Setiap jenama mewah mengidamkan satu perkara: menghasilkan beg yang melonjak menjadi fenomena global. Menjadi rebutan dan berada di tangan setiap It girl! Kate Spade New York dengan deretan koleksi musim luruh 2025, cukup playful dan polished, seakan-akan sudah berada di landasan itu. Namun cukupkah untuk digelar sebagai beg ‘It’ musim ini?
Seperti biasa, beg tangan yang dibawa oleh selebriti menjadi tumpuan utama. Daripada gaya karpet merah hingga ke gaya jalanan di kota, setiap pilihan aksesori mereka sering kali menjadi aspirasi yang kemudiannya menjadi idaman ramai. Kali ini bintang bagi siri remaja popular ‘The Summer I Turned Pretty’ dan ‘My Life With The Walter Boys’ dilihat menggayakan koleksi beg Kate Spade New York terbaru – sekali gus mengangkat rekaan beg Duo, Liv dan Loop sebagai calon beg ‘It’ musim ini.
Lola Tung, pelakon siri ‘The Summer I Turned Pretty’
Rain Spencer, pelakon siri ‘The Summer I Turned Pretty’
Nikki Rodriguez, pelakon siri ‘My Life With The Walter Boys’
Tidak hairanlah jika Duo menjadi kegemaran ikon Gen Z. Beg multitasker moden ini direka untuk digayakan dalam empat cara: crossbody, shoulder, belt bag atau clutch. Duo tampil dalam rona musim luruh seperti lime slice, dried thyme, burnt sage dan cashew milk, dengan tekstur mewah sued serta leopard haircalf. Rekaan versatil ini seakan ditakdirkan untuk digayakan berulang kali.
Selain itu, Liv kembali mengangkat nostalgia era pengasasnya, Kate dan Andy. Siluet yang berstruktur ikonik ini diberi nafas baharu dengan cetakan leopard yang playful serta perincian red edge piping yang menyerlah. Lantas menjadikannya simbol kesinambungan antara warisan dan gaya moden.
Melengkapi koleksi, Loop tampil sebagai rekaan baharu yang segera mencuri perhatian. Beg bahu lembut dan slouchy ini diperbuat daripada sued mewah, diinspirasikan gaya arkib santai pada awal era ’90-an dan era 2000. Sempurna musim luruh, Loop hadir dalam rona coklat hot fudge yang kaya dengan perincian simpulan unik pada talinya. Ditawarkan dalam dua saiz berbeza, ia dicipta untuk mereka yang mengutamakan gaya praktikal namun tetap mahu kekal bergaya secara on-the-go.
Dengan kombinasi gaya warisan dan sentuhan moden yang mudah disesuaikan, koleksi baru ini membuktikan bahawa jenama ini masih relevan. Sama ada ia bakal meraih status ‘It bag’ atau kekal sebagai ikon cult, Kate Spade New York kini kembali mengukir tempatnya dalam radar fesyen – khususnya di hati selebriti Gen Z.
