
Dalam dunia eyewear, satu jenama benar-benar sinonim dengan inovasi, estetika futuristik dan gaya premium — and you would truly have to be living under a rock untuk tidak mengenalinya. Berasal dari Seoul, Korea Selatan, Gentle Monster telah lama melangkaui definisi cermin mata biasa. Daripada kaca mata bacaan sehinggalah ke kaca mata hitam, setiap rekaan hadir sebagai aksesori dan karya seni yang berani dan cukup ekspresif. Dalam erti kata lain, lambang gaya masa kini yang sebenar.
Mengalu-alukan tahun 2026, jenama ini memperkenalkan The Bouquet Collection, satu rangkaian bingkai premium yang menampilkan elemen lilitan dan ikatan yang unik, diilhamkan daripada struktur organik botani, khususnya seni bina halus batang dan bunga tumbuhan. Koleksi ini menyeimbangkan estetika lembut dengan ekspresi artistik yang berani. Siluet yang mengalir digabungkan dengan perincian bertekstur, menghasilkan rekaan yang seolah-olah hidup dan mekar. Perpaduan antara unsur alam dan futurisme ini jelas terpancar menerusi rekaan bingkai yang lebih dramatik.

Sebagai nadi koleksi, rekaan utama tampil menerusi Bouquet 02 Wraparound Glasses dalam kemasan Glossy Silver Mixed Materials. Dengan binaan struktur yang kompleks serta hiasan manik berbentuk flora, bingkai ini terasa futuristik namun romantik pada masa yang sama. Rekaan ini dihidupkan oleh wajah kempen, FKA twigs, yang mempunyai aura selari dengan visi koleksi ini.
Filem kempen yang mengiringi koleksi ini — diarahkan bersama oleh FKA twigs dan artis visual Jordan Hemingway — memperkukuh naratif artistiknya. Diiringi lagu baru FKA twigs yang belum pernah didedahkan sebelum ini, visual surreal tersebut menangkap tenaga emosi sekuntum bunga yang sedang mekar. Hasilnya sebuah karya seni hidup yang mengaburkan sempadan antara muzik dan reka bentuk.

Antara rekaan yang turut mencuri tumpuan ialah Futura 03 Wraparound Sunglasses daripada Bouquet Collection. Diperbuat daripada logam emas berkilat dengan lensa coklat, siluet wraparound memberikan sentuhan futuristik yang seimbang dengan keanggunan tona metalik hangat.
ELLE berpeluang untuk membuka kotak Koleksi Bouquet secara eksklusif, menyaksikan sendiri kehalusan tekstur, perincian dan mutu pembuatannya. Tonton sesi unboxing kami di bawah dan selami dunia Gentle Monster.

