Langgan

Galeri Royal Selangor Kini Dibuka

Anyaman warisan sejarah dan bangsa.
2 minit untuk membaca
Published: February 9, 2026

Keindahan kesinambungan warisan dan perjalanan sejarah negara terus diperkaya dengan perasmian Galeri Royal Selangor baharu. Terletak di Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS), Jalan Raja ibu kota Kuala Lumpur. Majlis perasmian penuh istiadat itu disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Ia sekali gus menandakan satu lagi lembaran penting dalam pemeliharaan khazanah sejarah Selangor dan Malaysia.

Perasmian

Keberangkatan Baginda pada jam 3 petang disambut oleh Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah. Turut memeriahkan majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh. Ini diikuti Pengarah Urusan Royal Selangor, Datuk Yong Yoon Li.

Dalam ucapannya, Datuk Yong berkata galeri berkeluasan 8,000 kaki persegi itu mengetengahkan perjalanan jenama Royal Selangor sejak era 1850-an. Ia dalam masa sama merakam sumbangan generasi sebuah keluarga yang memainkan peranan penting dalam pembangunan awal Kuala Lumpur.

Menurut beliau, galeri tersebut tidak hanya menjadi ruang pameran. Dalam masa sama menjadi medium yang menghubungkan pelbagai era penting yang membentuk wajah dan jiwa bandar raya ini. Setiap sudut pameran mencerminkan detik sejarah yang saling berkait antara warisan tempatan dan pengaruh global.

Kafe Dalam Galeri

Tambahnya, kafe yang terdapat di galeri berkenaan menawarkan pemandangan terus ke arah Dataran Merdeka. Menjadi sebuah lokasi bersejarah yang menyaksikan detik keramat pada tahun 1957 apabila bendera Union Jack diturunkan dan Jalur Gemilang dikibarkan sebagai simbol kemerdekaan negara.

Galeri itu turut disifatkan sebagai saksi bisu kepada pertembungan pengaruh Eropah dan Asia. Sekali gus mencerminkan identiti unik Royal Selangor sebagai jenama bertaraf antarabangsa yang berakar kukuh di bumi tempatan. Status Royal Selangor sebagai pengilang piuter diraja, yang dianugerahkan pada tahun 1979, mengukuhkan lagi hubungan kepercayaan dan kecemerlangan bersama Allahyarham Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Galeri ini turut menampilkan replika mercu tanda ikonik pembangunan negara. Mengingatkan pengunjung bahawa perjalanan Royal Selangor seiring dengan evolusi ekonomi dan sosial Malaysia. Ia bukan hanya berkisar kisah sebuah jenama, tetapi naratif tentang semangat keusahawanan, kreativiti dan ketekunan. Cerita pembangunan yang lahir daripada sejarah perlombongan timah di Kuala Lumpur.

Dengan kehadiran kafe Royal Selangor yang membolehkan pengunjung menyaksikan secara langsung proses pembuatan piuter sambil menikmati suasana bersejarah, galeri ini muncul sebagai destinasi yang menyatukan warisan, seni dan pengalaman. Satu penghormatan kepada masa lalu, serta inspirasi untuk masa depan.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down