Langgan

Kembara Melewati Warisan Marrakesh

Penulis tamu, Marta Romashina berkelana melewati ceritera penuh warisan.
2 minit untuk membaca
Published: April 29, 2026
Marrakesh yang penuh cerita warisan.

 

Ada nadi yang berdenyut kencang saat kepelbagaian seni menyatu sebagai sebuah budaya. Mata terpana pada kepingan-kepingan jubin kecil yang melengkapkan setiap sudut dengan penuh warna dan dengan kesibukan di souk menjadikan Marrakesh sebagai destinasi penuh cerita.

Sejarahnya yang cukup kaya dengan cerita warisan membentuk satu perspektif budaya yang penuh tradisi. Namun tidak ketinggalan dengan arus kemodenan yang menjadikan kota ini penuh inspirasi. Apa yang saya temui adalah rasa kagum yang tak berhujung pada setiap perinciannya. 

Wisata kali ini membawa perhentian penulis bermula di hotel Mandarin Oriental sebagai destinasi singgah yang mewah. Ia bukan penginapan biasa, apa yang ditawarkan adalah pengalaman menyeluruh untuk pengunjung yang mahukan destinasi lengkap untuk menginap. 

Marrakesh State of Mind

Perjalanan 45 minit dari Marrakesh membawa penulis melewati keindahan padang pasir di Agafay Desert. Gurun berbatu yang melatari cukup memukau pandangan dan ketika kami tiba di Kem Al-Kamar, kelihatan sebuah kolam infiniti yang terhampar luas sejauh mata memandang. Apa yang ditawarkan ada pengalaman cukup mewah menikmati sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini. 

Pesona Kem Al-Kamar tidak hanya pada pemandangan indah yang ada namun juga  kehangatan dan keramahan orang-orang di sana. Penulis sempat bertemu dengan salah seorang nomad yang bernama Mohammad yang menjadi pemandu kami sepanjang berada di sini. Mendengar ceritanya membuatkan hati semakin tertawan melewati pengembaraan ini.

Kembara di waktu siang memberi lebih keterujaan. Laluan gurun kami lewati dengan struktur jalan berbukit pasir dengan bertemankan simbahan mentari yang menerangi. Biar begitu teriknya, hari terakhir kami berbalut kedinginan dengan kehadiran musim sejuk yang menurut Mohammad jarang berlaku namun bagai magis ia menemani hari terakhir kami di sini. 

Madinah Destinasi Langka

Menjadi nadi utama Marrakesh, Madinah menjadi satu pengalaman baru buat saya. Di sini saya menemukan barisan souk yang cukup meriah dengan hasil jualan warga tempatan. Setiap lorong-lorongnya diisi penuh warna, aroma dan bunyi yang memukau deria. Saya menemukan khazanah permaidani tenunan tangan, seramik dan tekstil yang cukup berwarna. 

Selain itu pilihan yang nyata menarik di sini adalah rempah-ratus yang pelbagai. Berbual mesra dengan peniaga di sini menemukan saya dengan artisan ukiran kayu dan tembaga yang menjadi keutuhan seni ketukangan Marrakesh. Berbelanja di sini jangan lupa untuk tawar menawar, ada cara dan seninya. Kena pada cara pasti mampu mendapatkan tawaran harga terbaik.

Ada sebuah kedai yang begitu menarik perhatian saya di sebalik kesibukan kota ini. Ruangnya malap dan dikendalikan oleh seorang lelaki tua yang penuh misteri. Di dalamnya terisi barangan cukup unik dan aneh seperti tangkal, balang-balang berisi ubat dan sarat dengan aura penuh mistik. 

Marrakesh tidak hanya sekadar sebuah kota singgah. Ia menawarkan satu memori yang membekas rasa lewat sejarahnya, seni berukir di dinding, marmar di lantai penuh warna - semuanya cukup ikonik dan distingtif sekali. Melewati ruang rasa pada hidangannya yang berbeza dengan apa yang sering dinikmati turut memberikan satu pengalaman baru yang akan diingati terus berpanjangan.

Teks / Fotografi: Marta Romashina Olahan: Hafizan Mohd

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down