Langgan

Menyusuri Sejarah dan Warisan di Pulau Pinang

Cerita disebalik warna warni kehidupan dan warisan Pulau Pinang
2 minit untuk membaca
Published: July 31, 2026

Pulau Pinang bukan sekadar destinasi untuk menikmati makanan jalanan dan pemandangan bandar. Di sebalik lorong-lorong George Town, bangunan kolonial dan rumah kedai lama, tersimpan kisah tentang sebuah negeri yang dibentuk oleh pelbagai budaya, komuniti dan zaman.

Buat anda yang gemarkan sejarah dan warisan, berikut beberapa lokasi yang boleh dimasukkan dalam senarai kunjungan seterusnya.

UMI UMI

Sejarah tidak semestinya perlu dipelajari melalui muzium. Di UMI UMI, pengalaman menikmati makanan hadir bersama persembahan teater yang membawa pengunjung menyelami kisah dan budaya tempatan.

Gabungan makanan dan penceritaan ini menjadikan pengalaman di UMI UMI sedikit berbeza. Ia bukan sekadar duduk menikmati hidangan tetapi turut mengenali cerita yang membentuk identiti Pulau Pinang.

1926 Heritage Hotel

Bagi yang mahu merasai suasana Pulau Pinang dari perspektif yang lebih klasik, 1926 Heritage Hotel menawarkan pengalaman yang berbeza. Disini tetamu dapat menginap dalam persekitaran yang penuh dengan karakter sejarah.

Bangunan dan suasananya membawa kembali sisi lama George Town. Menjadikannya salah satu pilihan menarik untuk mereka yang mahu menjadikan penginapan sebahagian daripada pengalaman mengenali warisan bandar ini.

Penang History Gallery

Jika anda ingin memahami sejarah Pulau Pinang dengan lebih dekat, Penang Heritage Gallery boleh menjadi antara persinggahan utama. Koleksi dan pameran di sini memberi gambaran tentang perkembangan Pulau Pinang serta pelbagai kisah yang membentuk warisan negeri tersebut.

Daripada sekadar melihat bangunan lama, kunjungan ke galeri ini memberi peluang untuk memahami cerita di sebalik sejarah yang menjadi latar kepada kehidupan moden George Town.

Penang Ferry Museum

Feri Pulau Pinang pernah menjadi sebahagian penting daripada kehidupan harian masyarakat yang berulang-alik antara Pulau dan Seberang Perai. Hari ini, sejarah pengangkutan ikonik itu boleh dikenali dengan lebih dekat menerusi Penang Ferry Museum.

Buat pencinta sejarah pengangkutan dan nostalgia, muzium ini menawarkan satu lagi perspektif tentang bagaimana feri bukan sahaja menghubungkan dua kawasan tetapi turut menjadi sebahagian daripada identiti Pulau Pinang.

The Blue Mansion

Antara bangunan paling mudah dikenali di George Town, The Blue Mansion atau Cheong Fatt Tze Mansion menonjol dengan warna birunya yang ikonik serta seni bina yang menggabungkan pengaruh Timur dan Barat.

Dibina pada penghujung abad ke-19, rumah agam ini mempunyai sejarah yang cukup panjang dan pernah menjadi kediaman tokoh perniagaan Cheong Fatt Tze. Hari ini, ia menjadi salah satu lokasi warisan yang menarik untuk diterokai, sama ada melalui lawatan, penginapan atau sekadar mengagumi seni binanya.

Pinang Peranakan Mansion

Untuk mengenali kehidupan masyarakat Peranakan dengan lebih dekat, Pinang Peranakan Mansion adalah antara lokasi yang tidak patut dilepaskan.

Rumah agam ini menampilkan pelbagai koleksi antik, perabot dan artifak yang memberikan gambaran tentang kehidupan masyarakat Baba-Nyonya pada zaman dahulu. Dengan seni bina yang penuh perincian, setiap ruang di dalamnya seakan membawa pengunjung kembali ke satu era yang berbeza.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down