Langgan

Momen Besar Rose Zhang

Menjadi wajah wakilan Rolex sejak tahun 2023, kejayaan Rose Zhang pada usia cukup muda di arena golf menjadiaspirasi generasi kini.
4 minit untuk membaca
Published: September 10, 2024

Rose Zhang membuka mata ramai pengikut sukan golf akan bakat luar biasanya sebagai pemain golf amatur. Menyertai U.S Women Open di usia 16 tahun dan bergelar pemain profesional pada usia 21 tahun, Rose Zhang berjaya mencipta legasi yang tersendiri sehingga hari ini.

Portfolio Rose Zhang sebagai pelapis dalam sukan golf wanita khususnya sudah diperakui dalam banyak pertandingan yang disertainya. Antara pencapaian yang cukup membanggakan adalah Augusta National Women’s Amateur Championship dan juga NCAA Women’s golf Championship.

Kejayaan luar biasa Rose menarik minat jenama jam tangan Rolex menyuntingnya sebagai wajah wakilan jenama sejak tahun 2023. Ikatan ini memberi pentafsiran yang tepat untuk sukan golf dan jenama mewah menyatu sebagai entiti yang berprestij.

Boleh ceritakan bagaimana perasaan menjadi sebahagian keluarga Rolex bersama atlet golf lainnya seperti Jack Nicklaus, Tiger Woods dan Annika Sörenstam?

Satu penghargaan untuk saya menjadi sebahagian keluarga besar Rolex dengan naratif yang penuh inspirasi. Jenama ini cukup berprestij dan diyakini jadi saya cukup bertuah menjadi sebahagian daripadanya.

Rolex menjadi jenama yang cukup menyokong penuh sukan golf antarabangsa. Pandangan anda tentang hal ini?

Golf memiliki sejarah yang cukup lama dalam bidang sukan dan bersama jenama mewah seperti Rolex yang menyokong penuh sukan ini sejak sekian lama menjadi bukti ia adalah satu jenama yang komited dalam menyokong sukan golf antarabangsa.

Rose Zhang (USA) plays a tee stroke from the No. 17 tee during the first round

Rolex sering dikaitkan dengan ketepatan dan cukup kaya dengan nilai sejarahnya. Bagaimana kualiti yang ada ini anda salurkan setiap kali bertanding terutama sekali ketika cabaran besar mendatang?

Apa yang penting dalam setiap pertandingan adalah untuk kekal fokus dan tenang. Ini menjadi dua hal yang akan sentiasa menjadi kualiti utama ketika bertanding.

Boleh kongsikan momen penting sepanjang kerjasama bersama Rolex?

Antara momen yang paling saya ingat adalah ketika sesi penggambaran jam tangan Lady DATEJUST. Ia memberi pengalaman yang cukup mahal untuk saya mempelajari tentang ketelitian pembuatan dan memberi pemahaman yang lebih jelas tentang jenama ini.

The Amundi Evian Championship menjadi rujukan terbaik dalam mana-mana sukan yang melibatkan wanita. Boleh kongsikan sejauh mana pertandingan ini penting untuk anda?

Pertandingan ini menjadi antara yang paling saya nantikan sejak pertama kali berpeluang menyertainya pada tahun 2016 menerusi Evian Junior Cup. Ia begitu mencabar kekuatan saya tidak hanya fizikal tetapi juga keupayaan mental. 

Dalam kesibukan bertanding, sempat ke mana-mana untuk melepaskan lelah daripada kesibukan jadual pertandingan sepanjang minggu?

Kebanyakan masa saya memang di padang golf. Tapi saya sempat menikmati pemandangan di sini yang sangat cantik dan saya sukakan tasiknya. Banyak deretan kedai-kedai kecil di sini yang boleh diteroka tanpa mengambil terlalu banyak masa daripada jadual pertandingan yang ada. 

Kongsikan dengan pembaca antara memori menonton perlawanan The Amundi Evian Championship? 

Pertama kali saya menonton The Amundi Evian Championship adalah ketika Lydia Ko memenanginya pada tahun 2015. Ia tidak hanya memberi inspirasi pada saya tetapi saya percaya kepada ramai wanita yang terlibat dalam sukan golf terutamanya.

Seberapa besar tekanan yang ada untuk berada dalam pertandingan sebesar The Amundi Championship? Adakah persediaan berbeza dengan pertandingan yang lain?

Saya cuba untuk tidak terlalu mengubah teknik latihan kerana fokus saya adalah untuk mempertajamkan skil serta memperkuatkan asas yang ada. 

Anda menjadi sepuluh yang terbaik tahun lalu di The Amundi Evian Championship. Apa pelajaran terbaik yang anda kutip di situ dan bagaimana anda memotivasikan diri untuk menjadi lebih baik tahun ini?

Satu hal yang membuatkan saya sedar tentang Major Championship adalah tentang kepentingan stamina yang sangat tinggi. Apa yang penting bagi saya adalah untuk terus kekal konsisten. It really shows how golf is not a sprint but a marathon.

Mei tahun lalu anda menjadi pemain profesional dalam masa kurang dua minggu dengan mengungguli Mizuho Americas Open. Ia turut menjadikan anda antara yang pertama memenanginya sejak LPGA diperkenalkan pada tahun 1951. Kongsikan pengalaman ini bersama pembaca.

Ia satu pengalaman yang penuh keterujaan. Apa yang saya alami tahun lalu membuatkan saya sedar penting untuk sentiasa berada dalam keadaan yang tenang setiap kali menyertai pertandingan. Fokus yang ada ketika bertanding dengan sokongan penonton benar-benar membuatkan ia menjadi motivasi serta pengalaman yang akan saya ingati.

Kali kedua anda mendapat tempat di LPGA adalah ketika di Cognizant Founders Cup. Dengan kejayaan luar biasa itu sejauh mana ia membuatkan anda bangga? 

Kejayaan ketika itu menjadi pengalaman amat berharga bagi saya. Apa yang saya fikirkan ketika itu adalah untuk membuat yang terbaik dengan peluang yang ada tanpa terlalu memaksa keadaan atau diri dengan sasaran tertentu. Semua berjalan secara natural dan saya sangat bersyukur.

Anda memiliki portfolio yang kuat sebagai pemain amatur dalam sejarah dengan memenangi dua NCAA Women’s golf Championship bagi Individual Title pada tahun 2022 / 2023 dan berturut-turut memenangi ANNIKA Awards (2022 & 2023). Kejayaan bersambung di acara Augusta National Women’s pada tahun lalu. Dengan kejayaan yang ada, bagaimana anda mengawal tekanan juga harapan orang sekeliling?

Memang ada tekanan dalam setiap harapan yang diletakkan pada saya. Namun bagi saya apa yang penting adalah untuk menggunakan peluang yang ada untuk bermain di acara prestij ini sebaiknya. Setiap penghargaan yang saya dapat cukup saya hargai.

Apa misi seterusnya untuk musim mendatang?

Fokus saya adalah untuk sentiasa memperbaiki setiap ruang yang ada dan terus belajar sebanyak yang mampu. Sukan golf tidak selalu menawarkan apa yang kita jangka dan mahukan. Jadi amat penting untuk saya kekal fokus dengan perspektif yang lebih baik.

Siapa individu yang paling banyak mempengaruhi anda dalam karier?

Ayah saya. Dia menjadi individu yang pertama dan yang sentiasa ada bersama saya dalam keadaan susah mahupun senang.

Sebagai pemain golf yang profesional anda sering mengembara ke lokasi berbeza. Padang golf yang mana menjadi kegemaran anda setakat hari ini?

Saya sukakan Merion Golf Club. saya pernah menyertai Curtis Cup di sana pada tahun 2022 dan bagi saya padangnya cukup ikonik. Ia antara pengalaman yang paling menarik.

Cara anda mengambil masa untuk relaks dan lari seketika dari komitmen di padang golf?

Saya sukakan muzik. Kebanyakan masa yang ada banyak saya habiskan bersama keluarga dan rakan-rakan atau semudah berjalan sahaja. 

KENALI ROSE ZHANG

2019 – U.S Women’s Open menjadi pertandingan pertama Rose Zhang yang memperkenalkan namanya di arena golf dunia.

2021 – U.S Girls Junior dengan rekod 12 gelaran di 20 acara ketika berada di Universiti Stanford.

2022 – Penerima medal H.McCormack sebagai pemain wanita amatur dunia dengan kemenangan tiga kali berturut-turut.

2023 – Disunting Rolex sebagai wajah wakilan jenama yang cukup komited terhadap perkembangan sukan golf.

2023 – April tahun lalu Rose Zhang menjadi pemain nombor satu selama 141 minggu di senarai World Amateur Golf Ranking. Sekali gus menjadikan dia pemain golf paling diraikan dalam sejarah.

2024 – Disenarai sebagai 20 pemain golf wanita terbaik dunia dalam senarai Women’s World Golf.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down