Langgan

ELLE Women in Music: Nabila Razali

Nabila Razali tegar melewati kembara seninya.
3 minit untuk membaca
Published: February 16, 2026
Nabila Razali menyarung persalinan Behati.

Tegar mungkin perkataan yang tepat menggambarkan keberadaan Nabila Razali dalam persada muzik tempatan. Dia menerajui kembara bermuziknya tanpa bergitu mengira apa persepsi orang luar kerana apa yang penting lagu-lagunya diterima terbuka pendengar tempatan.

Hal ini jelas saya kira, Nabila Razali hari ini memiliki katalog muzik yang cukup solid untuk orang mengingatinya sebagai penyanyi. ‘Peluang Kedua’, ‘Pematah Hati’, ‘Vroom Vroom’ sehingga yang terkini ‘#BalasBaik’ mengukuhkan namanya sebagai penghibur Pop yang memiliki pengikut tersendiri.

Masih banyak impian yang mahu dicapai dan masih panjang perjalanan yang mahu dia teruskan. Nabila Razali faham keperluan pemasaran muzik sebagai azimat menjerat pendengar. Gimik itu mungkin sinonim dengannya namun apa yang pasti ia datang seiring dengan kehendak lagu yang mahu dia pasarkan.

ELLE: Nabila sudah melalui satu landasan panjang sebagai penyanyi. Untuk meyakinkan pendengar akan bakat yang dimiliki itu sesuatu yang Nabila sentiasa fikirkan atau tidak pun sebenarnya?

Nabila Razali: Susahnya sebab Bella tidak dikenali sebagai power house singer tapi lebih kepada penghibur. Jadi banyak orang tak nampak kalau Bella sebagai penyanyi sebenar tapi orang nampak oh, lagu dia best. Sebab itu setiap kali kalau Bella perform orang bukan nak dengar vokal tapi lebih kepada melihat apa yang Bella akan tawarkan di atas pentas. 

Untuk Bella buktikan pada orang yang Bella seorang penyanyi it doesn't work that way sebab apa yang Bella tawarkan adalah satu konsep menyeluruh dalam persembahan tidak hanya vokal. Disebabkan itu pemilihan lagu yang tepat sangat penting untuk Bella supaya ia lengkap sebagai satu produk yang menyeluruh. Bukan tentang vokal sahaja tetapi persembahan.

E: Branding Nabila Razali dan gimik pemasaran muzik itu sesuatu yang cukup sinonim saya kira. Mengapa hal itu sentiasa menjadi fokus setiap kali memasarkan single baru?

NR: Bagi Bella setiap produk yang Bella keluarkan itu ada kos yang harus dihitung kira. Faktor masa, kos dan tenaga itu harus berbalik dengan pulangan yang sepatutnya. Bukan dalam bentuk kewangan sahaja tetapi feedback pendengar, especially daripada peminat-peminat Bella. 

Bukanlah bermaksud harus bergantung pada gimik semata-mata tapi lebih pada strategi macam mana nak pastikan lagu yang kita keluarkan itu sampai pada pendengar. Selalunya kalau ada gimik yang kita buat pun ia akan berkaitan dengan lagu yang nak dikeluarkan bukan setakat nak cipta kontroversi semata-mata. 

E: Jadi cara Bella memilih lagu itu sendiri bagaimana?

NR: Kena sentiasa pastikan lagu yang nak diterbitkan itu relate dengan pendengar. Tak boleh nak syok sendiri. Jadi sangat penting untuk Bella make sure lagu yang Bella rakam itu bukan Bella saja yang suka tapi orang pun akan suka. In order to get that, musically Bella kena aware dengan apa yang pendengar suka dan untuk lirik pula kena pastikan ia relatable dengan cerita orang di luar sana. Disebabkan itu, Bella percaya pada perancangan dan strategi pemasaran penting sebelum memutuskan untuk keluar dengan satu-satu lagu. 

E: ‘#BalasBaik’ menjadi pertaruhan terkini, apa yang Bella mahu sampaikan menerusi single ini?

NR: Sebenarnya lama Bella tak keluar dengan single upbeat. Sebelum ‘#BalasBaik’ Bella banyak fokus pada penciptaan lagu-lagu galau jadi ramai yang dah tanya bila lagi nak keluarkan lagu rancak. Jadi terhasillah ‘#BalasBaik’ yang juga ideanya datang daripada keadaan semasa. Dunia media sosial hari ini menjadikan ramai manusia yang toksik dan semakin kurang hal-hal baik yang diraikan. Fokus lagu ini untuk menyebarkan perkara yang baik dengan penciptaan melodi yang masih kekal catchy.

E: Untuk dapatkan keseimbangan dalam muzik yang Bella mahu lakukan dengan expectation mass market itu susah?

NR: Susah sebabnya sebagai penyanyi Bella ada kesukaan Bella tapi pendengar juga ada expectation sendiri setiap kali Bella keluar lagu. Ada karya yang kita keluarkan berjaya ada juga yang tak berjaya. Tapi Bella percaya yang kurang berjaya itu pun sentiasa akan ada pendengar tersendiri. Bella tak pernah rasa macam oh, tak patutlah kita keluarkan lagu ni. Setiap lagu itu pasti akan ada pendengar walaupun sorang atau dua orang saja yang suka ia tetap penting bagi Bella. 

E: Apa lagi yang Bella mahu capai dalam muzik?

NR: Sebuah album dan solo showcase. Sepanjang jadi penyanyi Bella selalu jadi artis jemputan untuk kawan-kawan punya show, jadi Bella rasa teringin untuk ada showcase solo sendiri. Tapi semuanya perlu perancangan yang teliti, persiapan yang secukupnya. Setiap persembahan pentas sekarang Bella akan pastikan ia jadi persembahan terbaik Bella. So, hopefully kalau tiada aral melintang kita target tahun ini untuk solo showcase itu menjadi kenyataan. 

E: Ada keinginan untuk berkolaborasi dengan komposer tertentu?

NR: Bella terbuka sebenarnya. Apa yang penting lagu yang dihasilkan itu mengena dengan karakter suara, personaliti dan imej Bella. Tapi kalau nak tahu, Bella kadang-kadang terfikir juga macam mana sound Nabila Razali itu akan terhasil kalau Bella berkesempatan berkerjasama dengan arwah Adnan Abu Hassan. Bella suka lagu-lagu ciptaan arwah dan terfikir juga kalaulah Bella ada di zaman itu lagu apa yang Bella akan dapat daripada komposer sehebat Adnan Abu Hassan.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down