
Semasa Marc Jacobs memegang jawatan sebagai Pengarah Artistik Louis Vuitton, dia memperkenalkan kolaborasi ikonik bersama artis Jepun, Takashi Murakami. Hasil kerjasama antara Louis Vuitton x Murakami ini menyuntik elemen pop dan kreativiti yang segar ke dalam jenama mewah tersebut, menjadikannya salah satu kolaborasi fesyen yang paling berpengaruh pada awal tahun 2000. Antara selebriti terkenal yang menggayakan beg Speedy 30 daripada koleksi ini termasuk Paris Hilton, Naomi Campbell dan Jessica Simpson.
Untuk meraikan era penting bersama Takashi Murakami dalam garis masa Louis Vuitton, jenama mewah ini mempersembahkan koleksi kelahiran semula bagi memperingati ulang tahunnya yang ke-20. Pada bulan Januari, bab pertama koleksi dilancarkan dengan fokus terhadap monogram klasik yang berwarna-warni. Bab kedua pula diperkenalkan pada bulan Mac, memperlihatkan keindahan musim sakura di Jepun. Dan kini, bab ketiga yang juga merupakan penutup kepada siri ini menampilkan kemunculan semula motif ceri tersenyum, ciptaan Murakami yang digemari ramai.
Kempen Louis Vuitton x Murakami - Bab 3
Dalam suasana musim panas di pesisir Riviera Mediterranean, Louis Vuitton mempersembahkan duta globalnya, Zendaya yang dikelilingi oleh motif ceri Murakami bersaiz gergasi. Bintang ini menggayakan rekaan utama daripada koleksi terakhir Louis Vuitton x Murakami. Secara ringkas menyatukan komitmen Louis Vuitton terhadap kreativiti, inovasi dan kemahiran pertukangan halus (savoir-faire) dengan dunia seni Murakami yang penuh imaginasi dan warna-warni.
Fokus utamanya sudah tentu terletak pada tarikan ikon ceri ciptaan Murakami yang bersifat kawaii! Ia merupakan sepasang ceri merah tersenyum, tergantung pada tangkai hijau yang segar. Koleksi eksklusif ini menampilkan lebih daripada 70 rekaan termasuk beg tangan, bagasi, kasut musim panas, charm beg, skarf sutera, serta basikal yang memikat. Kesemuanya disatukan menerusi kemunculan semula motif ceri ikonik Murakami, diraikan dengan sentuhan teknik aplikasi terkini dan serigraphy yang inovatif.
Antara rekaan paling dinantikan dalam koleksi ini termasuklah interpretasi baharu bagi The Speedy, The Alma, dan The Side Trunk. Tiga ikon klasik Louis Vuitton yang kini diolah semula dengan sentuhan lebih segar dan berani. Monogram Louis Vuitton ini ibarat ‘kanvas kosong’ yang sempurna buat mempersembahkan kemunculan semula motif ceri Murakami dalam kesan 3D berkilau untuk musim panas!

Selain itu, tumit 3D ceri turtut diperkenalkan buat pertama kalinya. Ia hadir dalam dua gaya - kasut tumit Cherie dalam rafia dihiasi dengan reben monogram ceri dan kasut tumit Lily dalam denim dengan sulaman ceri. Tidak terhenti di situ, koleksi ini turut menampilkan kapsul denim biru eksklusif yang sarat dengan sulaman ceri. Antaranya termasuk Pochette Accessoires, Sunset dan Keepall 45 serta hadiah musim panas seperti kipas tangan dan kerusi deck yang mencuri perhatian.
Secara ringkas, Koleksi Resort 2025 ini sempurna bagi musim panas yang lebih ceria, unik dan bergaya! Terokai keseluruhan koleksi di louisvuitton.com.