Langgan

Kimpton Naluria Simbol Kemewahan Baharu

Kimpton Naluria Kuala Lumpur telah membuka pintunya untuk tetamu.
3 minit untuk membaca
Published: January 20, 2026

Jenama hospitaliti global yang sinonim dengan gaya hidup mewah dan ekspresi kreatif, Kimpton Hotels & Restaurants, secara rasmi melangkah ke Malaysia. Ini dibuktikan dengan pembukaan Kimpton Naluria Kuala Lumpur. Sebuah mercu tanda baharu yang menjanjikan pengalaman hospitaliti bertaraf dunia. Ia terletak megah di tengah-tengah Tun Razak Exchange (TRX), hab kewangan dan gaya hidup eksklusif ibu kota.

Sejarah Penubuhan

Diasaskan di San Francisco pada tahun 1981, Kimpton telah lama diraikan sebagai perintis hotel berteraskan reka bentuk berfungsi tinggi. Kehadiran Kimpton Naluria Kuala Lumpur telah menandakan debut jenama ini di Malaysia. Malah ia mengukuhkan strategi pengembangan Kimpton di rantau Asia Pasifik. Ini selari dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap pengalaman luxury lifestyle yang autentik namun masih berjiwa lokal.

Dimiliki LQ Hotel Sdn Bhd, sebuah usaha sama Lendlease dan TRX City Sdn Bhd, hotel ini mengambil inspirasi denyut tenaga dinamik kota besar. Daripada konsep dalaman, pengalaman kulinari sehinggalah kepada namanya sendiri. ‘Naluria’ merupakan gabungan dua perkataan Melayu, naluri dan ria, melambangkan perjalanan mengikuti suara hati ke arah kegembiraan dan kepuasan hidup.

Menjulang setinggi 26 tingkat dengan 466 bilik dan suite, hotel ini menghadap terus ke The Exchange TRX Mall. Ia turut menawarkan pemandangan ikonik bandar seperti Merdeka 118 dan Menara KL. Reka bentuk bilik mempamerkan gabungan permukaan monolitik. Dipadan juga siluet beralun dan karya seni abstrak yang diinspirasikan oleh hutan hujan Malaysia, diperkayakan dengan jubin berwarna berani. Lebih menarik lagi terdapat cermin berbentuk dedaun dan kemasan bilik mandi berlapis emas. Setiap ruang dilengkapkan dengan produk mandian mewah daripada ARgENTUM dan Penhaligon’s. Disertakan juga minibar eksklusif yang menampilkan snek tempatan seperti Pandan Gula Melaka Granola, kerepek Salted Egg Yolk dan Pasa Cola, kola berempah buatan tempatan.

Ruang Makan

Sebagai jenama yang meletakkan gastronomi sebagai tunjang pengalaman, Kimpton Naluria Kuala Lumpur memperkenalkan empat destinasi makan dan sosial ikonik:

  • Tuai + Till – Ruang dwi-konsep yang menggabungkan kafe Malaysia. Ia berteraskan hasil tempatan di Tuai dan brasserie Barat yang elegan di Till, dengan fokus kepada menu farm-to-table dan teknik fermentasi.
  • Four Siblings – Bar atas bumbung pertama di TRX dan bar bertemakan rempah pertama di Malaysia. Diinspirasikan oleh perdagangan rempah klasik serta empat rempah utama yang menghubungkan cita rasa Malaysia dan Amerika Selatan.
  • Rise & Grind – Bar espresso moden grab-and-go yang meraikan seni kopi gelombang ketiga. Ia juga mengekalkan roh budaya kopitiam tempatan, menggunakan biji kopi Liberica tempatan.
  • Sabato’s – Restoran Italian-Amerika berinspirasikan era 1970-an yang membangkitkan nostalgia malam disko. Red Sauce Joint juga dijadualkan dibuka pada awal 2026.

Fasiliti

Seiring dengan identiti Kimpton, para tetamu akan menikmati sentuhan istimewa seperti alas yoga di dalam bilik, basikal percuma untuk eksplorasi bandar, serta pengalaman sosial ikonik. Kimpton Kickstart, ritual pagi harian dengan kopi sejuk Liberica, teh tarik, minuman detoks dan Kimpton Social, sesi santai petang yang menggalakkan interaksi sambil menikmati minuman dan sajian terpilih di Four Siblings. Program “Forgot It? We’ve Got It!” pula memastikan keperluan peribadi tetamu sentiasa terjaga.

Aspek kesejahteraan di Kimpton Naluria Kuala Lumpur melangkaui konsep kecergasan konvensional. Tetamu boleh menikmati minibar kesihatan dengan minuman prebiotik tempatan. Juga tersedia latihan TRX Suspension di teres kecergasan atas bumbung, treadmill berkuasa sendiri, serta sesi senaman percuma di Pulse. Kesemuanya lengkap sebagai pusat kecergasan rooftop hotel daripada pilates dan HIIT sehinggalah yoga matahari terbit yang menenangkan.

Menjelang awal 2026, hotel ini juga akan memperkenalkan The Connection Hub. Satu ruang mesyuarat dan acara yang intim dengan lima ruang inspiratif untuk pelancaran produk, mesyuarat eksklusif dan acara sosial.

Kimpton Naluria Kuala Lumpur menyertai portfolio global Kimpton yang terus berkembang. Ini turut termasuk pembukaan pada tahun 2025 di Frankfurt, Riyadh, Hainan, Algarve dan Hong Kong. Selanjutnya dengan destinasi baharu seperti Kimpton Suntaya Bali Ubud yang bakal menyusul pada tahun 2026.

Kimpton Naluria Kuala Lumpur baharu ini adalah jemputan untuk para tetamunya mengikuti naluri, meraikan kegembiraan dan menikmati kemewahan dengan jiwa yang lebih peribadi.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down