
Perjalanan bermuzik yang dia lalui bukan sekejap masa. Berawal pada usia cukup muda, Wani Kayrie bergerak dari satu pentas pertandingan nyanyian ke pentas pertandingan berbeza hanya dengan iltizam bergelar seorang penghibur yang diraikan bakatnya. Pada usia 19 tahun dia memiliki hits dengan tontonan melebihi satu juta di YouTube menerusi single ‘Jangan Jangan’.
Namun itu tidak menjadi laluan mudah buatnya kekal di radar penyanyi yang sudah diperakui bakat serta kemampuannya. Hari ini pada usia 25 tahun dengan pengalaman turun naik yang dilalui sebagai anak seni, Wani Kayrie semakin matang dan faham akan rentak yang harus disusun untuk terus menambat hati pendengar muzik tempatan.
Tahun 2025 menjadi tahun penting buatnya, berbekal hits ‘Cak Cak Cekuk’ dan anthem lagu raya ‘Nyum Nyum Ketupat’ memberi hayat baru untuknya benar-benar memiliki momen besar di persada muzik tempatan. Bersama ELLE dia menyusun bicara tentang cita-cita dan harapan kedepannya.
ELLE: ‘Cak Cak Cekuk’ memberi dimensi baru muzik Wani Kayrie. Semakin ramai yang memberi perhatian akan bakat serta kemampuan Wani sebagai penyanyi. Ada tekanan untuk menghasilkan naskhah baru dengan impak serupa?
Wani Kayrie: Tekanan itu mesti ada tapi saya tak nak jadikan ia sebagai beban untuk fikirkan apa yang harus dilakukan setelah kejayaan ‘Cak Cak Cekuk’. Apa yang pasti dengan kejayaan lagu tersebut buat saya semakin jelas dengan arah muzik. Jadi setiap kali minta lagu pada komposer memang kita akan minta elemen dan direction serupa tapi kalau boleh tidak terlalu mengikut formula serupa supaya setiap komposer masih boleh bekerja mengikut kreativiti mereka.
E: Tahun lepas juga Wani akhirnya menerbitkan sebuah album. ‘W2K’ itu mewakili jiwa sebenar muzik Wani Kayrie atau ia sekadar satu percubaan mencuri perhatian pendengar?
WK: Ini satu projek gabungan idea my label bersama barisan komposer yang meningkat naik sekarang. Album ini menampilkan sound berbeza untuk membentuk kemunculan baru saya sebagai penyanyi namun masih mengekalkan identiti Wani Kayrie itu sendiri. Bekerjasama dengan Ezra Kong contohnya membuka ruang untuk saya mengembangkan idea asal yang ada menjadi lebih Wani Kayrie sifatnya. Apa yang ditawarkan menerusi album ini bagi saya satu titik tengah pada penyatuan muzik moden dengan elemen muzik lokal.
E: Andai kata diberi pilihan tanpa memikirkan apa yang pasaran semasa mahukan, muzik bagaimana yang menggambarkan diri Wani sebenarnya?
WK: Saya dah buat macam-macam muzik dalam jaluran Pop – ada Balada, ada juga muzik yang fun and catchy tapi selepas ‘Cak Cak Cekuk’ saya rasa itu adalah apa yang sepatutnya saya lakukan. Elemen Pop Etnik itu saya rasa datang seiring dengan kematangan usia juga. Ada rasa tanggungjawab dalam mengangkat muzik tradisi Melayu. Saya percaya pada gabungan muzik yang moden dengan elemen tradisional itu sendiri sebenarnya mencipta kesegaran dan pada masa yang sama mudah didekati pendengar tempatan.

E: Apa yang Wani capai hari ini saya kira berbekal kerja keras dan kesabaran mendalam. Struggle itu mungkin kita tak nampak tapi pasti ada. It’s a long journey sebenarnya. Apa yang membuatkan Wani betul-betul mahu untuk bertahan dan terus berjalan?
WK: Passion. Saya generasi penyanyi yang bermula dengan pertandingan nyanyian. Daripada kecil memang sudah biasa di atas pentas, jadi menyanyi itu sudah jadi sebahagian hidup saya. Minat menjadi alasan utama saya untuk terus bertahan. Saya sudah merakam banyak lagu dan biarpun tak semua mendapat perhatian saya fikir tak mengapa sebab kalau bukan sekarang mungkin ia akan diperdengarkan masa mendatang. So i just keep doing dan paling penting kena sabar.
E: Pernah give up?
WK: Semestinya pernah. Banyak persoalan yang datang dalam fikiran – lagu macam mana lagi nak keluar? Macam mana nak capai satu tahap yang semua orang tahu lagi kita? Tapi saya fikir andai kata saya berhenti, saya hanya mensia-siakan saja apa yang saya usahakan daripada kecil. Jadi berbalik pada minat dan kesabaran saya percaya masanya akan datang juga. Alhamdulillah ‘Cak Cak Cekuk’ jadi satu permulaan yang baik untuk pendengar benar-benar melihat keberadaan saya sebagai penyanyi di Malaysia.
E: Apa wishlist Wani yang masih belum tercapai?
WK: Saya teringin bekerjasama dengan Faizal Tahir. Saya memang mendengar lagu-lagu dia daripada dulu dan sampai sekarang kalau lihat muzik yang dia hasilkan juga berubah ke arah berbentuk lagu-lagu rakyat yang lebih santai. Insya-Allah kalau dapat saya mahu sekali bekerjasama dengan Faizal Tahir.
E: Dalam karier, apa yang Wani mahu capai tahun ini?
WK: Semestinya saya mahu melihat penerimaan lebih meluas terhadap lagu-lagu yang saya hasilkan. Selain daripada itu saya teringin nak ada showcase sendiri. Saya tengok kawan-kawan penyanyi lain dah ada showcase sendiri dan itu membuatkan saya semakin bersemangat untuk ada momen serupa sebagai satu usaha berterusan menghiburkan peminat-peminat yang ada.
E: Bakat baru silih berganti. Sebagai seorang senior, apa yang Wani belajar daripada bakat-bakat baru hari ini?
WK: Kalau dulu penglibatan penyanyi itu setakat masuk studio, rakam vokal dan terlibat dengan urusan promosi sahaja. Tapi sekarang lain, bakat-bakat muda hari ini sangat rajin. Mereka faham kepentingan to get involved daripada awal sampai lagu siap sebab mereka rasa itu tanggungjawab mereka untuk mengetengahkan lagu-lagu tersebut pada pendengaran umum. Hal-hal begini yang saya lihat dan pada masa yang sama belajar untuk beradaptasi dalam mempromosikan lagu-lagu saya.
