Falsafah Wabi-Sabi mula diperkenalkan di negara China sebelum ia dikembangkan oleh masyarakat Jepun dengan pentafsiran yang baru. Konsep ini dimanipulasi sebagai satu gaya hidup yang meraikan kesempurnaan dalam ketidaksempurnaan. Konsep ini dihidupkan dalam penstrukturan seni bina serta seni pembuatan yang lama-kelamaan menjadi menjadi ikutan dan dialihkan konsepnya lebih meluas melengkapi sudut kehidupan seharian.
The art of entertaining atau seni meraikan tetamu diperkenalkan menerusi konsep ini oleh masyarakat di Jepun. Semakin ramai yang tertarik dengan cara hidup yang dianggap sederhana ini lantas menjadikan ia berkembang sebagai satu komuniti yang menghidupkan pemikiran, idea dan cara meraikan hal-hal sederhana dalam kehidupan.
Atas konsep yang ada juga ia menyatukan elemen seni bina Jepun dan seni reka dalaman Scandinavian bagi membentuk sebuah lagi pemikiran kreatif yang diberi nama Japandi. Konsep yang diperkenalkan kira-kira 200 tahun yang lalu ini tercipta ketika salah seorang pereka dalaman Scandinavian berkunjung ke Jepun dan tertarik dengan konsep Wabi-Sabi yang cukup dominan dalam seni penggayaan Jepun.
Konsep penyatuan budaya ini menemukan ELLE dengan pemilik rumah pilihan bulan ini iaitu pasangan Shade dan Ariff. Pasangan yang memiliki bisnes dekorasi perkahwinan dan acara – Flair Design meramu setiap ruang di kediaman mereka mengikut konsep serta falsafah Japandi dan Wabi-Sabi. Meraikan ketidaksempurnaan yang ada dengan satu cara yang cukup berkonsep.
Menurut pasangan ini rumah yang terletak di pinggiran Cyberjaya ini dipilih kerana mereka mahukan lokasi yang lari daripada hiruk pikuk kesibukan kota raya. Cyberjaya dilihat sebagai satu destinasi yang cukup sesuai didiami kerana infrastrukturnya yang mencukupi dan memenuhi kehendak kehidupan berkeluarga.
Rumah yang siap sepenuhnya pada tahun 2022 ini hanya dihuni sepenuh masa oleh pasangan ini bersama tiga anak mereka bersama seorang pembantu pada Oktober tahun lalu. “Proses ubah suai mengambil masa lebih enam bulan untuk disiapkan. Kami memilih konsep Japandi kerana mood serta tone yang diaplikasikan memberi nuansa yang cukup tenang dan selesa.” Tambah Shade lagi, hampir tujuh puluh peratus daripada ruang kediaman ini diubah daripada keadaan asal yang disediakan pemaju.
MATA TERTUMPU…
Saat pintu dibuka, mata tertumpu pada kabinet kekal yang dibuat khas. Disusun rapi pasu-pasu serta perhiasan rumah yang menurut mereka kebanyakannya dibeli di Bali juga Chiang Mai. “Ini adalah dua destinasi yang kerap kami kunjungi untuk mendapatkan perhiasan rumah. Selain daripada kehalusan seni kerja tangan mereka, rekaan yang ada juga sangat menarik dan menepati citarasa. Ia bersesuaian dengan konsep kediaman yang kami mahukan.”
Setiap sudut dinding di rumah ini diperkemaskan dengan tekstur berbeza. Bagi bahagian feature wall, pasangan ini memilih tekstur yang dipanggil popcorn texture yang menggunakan kepakaran pereka dalaman yang arif akan teknik penghasilannya. Permukaannya yang lebih kasar memberi dimensi tersendiri bagi membezakan feature wall ini dengan dinding lain yang melatari menggunakan teknik lime wash.
Diperhatikan pula struktur dinding melengkung di bahagian sisi penghujung setiap sudut rumah ini mencipta satu identiti tersendiri dan pada masa yang sama memperlihatkan citarasa pemiliknya yang tinggi dalam seni reka dalaman. Tangganya juga diubah rekaannya daripada yang asal juga mengambil gaya melengkung. “Kami mahu keseluruhan rumah ini ada elemen yang boleh menjadikan ia cukup tersendiri. Dinding melengkung ini menjadi antara fokus utama setiap mata yang masuk ke ruang kediaman.” Tambahnya lagi.