Met Gala dan acaranya jarang sekali menjadi ngobrol orang. Ada sahaja nyala bicara kesubjektifan yang berbangkit. Ada yang menghamburkan pujian, ada juga yang beri kritikan keras. Mengiringi usia Met Gala yang sudah lebih sedekad pada tahun hadapan (pada tahun 2025), The Costume Institute menggazetkan tema yang bakal meronai acara hari Isnin pertama pada bulan Mei ini, berpusat pada budaya festen Black Dandyism – yakni ‘Superfine : Tailoring Black Style’.
Sudah tentu matlamat Met Gala adalah mahu meluhurkan hajat untuk mengenal budaya fesyen. Apresiasi buat fesyen yang dekat dengan hati serta budaya bangsa kulit hitam, menyemak sejarah lama untuk dibangunkan semua di atas pentas baharu.
Daripada mana datangnya tema ‘Superfine : Tailoring Black Style’ ini? Tema ini menyegar bebenih ingatan kita pada budaya Black dandyism, merenung ke jendela sejarah aspek fesyen atau pemakaian elegan bangsa kulit hitam dari era abad ke-18 sehinggalah ke hari ini. Kurator Costume Institute di The Met, Andrew Bolton, melarik kesejarahan yang menghargai serta menghormati bakat pereka-pereka fesyen berkulit hitam yang berani lawan norma. Membangunkan ketersendirian dalam aspek fesyen yang mereka cipta itu menjalari horizon tradisi dandyism, yang bertunas ke budaya Black dandyism.
Subjek ini dikutip daripada buku Monica L. Miller – profesor Africana Studies di Barnard College – berjudul ‘Slaves to Fashion : Black Dandyism and the Styling of Black Diasporic Identity’. Ia menyingkap revolusi atau perubahan sesuatu budaya fesyen yang berakar umbi daripada golongan hamba bangsa kulit hitam pada abad ke-18, yang beradaptasi dengan cita rasa fesyen ranggi atau flamboyant. Mereka bijak menyaingi aspek fesyen tersebut dengan identiti Eropah dan ia beragaman menjadi identiti terpenting bangsa kulit hitam.
Budaya fesyen yang diketengahkan ini umpama ‘berjantung dua’. Aspek fesyen dandy itu adalah binaan idea orang Inggeris. Sebagaimana yang ditulis oleh penulis Perancis, Jules Barbey D’Aurevilly dalam eseinya tahun 1845, yakni ‘”Du dandysme et de George Brummell…” yang memerikan maksud karakter keangkuhan berbancuh keaslian gaya Inggeris. Dan bila dia diserasikan pula oleh bangsa kulit hitam (daripada zaman penghambaan lelaki-lelaki kulit hitam), ia membuktikan kewujudan diaspora fesyen dandy.
Lantas, hadir pula permintaan identiti sosial baharu. Anak-anak muda Congo yang bermukim di kota Barat mencipta satu neologisme yang merangkap dandyism dengan bangsa kulit hitam, yakni Sapeurs. Barangkali ia bersemi daripada jajahan di bandar utama Congo, seperti Brazzaville. Sehinggakan ada orang luar beranggapan konsep Sapeurs atau Sape ini berlebih-lebih cara pemakainannya, terutama sekali di kalangan orang lokal Brazzaville. Mereka bermain dengan beraneka lapisan pakaian, hanya untuk tayang kekayaan dan mengekor fesyen Parisian. Beranjak ke era awal 2000-an, Sapeurs menjadi identiti gaya generasi ketiga Congolese dandyism.
Namun yang membezakan mereka adalah keberanian penghijrahan mereka ke kota-kota Eropah dan menjadikan Sapeurs atau Sape ini sebagai identiti baharu. Ia seakan-akan ‘eskapisme’, bertujuan untuk lari daripada ‘imej’ huru-hara tempat asal mereka.
Keindahan dan perihal di balik sejarah Black dandyism serta Sapeurs inilah yang dianalisis oleh The Costume Institute. Mendukung budaya tersebut sebagai tema utama Met Gala dan pameran utama, untuk mendidik kita tentang diversifikasi dunia fesyen. Menyentuh fasal Met Gala, acaranya tahun hadapan akan membariskan Pharrell Williams, Colman Domingo, Lewis Hamilton, LeBron James dan A$AP Rocky sebagai co-chairs.