Selepas enam tahun menyepi daripada New York Fashion Week, kepulangan Calvin Klein ke pentas peragaan, kali ini dengan pengarah kreatif wanita pertamanya, Veronica Leoni, mendapat perhatian besar. Malah, ada yang mengatakan jenama ini berjaya menyuntik semula keterujaan yang diperlukan dalam minggu fesyen New York.
Pertunjukan fesyen ini menarik barisan tetamu dan front row yang mengagumkan. Supermodel ikonik Calvin Klein seperti Kate Moss dan Christy Turlington duduk di barisan hadapan, sementara FKA Twigs tiba bersama teman lelakinya, Jordan Hemingway. Turut hadir memberi sokongan kepada Veronica ialah Madeline Argy, bintang ‘Bridgerton’ Simone Ashley, Greta Lee, Nara Smith serta figura jenama itu sendiri, Calvin Klein.
Latar belakang Veronica, yang pernah berkhidmat di The Row, Céline dan Moncler, jelas tergambar dalam rekaan outerwear yang berbentuk seakan cangkerang. Kot yang menyerupai exoskeleton, seluar longgar berkait rendah, kemeja Henley rajut, gaun mengalir serta potongan santai melintasi pentas peragaan.
Koleksi ini selari dengan janjinya untuk mengekalkan DNA Calvin Klein. “Matlamat saya adalah untuk mentafsir ekspresi monumental minimalism dan ketulenan melalui bentuk dan kraf, membawa visi asal serta pendekatan khas Mr. Klein ke era moden.”
Walaupun ada pengkritik yang merindui sensualiti era 90-an Calvin Klein, estetika office siren yang mendominasi koleksi ini terasa lebih relevan berbanding sebelum ini, terutamanya dengan filem ‘Babygirl’, cerita yang mendefinisikan zaman dengan kot labuh berpotongan kemas, rona kelabu lembut dan percikan pastel yang turut hadir dalam rekaan Leoni.
Pada zaman ini, wajar bagi seorang wanita untuk lebih berhati-hati dalam menzahirkan seksualiti di ruang awam, berbeza dengan era Calvin Klein ketika zaman tahun 90-an. Namun, itu tidak bermakna ia tidak wujud. Estetika yang mengalir dari koleksi ini adalah sensualiti yang terkawal, terikat tetapi menggoda, dan ia menjadi satu mesej yang tepat serta berani daripada pereka wanita pertama jenama ini.
Artikel asal daripada ELLE Australia.