Langgan

6 Jam Tangan Terbaru daripada Rolex

Hanya yang terbaik untuk anda.
4 minit untuk membaca
Published: August 18, 2024

Bersempena acara mewah, Watches & Wonders 2024 - Rolex telah melancarkan koleksi jam tangan ikonik terbaru mereka dengan gabungan unik antara bahan, warna dan tekstur - koleksi jam tangan Rolex untuk tahun 2024 ini mengangkat hasrat jenama Swiss tersebut untuk terus menghidupkan emosi dalam seni pembuatan jam tanpa mempertaruhkan kualiti sama sekali. Berkat kepakaran Rolex yang tak perlu diragukan lagi, kali ini mereka menonjolkan permainan kontras untuk mencapai keseimbangan harmoni antara fungsi dan nilai estetika, prestasi dan nilai, serta tradisi dan inovasi.

OYSTER PERPETUAL GMT-MASTER II

Untuk pertama kalinya, jam tangan Oyster Perpetual GMT-Master II hadir dengan bezel Cerachrom dalam pilihan bahan seramik berona kelabu dan hitam. Mula diperkenalkan dalam koleksi tersebut pada tahun 2023, kontras warna yang halus ini menggambarkan peralihan antara siang dan malam. Selain itu, logam yang digunakan dalam versi terbaru ini juga merayakan identiti model yang pada asalnya hanya tersedia dengan pilihan bahan keluli.

Dua versi baru ditawarkan, menggabungkan keanggunan dan fungsi: satu dengan rantai Oyster dan yang lainnya dengan rantai Jubilee. Dial berwarna hitam dipadankan dengan tulisan 'GMT-Master II' berwarna hijau. Warna ini juga selaras dengan jarum penunjuk 24 jam yang, seperti seberkas cahaya, menarik perhatian kita tentang hubungan antara manusia dan dunia. Menampilkan lebih dari sekadar zon waktu alternatif, jarum penunjuk ini mengarah kepada lokasi lain yang sesuai dengan pemakainya - sebuah peringatan tentang emosi yang menyertai setiap perjalanan.

OYSTER PERPETUAL DAY-DATE

Versi terbaru jam tangan Day-Date menjadi karya seni yang dicipta dengan penuh teliti sehingga ke perincian terkecil. Warna, bahan, corak dan jarum penunjuk - semua elemen ini menyumbang kepada keharmonian kombinasi baharu. Ini jelas terlihat dalam dua rekaan terbaru Oyster Perpetual Day-Date 40 yang baru sahaja dilancarkan.

Versi pertama yang diperbuat daripada emas Everose 18 karat, memperkenalkan dial ombré. Reka bentuk ini menunjukkan peralihan halus antara cahaya di tengah dial dan rona yang lebih gelap di sekelilingnya menghasilkan sebuah simfoni warna yang yang memukau. Versi kedua, diperbuat daripada emas putih 18 karat, menampilkan dial oyster pearl yang pertama untuk koleksi Day-Date 40. Unik dan elegan, setiap lapisan bersinar dengan variasi pantulan warna yang mengagumkan. Teksturnya berombak dan lebih tebal membangkitkan permainan cahaya, mencipta kesan berkilau yang diperkukuh oleh 10 penunjuk jam berbentuk berlian berpotongan baguette.

Selain itu, Oyster Perpetual Day-Date 36 juga dilancarkan dalam dua versi baharu. Versi pertama, diperbuat daripada emas kuning 18 karat, mempunyai dial putih dengan angka Roman bersama penunjuk jam indeks bersegi. Rolex juga memperkenalkan versi emas Everose 18 karat dengan dial biru-hijau. Warna dial yang gelap ini semakin menyerlah dengan bezel dihiasi 60 berlian berpotongan trapeze - ini adalah kali pertama bezel seumpamanya dipadankan pada jam tangan versi emas 18 karat.

PERPETUAL 1908

Jam tangan Perpetual 1908 kini hadir dengan pilihan platinum 950 bersama dial biru ais - warna eksklusif untuk model Rolex yang menggunakan logam paling berprestij ini. Mempunyai dial guilloché bermotif butiran beras - cahaya akan dipantulkan daripada pola yang timbul, menghasilkan pelbagai pantulan unik setiap kali anda menggerakkan pergelangan tangan.

Motif pada dial dihasilkan melalui teknik guillochage atau engine turning - sebuah teknik yang menggunakan alat pemutar untuk membentuk corak geometri pada permukaan. Dekorasi ini seakan pembuatan jam tangan tradisional tetapi dengan reka bentuk yang menyerupai rosette, terpusat pada pengira detik kecil di angka 6, menjadikan jam tangan ini sangat istimewa.

Ia diangkat sebagai sebuah karya seni visual hasil daripada gabungan dial yang menakjubkan dengan hasil kerja tangan yang halus sehingga ke perincian terkecil - daripada reka bentuk dial hingga bezel beralur halus dan filet sauté dengan corak guilloché berkedut di sekitar trek minit, setiap elemen menonjolkan sisi ikonik jam tangan ini.

OYSTER PERPETUAL ROLEX DEEPSEA

Oyster Perpetual Rolex Deepsea pilihan sempurna buat mereka yang gemar meneroka lautan dalam - buat julung kalinya jam tangan ini hadir dengan perincian emas kuning 18 karat bersama sentuhan warna biru dengan gabungan bahan eksklusif seperti emas dengan elemen seramik dan titanium RLX.

Ring compressor diperbuat daripada seramik biru, sebuah inovasi teknikal yang memperkenalkan cara baru dalam mengintegrasikan bahan ini ke dalam case jam tangan. Sementara Cerachrom ring pula dihiasi dengan lapisan satin melingkar - sebahagian daripada sistem Ringlock, sebuah struktur case yang membolehkan jam tangan ini menahan tekanan ekstrem. Helium escape valve, yang melindungi integriti jam tangan semasa dekompresi turut diperbuat daripada titanium RLX, begitu juga dengan bahagian belakangnya.

Keseragaman warna antara dial jam, bezel dan ring compressor mewujudkan keharmonian yang sempurna.

OYSTER PERPETUAL COSMOGRAPH DAYTONA

Rolex memperkenalkan dua versi terbaru dalam koleksi Oyster Perpetual Cosmograph Daytona, masing-masing dengan dial kontras berwarna putih dan hitam berserta bezel bertatahkan berlian. Interpretasi baru pada jam tangan ikonik ini diperhebat menerusi interaksi warna yang halus, mencerminkan kepakaran Rolex yang tinggi - daripada penataan permata sehingga seni pembuatan dial.

Diperbuat daripada emas putih 18 karat, jam tangan ini menawarkan dua pilihan warna cengkerang untuk dialnya. Versi pertama menampilkan dial putih dengan sub-dial hitam, sementara versi kedua menampilkan kombinasi warna yang berlawanan. Kontras, kepekatan warna dan kedalaman pantulan dihasilkan melalui pemilihan bahan yang sangat teliti. 

Dilengkapi dengan bezel yang dihiasi 36 potong berlian yang sempurna dipadankan dengan tali jam yang serasi dengan sub-dia - tali jam Oysterflex untuk versi dengan sub-dial hitam dan tali jam Oyster untuk versi dengan sub-dial putih. Jam tangan ini telah mencatatkan sejarah baru dalam kisah legendanya tersendiri.

OYSTER PERPETUAL SKY-DWELLER

Tampil lebih istimewa, Oyster Perpetual Sky-Dweller dalam emas Everose atau kuning 18 karat kini boleh dibeli dengan pilihan rantai jam Jubilee. Jam tangan ini direka untuk memudahkan pelancong dalam menentukan tujuan mereka dengan cepat, Sky-Dweller terus mengekalkan keunggulannya menerusi keupayaan teknikal.

Rantai Jubilee, yang diperbuat daripada logam dengan lima bahagian, dicipta khas untuk Oyster Perpetual Datejust yang dilancarkan pada tahun 1945. Rantai ini membolehkan si pemakai menyesuaikan panjang gelang yang berukuran sekitar 5mm dengan mudah - menggunakan pengait Oysterclasp yang dilengkapi ciri Easylink.Dipadankan dengan dial slate untuk versi emas Everose 18 karat dan dial putih pada versi emas kuning 18 karat, rantai jam tangan ini juga mencuri perhatian dengan sentuhan seramik yang direka oleh Rolex di dalam tautannya - ia bertujuan untuk menjadikan ia lebih tahan lama  dan meningkatkan fleksibiliti rantai di pergelangan tangan.

Oleh GISELA GABRIELLA/ELLE Indonesia

Fotografi oleh ROLEX

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down