Langgan

Mengapa Semua Selebriti Hollywood Kini Membawa Dior Cigale?

Sebuah It Bag yang sebenar bukan hanya cantik untuk dibawa, tetapi juga mempunyai cerita yang menjadikannya relevan merentas generasi.
2 minit untuk membaca
Published: July 21, 2026

Apabila Jonathan Anderson memperkenalkan Dior Cigale dalam pertunjukan Dior Musim Bunga/Panas 2026, ia bukan sekadar pelancaran sebuah beg tangan baharu. Sebaliknya, ia menandakan kelahiran calon It Bag seterusnya buat rumah fesyen Dior.

Tidak hairanlah hanya beberapa bulan selepas penampilannya di pentas peragaan, Dior Cigale sudah menghiasi gaya selebriti ternama seperti Rihanna, Taylor Swift, Charlize Theron, Anne Hathaway, Rosalía, JISOO, Jennifer Lawrence dan Priyanka Chopra.

Jadi, apakah yang menjadikan Dior Cigale begitu istimewa?

Inspirasi Daripada Sejarah Dior

Rihanna

Keunikan Dior Cigale bermula daripada kisah di sebalik penciptaannya. Jonathan Anderson mengambil inspirasi daripada La Cigale, gaun ikonik yang diperkenalkan oleh Christian Dior menerusi koleksi Haute Couture Musim Luruh/Sejuk 1952–1953.

Gaun tersebut terkenal dengan siluetnya yang dramatik tetapi bersih, diperbuat daripada fabrik sutera moiré kelabu dengan lipatan halus yang menghasilkan struktur dan volume yang begitu tersendiri. Anderson sendiri pernah menyifatkan La Cigale sebagai "gaun kegemaran saya dalam sejarah fesyen", menjadikannya titik permulaan yang sempurna untuk mentafsir semula warisan Dior dalam bentuk aksesori.

Sentuhan Couture Dalam Sebuah Beg

Seperti gaun yang menjadi inspirasinya, Dior Cigale menampilkan pembinaan yang menyerupai hasil jahitan couture. Bentuknya yang asimetri memberikan karakter yang moden, manakala perincian reben ikonik pada bahagian hadapan merupakan penghormatan kepada tali pinggang berikat pada rekaan asal La Cigale.

Hasilnya ialah sebuah beg yang kelihatan sofistikated dari setiap sudut. Cukup berani untuk menjadi penyataan gaya, namun cukup versatile untuk dipadankan dengan pelbagai penampilan.

Kuasa Sebuah It Bag

Charlize Theron

Status It Bag tidak datang hanya kerana nama besar Dior. Dior Cigale berjaya memenuhi apa yang dicari wanita moden: reka bentuk yang unik, praktikal dan mudah digayakan dari siang hingga malam.

Versi kulit hitam menjadi pilihan Rihanna, Taylor Swift, Charlize Theron, Anne Hathaway dan Rosalía, menyerlahkan estetika klasik yang sesuai dipadankan dengan apa jua gaya.

Sementara itu, selebriti seperti JISOO, Jennifer Lawrence, Greta Lee, Priyanka Chopra dan Charli XCX memilih rona lebih ekspresif seperti Rose Ballet, Rose Soupir, Hibiscus dan Hermitage, membuktikan bahawa Dior Cigale turut menawarkan sisi yang lebih segar dan feminin.

Lebih Daripada Sekadar Beg Tangan

Direka untuk menemani rutin harian wanita moden, Dior Cigale boleh digayakan sebagai beg tangan, digalas di bahu atau dipakai silang badan. Fleksibiliti ini menjadikannya bukan sahaja cantik dipandang, malah praktikal untuk pelbagai situasi, daripada mesyuarat penting hinggalah makan malam bersama teman.

Di sebalik rekaannya yang minimalis, setiap perincian Dior Cigale memperlihatkan kepakaran artisan Dior dalam menghasilkan aksesori yang mengimbangi fungsi dan estetika.

Kredit gambar: Ihsan Dior

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down