Edisi terhad Cintrée Curvex Ryoko Kaneta Dragon merupakan satu kolaborasi bersama artis dari Jepun, Ryoko Kaneta dengan memberi pentafsiran baru sifat naga. Jam tangan eksklusif ini direka sebagai kelangsungan kejayaan #FR2NCK MULLER Vanguard 2023 dengan kuantiti sebanyak 500 utas jam tangan sahaja di rantau ini.
Dengan naratif yang cukup segar Ryoko Kaneta berkata naga dipilih sebagai subjek seninya menerusi siri ini sebagai lambang kekuatan dan keagungan. Pada masa yang sama Kaneta menambah naga cukup sinonim dengan kemakmuran juga perlambangan akan kesihatan yang baik. Berbicara lebih tentang kolaborasi bersama Franck Muller, Kaneta menekankan ciri yang paling menarik perhatian pada edisi Cintrée Curvex adalah elemen lengkungan tiga dimensi yang cukup unik.
Keunikan sedia ada benar-benar menjadikan jam tangan ini datang dengan nilai estetika yang tersendiri dan untuk kerjasamanya dengan Franck Muller, Kaneta menggunakan kepercayaan budaya Asia Timur sebagai subjek utama. Naga dilihat sebagai tokoh ketuhanan yang dikatakan mampu memberkati bumi menerusi hujan yang mampu memberi hasil tuaian yang menguntungkan. Simbolik ini menjadi kunci utama pada penceritaan keseluruhan.
Varian gayanya kali ini lebih ringkas dan elegan. Angka diwarnakan putih dengan kemasan biru muda sebagai perlambangan hujan. Melengkapkan naratifnya sebagai sebuah simbol kemakmuran, tali pada jam tangan ini diberi sentuhan biru firus dengan palet padanan dalam yang bermain dengan cahaya serta tekstur yang tersendiri. Harga pasaran RM 58,700.