Terletak di pesisir pantai yang tenang di selatan Johor, Anantara Desaru Coast Resort & Villas menawarkan suasana yang mempesona. Resort ini turut memperkenalkan pengalaman bermusim yang menonjolkan keindahan alam, kesejahteraan holistik dan warisan budaya tempatan. Resort mewah ini menawarkan pengalaman percutian yang santai dan penuh makna melalui pelbagai aktiviti serta sajian istimewa. Setiap pengalaman direka untuk memberikan kenangan yang indah dan menyentuh emosi para tetamu.

Sentuhan Baru Percutian Pantai
ELLE berpeluang merasai pengalaman baharu di Anantara Desaru Coast. Menerusi pengenalan Anantara Sea View Suite, penginapan yang menawarkan suasana pantai yang tenang dan eksklusif. Suite seluas 49 meter persegi ini dilengkapi ruang rehat yang selesa. Ia juga mempunyai teres berlingkar yang membuka pemandangan laut yang luas dan menenangkan.

Kemudahan premium seperti mini bar yang diisi semula setiap hari menambah keselesaan sepanjang penginapan. Dengan reka bentuk yang menggabungkan kemewahan moden dan suasana pantai yang santai, suite ini menjadi pilihan ideal untuk menikmati keindahan Desaru dengan lebih peribadi. Pilihan pakej penginapan yang fleksibel juga memudahkan tetamu merancang percutian mengikut keselesaan sendiri.

Menikmati Senja dengan Gaya Lebih Elegan
Percutian di pesisir pantai terasa tidak lengkap tanpa menikmati keindahan matahari terbenam. Di Observatory Bar, kami meluangkan masa menikmati waktu senja melalui pengalaman yang menggabungkan sajian mewah dengan panorama laut yang luas terbentang. Gabungan minuman premium dan canape kaviar menjadikan detik ini terasa istimewa sesuai sebagai pembuka kepada malam yang santai.

Bagi suasana yang lebih santai, restoran Turmeric menawarkan afternoon tea di tepi kolam renang. Hidangan manisan dan savouri yang disajikan secara bertingkat mencipta pengalaman menjamu selera yang elegan, dilengkapi pilihan minuman panas tanpa had serta minuman sparkling yang melengkapkan suasana petang.
Kesejahteraan Holistik di Tengah Alam Tropika
Anantara Spa menawarkan ruang yang menenangkan untuk memperlahankan langkah dan memberi tumpuan pada kesejahteraan diri. Menu spa yang diperbaharui menggabungkan falsafah kesejahteraan Asia dengan sentuhan moden, menekankan pemulihan menyeluruh.
Salah satu rawatan yang menarik perhatian adalah Aromatic Wellness Journey, ritual relaksasi selama 90 minit yang menggabungkan urutan aromaterapi dengan pilihan rawatan tambahan. Terdapat juga rawatan lain seperti Shirodhara, Abhyanga Massage dan Lymphatic Drainage yang menyokong keseimbangan tenaga serta ketenangan minda. Dikelilingi taman tropika yang rimbun, suasana spa ini terasa sangat dekat dengan alam semula jadi, memberikan pengalaman relaksasi yang tenang dan menyegarkan.

Nostalgia Rasa Malaysia
Selain menawarkan pengalaman santai dan kesejahteraan, percutian kami di Anantara Desaru Coast turut diwarnai dengan pengalaman makan di restoran Turmeric melalui sajian khas Senandung Desa. Hidangan bermusim ini mengetengahkan resipi tradisional Malaysia yang diwarisi turun-temurun, membawa rasa yang mengimbau kenangan dan identiti budaya tempatan.

Bufet ini memperlihatkan pelbagai hidangan berempah, masakan slow cooked, makanan laut segar serta pencuci mulut tradisional, semuanya disediakan dengan sentuhan moden tanpa menjejaskan keaslian rasa. Setiap hidangan mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia, menjadikan pengalaman makan lebih hangat dan penuh nostalgia. Konsep Senandung Desa juga menekankan nilai kebersamaan, mengingatkan pada suasana jamuan keluarga dan perayaan.

Menyusuri Alam Bersama Kemudahan Mewah
Pengalaman berenang di Anantara Desaru Coast Resort & Villas terasa istimewa kerana setiap kolam mempunyai suasana yang berbeza. Kolam infiniti yang menghadap laut menjadi tarikan utama, di mana kami dapat berenang sambil menikmati pemandangan laut dan bunyi ombak yang menenangkan, terutama pada waktu pagi atau senja.

Sementara itu, kolam lagoon menawarkan suasana yang lebih santai, dikelilingi landskap tropika yang menghijau. Dengan adanya Lagoon Pool Bar, kami juga boleh menikmati minuman ringan tanpa perlu keluar dari kawasan kolam. Secara keseluruhan, kolam renang di resort ini melengkapkan pengalaman percutian yang tenang dan mewah.

