Nikmat angin dingin di Park Avenue Armory menyapu seluruh tubuh hari itu, seraya menunggu waktu bermulanya pertunjukan Coach di Minggu Fesyen New York Untuk musim luruh/dingin 2025. Menghadap binaan gah bersejarah Park Avenue Armory, mencongak rasa yang Stuart Vevers barangkali cuba merawat ingatan kita pada prolog riwayat hidup di New York.

Cuma Stuart tidaklah merantau jauh ke zaman 1880-an (sekitar tahun Park Avenue Armory dibina) untuk melabuhkan ilham rekaan Coach kali ini. Dia hanya bernostalgia, mahu keseragaman konsep New York atau keamerikaan itu umpama menitiskan penyampaian yang jelas dalam himpunan musim luruh/dingin. Parameter Stuart adalah pada era 1990-an – waktu dia pertama kali menumpukan kakinya pada kota New York. Jelas Stuart, “Waktu itu, saya meladeni sifat New York yang acuh tak acuh dan ia tidak menyempitkan pandangan saya tentang dunia.”
Dalam pada kesempatan masa yang ada, terlihat Park Se-Young dan Yuna (daripada ITZY) bersama-sama hadir ke acara pertunjukan Coach musim luruh/dingin 2025. Pelakon Thailand, Nanon Korapat dan representasi Malaysia, Nadhir Nasar datang menyusul. Nadhir yang pertama kali hadir ke pertunjukan fesyen Coach di New York, berkongsi sedikit pendapatnya dengan kami, “Saya looking forward himpunan menswear Stuart Vevers untuk Coach!” Turut diundang duduk di barisan hadapan adalah bintang-bintang muda (yang kini menjadi sasaran pasaran Coach) seperti Halle Bailey, Koki dan Griffy.

Kumpulan muzik asal Brooklyn, Nation of Language muncul memulakan pertunjukan, mendendangkan lagu yang mengarak model-model melewati pertunjukan. Keluar look pertama – gaya wanita dalam helaian kot wool trench panjang dengan kaca mata berona hijau neon, yang begitu nyata citra gen Z yang cuba diketengahkan – mempamerkan apresiasi Stuart terhadap siluet panjang dan fluid ; gabung padan antara siluet longgar dengan rekaan yang kelihatan fitted. Apa yang terbuni dalam rekaan tersebut sebenarnya, adalah ketekunan Stuart mengamati keharmonian rasa yang bersemi dalam sukmanya dan mempertalikan ia dengan aspek kesenangan New York pada era 90-an.
Begitu juga beberapa look seterusnya yang bermain dengan rekaan peacoat dan duffle coat, dimadukan bersama seluar berpotongan longgar serta seluar skater – mencerminkan sintesis gagasan Stuart yang tidak menggencat kegigihannya untuk menjayakan imej gen Z dengan kisah silam generasi era 90-an. Sebarisan gaya kemeja T grafik senteng dengan seluar jean skater membuat kemunculan, seolah-olah merapatkan kita pada suatu ideologi ‘bagaimana anak-anak muda era 90-an berpakaian’. Jaket-jaket flight serta outerwear kulitturut melintasi pentas, seperti mengindahkan lagi naratif “vintaj” Stuart untuk Coach – kontradiksi gaya yang mempertemukan aturan sporty dengan klasik.
Apakah himpunan musim luruh/dingin ini adalah khayalan kencana Stuart untuk mengangkut audiens, mengunjungi dunia yang dia rindukan? Ya. Stuart malah mengucapkan yang atmosfera New York era 90-an yang bebas kepalsuan masih mengetuk kotak fikirnya.”Free of pretense and with a found, happenstance sense of beauty.” Oleh itu, rujukan cereka-cereka Larry Clark menjadi pilihan Stuart dalam mencorakkan himpunannya – ingat lagi filem kontroversi Larry Clark, yakni ‘Kids’? Sebagaimana yang terpapar pada cerminan karakter-karakter ‘Kids’, begitulah salinan gaya yang Stuart hidupkan untuk Coach kali ini.

Stuart tidak melepaskan imej yang kiranya sudah sinonim dengan Coach, yakni padanan dress-dress shift lembut bersama seluar-seluar labuh longgar. Pentas fesyennya berlanjutan lagi dengan gaya-gaya tailoring klasik (yang dipertingkatkan rekaan-rekaannya), lantas memvariasikan keseluruhan aturan gaya. “Saya kagum dengan generasi masa kini bisa mengintegrasikan helaian-helaian arketaip yang mendefiniskan fesyen Amerika dan make them their own.” Budaya anak-anak muda ini telah membuahkan ilham buat Stuart, mewadahi kreativitinya untuk menyatukan ia dengan konsep found and love-worn pieces.
Antara yang menjadi tumpuan adalah aksesori beg-beg Coach dibarui dari aspek proportions, terutama sekali beg Twin Pocket daripada arkib tahun 1968. Beg Brooklyn yang tular tahun lalu membuat comeback dan begitu juga Soho Sneakers. Kasut-kasut dengan stuffed animals menjaring perhatian audiens, menjunjung idea keberanian gen Z dalam hal berfesyen.
