Taylor Swift mengemudi tahun ini dengan album ‘THE TORTURED POETS DEPARTMENT’ dengan penghasilan single kolaborasi bersama Post Malone menerusi lagu “Fortnight” meneruskan kelangsungan kariernya dengan cukup mudah. Beyonce mengalihkan tumpuan penggemar muzik dunia dengan penghasilan album Country ‘Cowboy Carter’.
Album tersebut menerima respons bercampur antara yang suka dan tidak kurang yang mempertikaikan kemampuan Beyonce dalam mentafsir muzik Amerikana tersebut. Namun rata-rata ulasan muzik datang dengan sudut pandang yang cukup positif terhadap penghasilan keseluruhan.
Bintang Pop lain seperti Billie Eilish turut mencatat rekod cemerlang tahun ini. Berbekal single “BIRDS OF A FEATHER” Billie mengekalkan popularitinya. Sabrina Carpenter dan Ariana Grande tidak gagal mencuri perhatian dengan pemasaran album yang cukup dIraikan tahun ini. Bakat baru seperti TYLA, Chapel Roan dan Shaboozey antara yang mencuri perhatian.
Muzik tempatan juga tidak sepi dengan penghasilan lagu-lagu berkualiti. Pemasaran album juga semakin diraikan pemuzik-pemuzik yang semakin memandang pentingnya untuk mereka menghasilkan album penuh. Hael Husaini membuka kalendar Pop tahun ini dengan penghasilan EP ‘Antonim Pt.1’ dengan hits seperti ‘Diam’ dan ‘Kejora’ dia berjaya mengekalkan momentum baik dalam kariernya sebagai bakat muzik yang terus diraikan.
Setelah hampir dua tahun tanpa sebarang single Pop, Dayang Nurfaizah tahun ini memberi harapan baru buat peminatnya saat mengumumkan penghasilan album berjudul ‘Janji’. Nama lain seperti Daiyan Trisha dan Amir Jahari mencipta momen mereka. ELLE Menelusuri pasaran muzik Pop sepanjang tahun dengan senarai pendek Yang Terbaik 2024.
HIT ME HARD AND SOFT (Billie Eilish)
Tidak salah jika disifatkan Hit Me Hard and Soft merupakan album paling matang daripada Billie Eilish. ‘BIRDS OF A FEATHER’ menjadi single yang cukup diraikan sepanjang tahun. Dalam durasi 43 minit, Billie Eilish membawa pendengar dengan naratif dan emosi berbeza, This is definitely one of her best albums to date.
Lagu pilihan: BIRDS OF A FEATHER, L’AMOUR DE DE MA VIE, LUNCH & THE GREATEST
BRAT (Charli XCX)
Charli XCX akhirnya menemukan momen terbaik sepanjang kariernya menerusi album ini. BRAT satu fenomena baru muzik Pop dunia dengan ilham yang cukup current, segar dan dekat dengan pendegar muda. Definisi terbaik hala tuju muzik hari ini.
Lagu pilihan: 360, Apple, Von Dutch & Club Classic.
THE TORTURED POETS DEPARTMENT (Taylor Swift)
Taylor Swift meneruskan kelangsungan idea dalam bermuzik tanpa putus. TTPD menjadi siren pengingat buat semua pendengar muzik bahawa langkahnya belum masih mahu diperlahankan. Idea dark academia menerusi album ini bergerak pada radar yang sangat diperlukan penggemar Taylor Swift khususnya.
Lagu pilihan: Fortnight, The Tortured Poets Department & So Long London.
DEEPER WELL (Kacey Musgraves)
Bintang Country ini melewati satu transisi kematangan bermuzik menerusi album studio kelimanya ini. ‘Deeper Well’ membawa tumpuan Kacey Musgraves pada pada penghasilan melodi yang simple tetapi cukup mengikat pendengar dengan penulisan liriknya. ‘The Architect’ menjadi antara lagu yang cukup mendapat respons baik daripada pengkritik muzik global.
Lagu pilihan: Cardinal, Deeper Well, The Architect & Irish Goodbye
TYLA (Tyla)
Tyla merupakan nafas segar muzik R&B yang dibaluti infusi African Pop yang menawan. Suaranya menjadikan dia begitu tersendiri, lembut dalam pentafsiran yang berbeza daripada penyanyi R&B wanita sedia ada. Album ini satu permulaan terbaik untuk satu perjalanan muzik yang lebih panjang.
Lagu pilihan: Water, Jump, Truth or Dare & Art
ANTONIM PT.1 (Hael Husaini)
Ilham Hael Husaini dalam menghasilkan sound Pop yang kekinian diteruskan menerusi EP lima lagu di album ini. ‘Diam’ menjadi focus track yang begitu berevolusi berbanding mana-mana lagu yang pernah dia rakamkan sebelum ini.
Lagu pilihan: Diam, Kejora & Usia
LOVELORN (Daiyan Trisha)
Daiyan Trisha membuktikan dia seorang yang memiliki citarasa muzik yang bagus. Album ini dalam persembahan Pop yang cukup segar untuk pasaran muzik tempatan khususnya. Lovelorn juga bukti kematangannya dalam muzik.
Lagu Pilihan: Surrender, Lovelorn & LDR
JANJI (Dayang Nurfaizah)
Dayang kembali dengan Pop yang cukup seimbang antara kualiti muzik dengan nilai komersial. Setiap satu lagu dihasilkan memenuhi kehendak pasaran muzik semasa dan pasa masa yang sama mengekalkan pesona Dayang sebagai penyanyi Pop.
Lagu pilihan: Mungkin ke?, Lemah & Tetap Di Sini
KEMBALI (Amir Jahari)
Eksplorasi muzik Amir Jahari diteruskan menerusi album solo ketiganya ini. Setelah kejayaan ‘Hasrat’, Amir menzahirkan satu pengalaman mendengarkan lagu-lagunya dalam melodi yang berbalut lirik-lirik bersifat kemanusiaan.
Lagu pilihan: Aku Rindu, Kenangan & Belasungkawa
SIALNYA HIDUP HARUS BERJALAN (Bernadya)
Bernadya menjadi bakat baru seberang yang paling menyerlah tahun ini. Menerusi album perdananya ini menjadi bukti dia seorang pemuzik yang memiliki ramuan tersendiri dalam mencuri perhatian pendengar muzik Nusantara.
Lagu Pilihan: Untungnya Hidup Harus Tetap Berjalan, Kita Kubur Sampai Mati & Lama-Lama
CAN MACHINES FALL IN LOVE? (Maliq & d’Essentials)
Magis dalam muzik MAD masih berbisa. ‘Aduh’ dan ‘Kita Bikin Romantis’ sebuah kelangsungan muzik mereka yang menyeimbangi kehendak muzik semasa dengan kemampuan mereka sebagai pemuzik.
Lagu Pilihan: Kita Bikin Romantis, Begini Begitu & Da Di Du Di Dada