Landskap dunia arloji Bell & Ross dikembangkan dalam satu naratif yang menggambarkan satu keindahan penciptaan jam tangan. Kali ini mereka menyatukan ilham ais dan air yang menjadi inspirasi utama koleksi BR-05 Skeleton Arctic Blue. Dail biru yang diambil daripada inspirasi kutub terlihat jelas pada rekaan yang cukup kompleks tetapi menawan.
Bruno Belamich, Pengarah Kreatif & Pengasas Bersama Bell & Ross berkata mendasari semula penghasillan koleksi ini memerlukan pemerhatian yang cukup mendalam. Rona biru yang dipilih bagi koleksi dibuat cukup teliti dengan beberapa proses yang harus dilakukan sehingga ia menepati konsep kutub yang menjadi inspirasi koleksi ini.
Dail yang menyerupai bentuk ais yang merekah menjadi titik tumpu pada koleksi yang cukup istimewa ini. Cukup original dan tersendiri dengan satu prinsip rekaan yang sofistikated. "Idea di sebalik penghasilan dail pada jam tangan ini cukup abstrak. Realisme yang diletakkan pada imej rekahan ais menjadi ilusi seakan sebuah tasik yang beku."
Perihal ini menjadi tumpuan akan rekaan penuh magis koleksi ini. "Setiap kali anda memandang dail yang diciptakan ini, setiap kali itu jugalah anda akan sedar akan magis di sebalik rekaannya." Teknik ukiran menggunakan laser dilakukan dengan penuh teliti. Menyempurnakan ia harus menggunakan satu mesin pencetak khusus.
Efeknya terhasil satu landskap ais yang jelas dan kelihatan cukup nyata. BR-X5 Skeleton Arctic Blue dilapisi teknik saduran yang dipanggil trompe-l’oeil effect. Penelitian diberikan pada permukaan yang cukup polish dan harmoni. Bekas pada warna perak dalam material keluli tahan karat itu sendiri memberi perlambangan pada ilham ais.
SPORTY DAN ELEGAN
Siri BR-05 ini juga memberi refleksi sporty dan elegan pada masa yang sama. Sejak diperkenalkan pada tahun 2019 BR-05 menyerlahkan visi yang cukup moden dan diperhalusi dengan ilham gaya hidup yang versatil. Jam tangan ini datang dengan diameter 40mm, kalis air pada ketahanan 100mm dan dicipta untuk kegunaan harian kerana sifat tahan lasaknya.
Rekaannya diciptakan berdasarkan era 70-an dan pabila ia menyatu dengan prinsip Bell & Ross menjadikan ia lebih praktikal dan lasak. Ini menjadi prinsip pada setiap rekaan Bell & Ross selama ini. Jam tangan istimewa ini turut datang dengan tali getah berkuaiti dan keluli tahan karat.