Memperhebat sesebuah rekaan yang bertunjangkan kefungsian bukan kerja mudah. Integrasi fesyen dengan konsep, ‘dibancuh’ lagi dengan dasar kebergunaan, dalam satu gagasan pasti membabitkan kreativiti yang lebih universal. Apalagi bila mahu menjadikan ia item ‘must-have’ untuk musim tertentu dan tanpa perlu melunturkan estetikanya. Jenama Delvaux bijak dalam perpaduan idea antara pemahaman tersebut dengan rekaan beg terbarunya.
Delvaux menampilkan beg tangan Le Pin, yang menginterpretasikan nada sofistikated dalam rupa atau siluet minimal. Lantas, mencorakkan penggayaan yang bersifat menyeluruh dan tidak membatasi penggunaannya.
ELEGAN KASUAL DELVAUX LE PIN SWING XL
Bayangkan, beg tangan yang peranannya untuk memudahkan kegunaan membawa barang dan mencantikkan penggayaan, ditambah lagi keterserlahan siluet beg untuk anak muda. Usah cakaplah fasal kapasiti yang luas, sangat praktikal untuk pemakaian harian. Semua ini terbit daripada cetusan ilham tiga aspek utama yakni : gaya glamor releks era 70-an, ditambah dengan penerokaan landskap acuh tak acuh pinggir lautan Mediterranean serta konstruksinya pula dikutip daripada feedbags untuk keldai.
Beg Delvaux Le Pin membuat kemunculan pada tahun 1972 dengan memperkenalkan tapak beg berlelubang dan struktur melengkung yang menyempurnakan siluet. Dalam usaha meneruskan legasi Le Pin, Delvaux menampilkan rangkaian Le Pin Swing XL – dengan skala yang lebih besar (dibandingkan rangkaian yang terdahulu), memuaskan dan proportion yang tidak mengkomplekskan penggayaan.
Merencanakan jalinan cerita yang unik, tapak berlelubang melengkung beg Le Pin Swing XL ini memimik bentuk senyuman dan Delvaux menterjemahkan rekaan ini sebagai citra atau simbol kemesraan. Perincian berlelubang ini dihasilkan secara profesional oleh artisan-artisan berpengalaman, yang terbukti mencipta mutu buatan halus dan berkarakter.
Melanjutkan bicara fasal beg Delvaux Le Pin Swing XL, ketrampilan dan keistimewaannya terlihat pada fleksibiliti penggayaan. Dan pada masa yang sama, imejnya juga tak makan dek zaman. Semestinya direka khusus buat individu yang gaya hidupnya bak nomad moden atau sentiasa on-the-go, Delvaux Le Pin Swing XL adalah beg tangan yang tepat untuk dijadikan sebagai pelengkap gaya.