
Bermula dengan khabar angin percintaan hinggalah penampilan awam yang semakin kerap, Kendall Jenner dan Jacob Elordi kini menjadi pasangan selebriti yang paling hangat diperkatakan. Namun bukan sekadar hubungan mereka yang mencuri perhatian, gaya fesyen kedua-duanya turut menjadi topik perbualan dalam kalangan peminat fesyen dan pop culture.
Sejak mula dikaitkan bersama awal tahun ini, Kendall dan Jacob dilihat berkongsi estetika gaya yang hampir serupa — santai, minimalis dan cukup sofistikated. Apa yang menarik, mereka tidak memilih gaya "matching" yang terlalu ketara, sebaliknya mengamalkan pendekatan koordinasi yang lebih halus dan moden.
Dari Coachella Ke Tokyo
Spekulasi mengenai hubungan mereka mula memuncak selepas beberapa kemunculan bersama di acara sosial termasuk Coachella dan percutian di Hawaii. Pasangan itu telah meluangkan masa bersama secara peribadi selama beberapa bulan sebelum hubungan mereka menjadi perhatian umum.
Terbaharu, mereka dilihat menikmati percutian di Tokyo, Jepun. Foto yang dikongsikan oleh beberapa restoran tempatan memperlihatkan pasangan itu tampil santai dalam rona gelap yang sepadan, sekali gus mengukuhkan lagi reputasi mereka sebagai pasangan dengan gaya yang serasi.
The Art of Couple Dressing
Jika kebanyakan pasangan selebriti memilih untuk tampil sedondon secara literal, Kendall dan Jacob mengambil pendekatan yang lebih subtle. Keserasian gaya mereka turut terserlah ketika berada di Tokyo. Kendall dilihat mengenakan set pakaian berinspirasikan pijama berwarna krim yang mewah dan feminin, sementara Jacob memilih kemeja berjalur klasik yang mengekalkan elemen santai tetapi tetap kemas. Walaupun berbeza siluet, kedua-dua penampilan itu berkongsi bahasa fesyen yang sama: tenang, moden dan tidak terlalu mencuba.
Minimalis Yang Menjadi Identiti

Bukan rahsia lagi bahawa Kendall telah lama menjadi ikon kepada gaya minimalis kontemporari. Daripada koleksi beg The Row sehinggalah kecenderungannya terhadap palet neutral, estetikanya sentiasa berpaksi kepada kemewahan yang tidak terlalu menonjol. Jacob pula semakin dikenali sebagai antara aktor Hollywood dengan gaya peribadi yang konsisten, sering menggabungkan asas pakaian klasik dengan sentuhan moden yang santai.
Pertemuan dua estetika ini mencipta satu definisi baharu tentang couple dressing: kurang tentang berpakaian serupa, lebih kepada bergerak dalam bahasa fesyen yang sama.
