Berlibur sambil teroka kekayaan budaya dan tradisi Hong Kong menerusi itinerari mesra Muslim yang direka khas untuk anda. Ia pasti akan menjadi pengalaman percutian yang akan diingati sampai bila-bila, kerana Hong Kong bukan sahaja merupakan syurga membeli-belah, malah mempunyai pelbagai tarikan pelancongan yang mesti anda teroka!
Menerusi Jelajah Hong Kong, sebuah inisiatif kerjasama Hong Kong Tourism Board (HKTB) dengan Crescent Rating, syarikat pemasaran pelancongan Muslim terkemuka antarabangsa dan Perbadanan Pemegang Amanah Dana Komuniti Islam Hong Kong (BOT), badan berkuasa pensijilan restoran Halal tempatan, telah menerajui pelbagai inisiatif menerusi kempen ini untuk mewujudkan persekitaran mesra Muslim bagi para pelancong.
Ketahui dan simpan itinerari di bawah untuk trip percutian anda nanti!
Melawat Masjid Ikonik
Masjid Kowloon
Untuk pelancong Muslim, salah satu destinasi wajib yang mesti anda singgah ialah Masjid Kowloon. Mercu tanda ikonik di Tsim Sha Tsui, masjid ini merupakan yang terbesar di Hong Kong dan boleh menampung sehingga 3,500 jemaah dalam satu masa. Seni bina menakjubkan bangunan agama ini menampilkan empat menara berketinggian 11 meter dan fasad marmar putih yang dihiasi dengan jaring terperinci. Masjid Kowloon ini bukan sahaja berfungsi sebagai hab budaya yang penting untuk penduduk sekitar, malah juga menjadi tempat penganjuran acara komuniti dan pendidikan.
Masjid Ammar dan Pusat Islamik Osman Ramju Sadick
Jika anda berada di sekitar Oi Kwan Road di Wan Chai, pastikan anda melawat Masjid Ammar dan Pusat Islamik Osman Ramju Sadick. Pusat keagamaan ini merupakan masjid ketiga yang dibina di Hong Kong serta boleh menampung kapasiti lebih 1,500 orang untuk kegunaan ibadat dan keperluan komuniti Muslim. Dibina pada tahun 1981, bangunan ini direka dan dibiayai oleh arkitek Muslim Cina, Osman Ramju Sadick.
Kantin Pusat Islam
Restoran Cina terkenal ini dijamin halal dan terletak di dalam Pusat Islamik Osman Ramju Sadick. Jika anda singgah ke sana, pastikan untuk merasai dimsum signature mereka, selain menawarkan pelbagai sajian yang melazatkan untuk harga yang sangat berpatutan.
Nikmati Makanan Dijamin Halal
Bombay Dreams
Nikmati sajian gastronomi autentik India di Bombay Dreams, restoran India pertama di Hong Kong yang menerima penghargaan Michelin Guide Bib Gourmand. Dekorasi mewah menghiasi interior dalaman menjadikan pengalaman kulinari anda lebih istimewa.
Imperial Patisserie
Jika anda meminati makanan manis, Imperial Patisserie mesti ada dalam senarai itinerari makan-makan percutian Hong Kong anda. Usah ragu-ragu kerana kedai manisan ini melalui proses pensijilan halal yang ketat, menjadikannya pilihan yang boleh dipercayai untuk pastri halal di Hong Kong.
Tarikan Mesti Dikunjungi
Hong Kong Disneyland
Jika anda sedang merancang percutian ke Hong Kong bersama anak kecil, Hong Kong Disneyland adalah destinasi liburan yang sempurna untuk seisi keluarga. Taman Tema ini mempunyai lebih daripada 100 tarikan dan hiburan. Pengunjung Muslim juga dapat menunaikan ibadat di ruang solat yang selesa, di samping menikmati menu yang disahkan halal di restoran Tahitian Terrace.
Aqua Luna
Nikmati pelayaran 45 minit di atas tongkang Cina tradisional sambil menghayati pemandangan panorama kota Hong Kong ketika matahari terbenam yang menakjubkan. Angin sepoi meniup rambut dengan alunan muzik di latar belakang menjanjikan pengalaman bercuti lebih indah.
Central Market
Jika anda mahu menyelami budaya tradisi tempatan, singgahlah ke Central Market kerana di sana anda boleh dapati pelbagai kraftangan unik, aneka gerai makanan lokal untuk di cuba dan bermacam lagi dengan suasana Hong Kong yang riuh.
Kredit foto: Hong Kong Tourism Board