Landskap dunia K-Pop benar-benar mendominasi budaya Pop hari ini. Tidak hanya muzik, filem dan drama bersiri - populariti mereka sudah menjerat banyak jenama fesyen, kecantikan dan horologi untuk menjadikan bakat-bakat ini sebahagian daripada rakan jenama.
Kali ini giliran Danielle Marsh daripada girl group NewJeans disunting jenama besar OMEGA untuk menjadi sebahagian daripada sejarah dilakar dan akan diingati. Danielle dipilih seiring dengan visi OMEGA yang mahu memberi suntikan lebih segar dan muda bagi koleksi Constellation meraka.
Sejak merilis album debut bersama NewJeans pada tahun 2022, Danielle bersama rakan-rakan daripada grup muziknya itu sudah menjadi sensasi terbaru K-Pop. barisan hits seperti 'Hype Boy' menjadi antara lagu yang paling lama dalam sejarah muzik K-Pop kekal dalam carta Billboard Global 200. Selain single lain seperti 'Ditto', 'OMG' dan 'Super Shy'. Sehingga hari ini album debut NewJeans direkodkan sudah terjual sehingga 6.4 Juta unit seluruh dunia.
Atas pengaruh ini jugalah menjadikan Danielle antara yang paling digilai di kalangan anggota lainnya dalam NewJeans. Pengaruh yang ada padanya membuka peluang buat Danielle menjadi sebahagian keluarga OMEGA. Danielle berkata "OMEGA antara jenama jam tangan yang cukup sinonim dengan lambang ketepatan waktu yang seiring dengan rekaan yang menyerlah. Bekerjasama dengan jenama ini satu lagi peluang untuk saya menyerlahkan stail peribadi dalam kepelbagaian."
Tambah Danielle lagi peluang diberikan ini begitu dihargai kerana OMEGA cukup dikenali dengan kredibiliti dalam ketepatan dan ketahanan. Dia juga meluahkan rasa terharu kerana dipilih menjadi sebahagian keluarga OMEGA yang sering diasiosasikan dengan nama-nama besar dalam pelbagai bidang kerjaya.
Raynald Aeschlimann, Presiden dan CEO OMEGA berkata "Danielle seseorang yang penuh dengan tenaga dan memiliki personaliti yang menyerlah. Kami sangat teruja melihat Danielle menjadi sebahagian daripada keluarga besar OMEGA."
Untuk sesi penggambaran pertama bersama OMEGA, Danielle memakai jam tangan Constellation 28 mm dengan keluli tahan karat dan Moonshine™ Gold. Dail hijau PVD menciptakan sesuatu yang distingtif bersama kemasan permata. Danielle juga menyarung edisi Speedmaster 38 mm dengan dail berwarna cokelat dan permata di sekeliling bezel.