
Tamatnya Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026, terdapat sebuah pertunjukan yang masih segar dalam ingatan ramai. Dari awal lagi, video pembukaan dipaparkan di skrin pentas peragaan, diikuti penghormatan kepada mendiang bapanya. Hadirin bersedia untuk dibawa melalui sebuah perjalanan yang penuh emosi. Menjelang akhir persembahan koleksi itu, ada yang mengesat air mata sambil duduk terpegun. Inilah perasaan yang dihayati penonton ketika menyaksikan koleksi Grown: In Soft Time oleh Inisaya by Jeffery Goh.
Permulaan Seorang Pereka Fesyen

Menurut Jeffery, bapanya merupakan antara sebab dia memilih kerjaya dalam bidang fesyen. Oleh kerana pekerjaan bapanya, dia membesar dikelilingi dunia fesyen. “Saya ingat lagi masa saya kecil apabila saya melakar pakaian untuknya,” kata Jeffery. Bapanya juga sentiasa memupuk dan menyokong minat tersebut.

Pada peringkat awal, Jeffery menimba pengalaman di bawah bimbingan pereka fesyen lain. Pada tahun 2020, ketika dia bersedia untuk melancarkan perniagaannya sendiri, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan susulan pandemik COVID-19. Fokus Jeffery pada ketika itu adalah pakaian bridal dan gaun malam. Namun, disebabkan PKP, permintaan terhadap pakaian sebegini hampir tiada. Oleh itu, dia memilih untuk mereka pakaian kontemporari dan ready-to-wear, lalu lahirlah label Inisaya.
Setelah beberapa tahun beroperasi, mengembangkan perniagaan dan memperluaskan rangkaiannya, akhirnya Jeffery menerima peluang untuk mempersembahkan rekaannya di KLFW buat pertama kalinya, hanya sebulan selepas pemergian bapanya.
Inspirasi di Sebalik Koleksi

Sambil berdepan dengan dukacita kehilangan bapanya, Jeffery menguruskan emosinya dengan merancang koleksi yang bakal dipersembahkan di pentas KLFW. Pada mulanya, dia tidak dapat membayangkan bagaimana untuk menzahirkan sebuah koleksi berdasarkan perasaan kehilangan itu tanpa menjadikannya terlalu sedih. Namun, apabila mengenangkan minat bapanya terhadap aktiviti berkebun dan melihat kebun bunga yang ditinggalkannya, dia menemukan inspirasi utama bagi koleksi ini. Bagi Jeffery, sebuah kebun merupakan metafora yang paling tepat untuk menggambarkan perasaan kehilangan.

Grown: In Soft Time menterjemahkan perasaan kehilangan yang dialami Jeffery. Ia bukan sebuah koleksi berdasarkan kematian. "Ia tentang apa yang ditinggalkan setelah pemergian seorang insan seperti ilmu, kasih sayang dan segalanya yang tertanam dan terus hidup dalam ingatan," luah Jeffery.
Naratif 'Grown: In Soft Time'

Melihat koleksi itu dipersembahkan, sebuah naratif yang jelas dapat dirasai. Koleksi itu bermula dengan busana-busana gelap, berstruktur dan menampilkan siluet yang tajam. Warna hitam melambangkan perasaan sayu yang dialami pada awal kehilangan, manakala potongan dan siluetnya menterjemahkan beratnya perasaan yang dirasai. Sedikit demi sedikit, warna tanah mula diperkenalkan. Seiring dengan itu, bunga-bungaan juga mula mekar daripada kegelapan. Siluet dan fabrik yang digunakan turut menjadi semakin bebas dan ringan.

Persalinan terakhir yang diperagakan merupakan gaun ilusi nude, yang dipenuhi sulaman dan perincian bunga-bungaan. Tiada lagi warna gelap pada rekaan itu, sebaliknya bunga-bunga seolah-olah mekar dari tubuh. Seiring dengan persalinan tersebut, model turut membawa bekas siraman kebun milik bapa Jeffery, menambah satu lagi sentuhan peribadi. Look ini melambangkan bahawa pemergian seseorang tidak akan dilupakan, tetapi akan berubah menjadi memori yang terus mekar dalam fikiran dan kekal dekat di hati.
Retrospektif Pertunjukan KLFW

Jeffery sangat berpuas hati dengan persembahan koleksinya. Dia gembira mengetahui bahawa koleksi ini dapat menyentuh hati orang ramai. “Saya mereka koleksi ini daripada pengalaman yang sangat peribadi. Melihat orang ramai dapat berhubung dengan koleksi ini adalah hasil terbaik yang saya boleh harapkan,” kata Jeffery.
“Saya berharap orang ramai mengetahui bahawa pemergian seseorang bukanlah pengakhiran mereka.” Melalui gambaran taman sebagai simbol pertumbuhan, Jeffery berharap koleksi ini dapat mengingatkan bahawa berduka tidak bermakna seseorang perlu berhenti menjalani kehidupan. Sebaliknya, seseorang masih boleh membawa cinta dan kenangan itu bersama mereka sambil perlahan-lahan membenarkan diri untuk kembali mekar.
“In spite of loss, love insists to keep blooming.”

