia yang tidak kelihatan pada mata kasar. Toksiknya secara perlahan meresap ke dalam kulit, memberi kesan negatif pada jangka masa panjang. Satu ancaman senyap yang cukup menakutkan, bukan?
Fabrik Inovatif atau ‘Silent Killer’?
Dalam usaha mempertingkatkan fungsi dan ketahanan fabrik, setiap pakaian di pasaran telah melalui pelbagai proses kimia tertentu. Hasilnya, proses inovatif dengan teknologi moden ini mengeluarkan helaian yang tahan kedut, kalis air, fleksibel mengikut bentuk badan, mengekalkan warna pada kain dan macam-macam lagi. Proses penghasilan ini biasanya melibatkan pendedahan kepada bahan kimia toksik seperti PFAS (Per- and Polyfluoroalkyl Substances), formaldehid, BPA (Bisphenol A) dan logam berat. Kesemua bahan ini mendatangkan pelbagai risiko kesihatan yang serius.
Mampukah Fesyen Beralih Kepada Penggunaan Bahan yang Tidak Bertoksik?

Ya. Dalam usaha ini, perubahan signifikan dalam pengeluaran dan reka bentuk yang lebih beretika merupakan langkah yang tidak dapat dielakkan. Fesyen pada kebiasaannya dikaitkan dengan keindahan, kreativiti dan keunikannya, tetapi memudaratkan kesihatan atau tidak menitikberatkan amalan mesra alam. Namun demikian, seiring dengan perubahan zaman, semakin banyak jenama fesyen yang mula memberi penekanan ke arah kebaikan bersama - memilih sumber yang beretika, meminimumkan pembaziran dan menerapkan penggunaan bahan daripada serat semula jadi seperti kapas organik, fabrik kitar semula atau alternatif kulit yang lebih lestari.
“Kami memantau dan mengurangkan penggunaan serta pelepasan bahan kimia berbahaya untuk mencapai matlamat dalam menghapuskan bahan kimia berbahaya daripada pembuatan produk dan rantaian bekalan kami.”
ANAABU
“Kami berbangga untuk menyatakan bahawa fabrik gabardin yang digunakan untuk Heritage Trench Coats kami diperbuat daripada 100% kapas organik yang ditenun di kilang pembuatan warisan Burberry di Yorkshire, England”
Burberry
“Kami memantau dan mengurangkan penggunaan serta pelepasan bahan kimia berbahaya untuk mencapai matlamat dalam menghapuskan bahan kimia berbahaya daripada pembuatan produk dan rantaian bekalan kami.”
Ralph Lauren
Langkah progresif ini bukan sahaja memastikan fesyen terus mengekalkan estetika dan kualiti yang tinggi, malah turut mengurangkan kesan negatif terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar. Ini secara jelas membuktikan bahawa kedua-dua konsep ini bukan sahaja mampu beriringan, malah boleh berkembang seiring dengan pengguna yang semakin peka dan berpengetahuan tentang kesan-kesannya. Jadikan fesyen ke arah yang lebih hijau dan lebih sihat untuk semua!
*Baca artikel penuh menerusi majalah ELLE isu April 2025.