Dunia fesyen kini semakin kreatif dengan gabungan elemen budaya dan kemodenan seperti yang ditampilkan dalam kempen-kempen Tahun Baru Cina 2025. Berikut adalah sepuluh jenama terkenal yang menawarkan rekaan eksklusif untuk perayaan tahun ini.
1. Prada
Kempen 'We, The Snake' oleh Prada berkonsepkan lingkaran berbentuk ular dengan visual barisan komuniti yang berlainan latar belakang untuk menghidupkan tanda hormat zodiac Tahun Baru Cina. Menampilkan komedian China Jia Ling, ahli sejarah seni Wu Hung, artis Peng Wei dan model Du Juan.
2. Miu Miu
Pengarah Shujun Wei mempersembahkan dua aktres, Liu Haocun dan Zhao Jinmai, dalam filem pendek bertajuk 'The Encounter' daripada jenama Miu Miu. Filem ini mengisahkan fesyen, misteri, serta elemen kegembiraan dan permulaan baru yang melambangkan semangat perayaan Tahun Baru Cina 2025.
3. Moschino
Diinspirasikan oleh lukisan ular 3D yang dihasilkan oleh Franco Moschino pada akhir era 80-an, Moschino mempersembahkan koleksi kapsul khas yang sarat dengan elemen seni dan simbolik, dikhususkan untuk meraikan musim perayaan kali ini.
4. Bottega Veneta
Konsep video kempen yang dipersembahkan oleh Bottega Veneta lebih fokus pada visual sinematik hasil karya jurugambar Wing Shya sempena Tahun Baru Cina. Koleksi yang diinspirasikan oleh ular merah dan palet rona earthy ini memberikan penghormatan kepada Tahun Ular.
5. BOSS
Koleksi kapsul BOSS X COTG berkonsepkan trilogi filem mitologi Cina. Kempen ini merakam momen di Shanghai Film Art Centre dan menampilkan aktor Li Yun Rui dan model Li Linzi.
6. Golden Goose
Dengan tema 'The Golden Message to the Future,' Golden Goose mempersembahkan koleksi eksklusif yang meraikan transformasi sifat ular. Koleksi ini menggabungkan gaya kontemporari dengan elemen budaya, menawarkan perspektif fresh dan inovatif untuk musim perayaan kali ini.
7. Dior
Rekaan terbaru hasil kreativiti Maria Grazia Chiuri hadir dengan sentuhan motif ular yang direka khas sempena sambutan Tahun Baru Cina 2025. Koleksi ini turut dihiasi dengan elemen bintang berkilau, menambah keindahan pada rekaan ikonik Dior.
8. Max Mara
Sambut Tahun Ular bersama Max Mara, yang menggabungkan tradisi dengan fesyen kontemporari untuk menyerlahkan keanggunan dan aura misteri yang melambangkan simbol yang dihormati dalam budaya Cina.
9. MCM
Menggunakan merah jambu dan bermotifkan cetakan ular pada baju dan aksesori. MCM memberikan sentuhan baru kepada sambutan Tahun Baru Lunar dengan menggantikan rona merah terang tradisional kepada warna yang lebih lembut.
10. Polène
Diinspirasikan oleh festival tanglung, Polène memperkenalkan beg tangan Lopio dengan reka bentuk ringkas dan elegan yang menyerupai bentuk tanglung. Beg ini dilengkapi dengan pouch kulit merah, melambangkan warna Tahun Baru Cina serta sebagai penghormatan kepada Tahun Ular.