
Sama ada anda sudah menghafal setiap rentak ‘DNA’, ‘Fake Love’ atau ‘Dope’ atau baru sahaja mengenali fenomena global bernama BTS, satu perkara pasti. Kepulangan mereka menandakan detik penting dalam dunia pop. Bagi ARMY tegar, legasi ini tidak memerlukan pengenalan. Bagi pendengar baharu yang tertarik dengan era ‘ARIRANG’, anggap ini sebagai titik permulaan anda. Fandom ini sentiasa luas, inklusif dan berkembang seperti juga tujuh figura di sebaliknya.
Dengan kumpulan ini kini berada di fasa awal ARIRANG World Tour 2026, inilah masa terbaik untuk mengejar perkembangan terkini. Berikut ialah video muzik baru yang membentuk bab baharu mereka:
'Swim'
Lagu utama album ini beralun secara perlahan namun mendalam. Dirakam di pesisir indah Lisbon, Portugal, video ini sarat dengan elemen introspektif, menampilkan ahli-ahli BTS seolah-olah hanyut di lautan. Pelakon Lili Reinhart turut membuat penampilan khas menyertai perjalanan reflektif ini. Visualnya mencerminkan inti pati lagu: bergerak seiring arus kehidupan, bukan melawannya.
'2.0'
Sebagai simbol kepulangan, ‘2.0’ menandakan fasa kedua BTS selepas tempoh perkhidmatan ketenteraan. Video ini mengambil inspirasi daripada filem ‘Oldboy’ (2003) arahan Park Chan-wook, khususnya melalui adegan koridor yang mengingatkan kepada koreografi ikonik filem tersebut. Mengolah semula identiti lama dengan ketelitian baharu, visual ini terasa seperti sebuah “versi baharu” kepada gaya mereka yang tersendiri.
'Hooligan'
Penuh ketegangan visual, ‘Hooligan’ menyelami naratif distopia yang sarat dengan tema pemberontakan dan kuasa. Diarahkan oleh Hannah Lux Davis, video ini mengimbau kembali tenaga mentah era ‘Dark & Wild’ dengan sentuhan alternatif hip-hop. Penari bertopeng, adegan pertarungan bergaya serta kemunculan model Soo Joo Park sebagai figura samurai moden menambahkan elemen dramatik.
'BTS The Comeback LIVE'
Bonus: untuk sneak preview pengalaman world tour mereka, saksikan ‘BTS The Comeback / Arirang’ di Netflix yang mula ditayangkan pada 20 Mac. Rancangan khas ini menawarkan perspektif eksklusif terhadap skala, tenaga dan emosi era ‘Arirang’.
