
Daripada pentas K-pop ke dunia sukan dan gaya hidup, BOYNEXTDOOR kini memulakan satu perjalanan baharu sebagai global brand ambassadors untuk Under Armour. Menampilkan SUNGHO, RIWOO, JAEHYUN, TAESAN, LEEHAN dan WOONHAK, kumpulan ini menjadi wajah kempen terbaharu jenama tersebut, ‘Commit’, yang akan dilancarkan di seluruh dunia.
Bukan Sekadar Tentang Kemenangan

Kempen ini mengalihkan perhatian daripada kemenangan dan pencapaian semata-mata kepada proses di belakangnya: disiplin, keinginan, konsistensi dan komitmen untuk terus hadir melakukan perkara yang dicintai.
Dan siapa lebih sesuai membawa mesej tersebut selain BOYNEXTDOOR?
Sejak debut, kumpulan enam anggota ini membina identiti menerusi muzik yang dekat dengan kehidupan sebenar, persembahan yang penuh karakter serta keberanian untuk tampil sebagai diri sendiri. Mereka tidak terburu-buru mengejar satu definisi tentang apa ertinya menjadi bintang K-pop. Sebaliknya, mereka membina laluan sendiri, one step at a time.
Enam Personaliti, Satu Semangat
Kerjasama ini akan diperkenalkan menerusi sebuah filem kempen yang menampilkan keenam-enam anggota BOYNEXTDOOR, sebelum diteruskan dengan filem dan visual individu yang memperlihatkan karakter setiap ahli.
Turut menjadi tumpuan ialah Bouncy Tee, rekaan terbaharu Under Armour yang mengutamakan keselesaan dan kebebasan bergerak. Dalam kempen ini, setiap anggota membawa interpretasi tersendiri terhadap rekaan tersebut, menggabungkan gaya peribadi, karakter dan rutin harian mereka.
BOYNEXTDOOR, Dalam Versi Mereka Sendiri
Buat BOYNEXTDOOR, mesej ‘Commit’ juga mempunyai makna yang cukup peribadi.
“Kami sentiasa percaya untuk meletakkan idea dan tenaga sendiri dalam setiap perkara yang kami lakukan, serta menunjukkan siapa diri kami melalui muzik dan persembahan,” ujar kumpulan tersebut.
Bagi mereka, komitmen bukan tentang memberikan yang terbaik hanya apabila semua mata tertumpu kepada mereka. Ia adalah tentang terus memberikan tenaga kepada perkara yang mereka percaya walaupun perjalanan itu memerlukan masa.

