Luas dan terasa puas. Pengalaman kunjungan ke butik baharu Levi’s yang terletak di Suria KLCC umpama mencelangkan mata. Berbeza dengan butiknya yang lama, kerana kali ini ia lebih besar dan terbit pengalaman yang seakan-akan mengangkut kita ke alam peralihan Levi’s. Ia memperelokkan rupa dengan binaan hiasan skrin LED gergasi pada bahagian pintu masuknya. Visual yang ditampilkan menggodai mata, memaparkan kandungan digital multimedia bertenaga dan pasti tidak mendinginkan pandangan saat menjangkah masuk.
Cahaya bahagian dalaman butiknya juga terang. Dilengkapi hiasan – seperti binaan dalaman yang kontemporari, dengan susunan kayu-kayuan serta lampu terang ‘The Levi’s Tailor Shop’ – yang benar-benar menimbulkan reaksi. Menyempurnakan lagi pencahayaan nyata ini adalah susunan pakaian-pakaian serta kaunter perkhidmatan yang terbentang di hadapan, menguatkan dorongan kita untuk datang berkunjung.
Apa yang menariknya fasal butik baharu ini adalah, ia memposisikan kedudukannya sebagai butik Levi’s terbesar di Asia Tenggara. Yakni berkeluasan 4,239 kaki persegi! Di samping itu, butik ini malah menempatkan beberapa kolaborasi istimewa dan memberi akses kepada pelanggan-pelanggan untuk ‘menikmati’ koleksi premium tersebut. Contohnya, Vintage Clothing, Made In Japan, WellThread® dan Selvedge. Seperti mematerikan janji yang terbaik bagi memenuhi kehendak pelanggan-pelanggan, Levi’s bersungguh-sungguh dalam mempertingkatkan pengalaman. Lantas, mengeratkan hubungan dengan pelanggan-pelanggan.
Menyambung bicara tentang ‘The Levi’s Tailor Shop’, ia terletak di ruang yang tersedia di bahagian tengah butik atau dipanggil ruang pameran butik. Bermatlamat untuk menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan-pelanggan yang mahu personalize produk-produk Levi’s mereka agar ada nilai distingtif atau identiti tersendiri. Usaha untuk mencipta keunikan itu tidak tergencat di situ sahaja. ‘The Levi’s Tailor Shop’ ini malah menampilkan customization atau personalization yang menggunakan corak Peranakan, sebagai tanda penghormatan buat warisan serta budaya Malaysia. Corak Peranakan tersebut ditambah lagi rona biru indigo bagi mencerminkan asosiasi identiti atau DNA jenama Levi’s.