Langgan

Madie Yang Bernomad

Madie seronok memaknai hidup sebenar dengan keberanian.
3 minit untuk membaca
Published: January 20, 2026

Tujuh tahun lalu ketika masih bergelar jurutera projek, jadual Madie atau nama panjangnya Mahdiah Binti Yusmadi sering padat dengan mesyuarat, laporan dan kesibukan kerja yang terikat rutinnya bertukas-tukas. Waktu malam dan cuti hujung minggu pula sering diisi dengan pemfokusan mengurus perniagaan impian yang sekian lama menjadi angan-angan dan kegigihan.

Segalanya berubah apabila seorang rakan pejabat berpangkat senior bertanya dengan ujaran, “Adakah dia melihat dirinya menjadi pengarah yang sibuk di usia tua nanti?” Soalan itu kedengaran seperti perbualan biasa tetapi bagi Madie ia sedikit menyentak fikiran. Dia mula sedar bahawa masa tuanya akan datang tidak harus disia-siakan. Dia tidak melihat dirinya menjadi pekerja korporat dan menghabiskan usia berada di negara sendiri dengan budaya yang sama sebaliknya harus bangkit mengatasi ketakutan diri dan ketidakpastian masa depan. Madie sedia mengeksplorasi dunia luar yang padanya luas tanpa batas dan akan membuka peluang mendedahkan diri dengan potensi luar biasa.

Tekad Yang Mengubah

Bermula dari saat itu, Madie tekad memilih jalan ketidaksamaan. Bagi Madie yang kini berusia 36 tahun, hidup sebagai pengembara bukan hanya tentang kebebasan fizikal. Ia juga mengenai kebebasan rohani dan jiwa yang dipasakkan. Dia juga mulai memahami hasil kebergantungan seratus peratus kepada Tuhan setelah berusaha bersungguh-sungguh dan ia tidak boleh dipertikai. Dia percaya jalan sebagai pengembara nomad akan membentuk jiwa besar yang boleh dikongsi bersama pengikutnya di internet.

Kesedaran bahawa segala yang dimiliki di dunia ini juga bersifat sementara menjadikan dia ingin menjejak sebanyak mana destinasi yang mungkin.

Namun kebebasan yang dicari juga datang terapung direnangi harga yang perlu dibayar. Madie harus melepaskan pendapatan tetap, meminimumkan komitmen dan belajar hidup seringkasnya tanpa terikat beban. Apatah lagi ketika pandemik melanda dan simpanannya sedikit demi sedikit berkurangan. Madie tiada jalan lain melainkan bekerja membawa kumpulan pelancong selama berbulan-bulan. Daripada kejatuhan mendadak itu lahir keberanian baharu dengan semangat bermula semula daripada bawah. 

Selanjutnya, antara cabaran lain dilalui sebagai pengembara nomad adalah meyakinkan ahli keluarga yang merasakan hidup sebagai gadis berhijab itu berisiko tinggi. Sepanjang perjalanan yang dilalui pelbagai tantangan lain turut pernah dihadapi. Antaranya seperti ketidakjujuran penduduk tempatan dengan niat mengambil kesempatan wang dan bahasa mereka yang sukar dibaca dan terjemah.

Hari ini Madie menikmati kehidupan sebagai pengembara nomad melalui takrifan hidup yang dibinanya dengan jahitan benang yang telah menjadi helaian sendiri. Madie menjana pendapatan sebagai perancang pelancong profesional kepada segmen khusus yang bersesuaian dengan tema kembara lasak termasuk membantu ramai orang merasai pengembaraan menyeluruh di destinasi terpilih serata dunia. Madie turut memperoleh pendapatan pasif melalui pelaburan dan komisen insurans yang diceburinya sejak pandemik. Walaupun sentiasa berpindah-randah, disiplin dalam diri kekal menjadi paksi hidupnya. Kehidupan Madie masih sentiasa berpandukan kalendar dan senarai tugasan terperinci untuk memastikan perjalanan nomad teratur dan lancar.

Perjalanan Madie

Antara 70 negara yang telah dijejaki, tiga negara kekal dekat di hatinya iaitu Iceland dengan landskap yang dinamik. Selain itu Norway dengan ketenangan alam dan kejujuran masyarakat serta Portugal yang rendah perbelanjaan dan orang-orang ramah yang ditemui. Namun bagi Madie Norway tetap menjadi rumah singgah dan jika diberi pilihan Norway akan menjadi tempatnya terus menetap di sana. Ini kerana cukup sifat daripada segi keseimbangan alam, manusia dan spiritualiti terbitan kehidupan.

Kini setelah empat tahun mengembara sepenuh masa, Madie ingin meneroka peluang lain di luar negara. Hidup di dunia sebagai pengembara nomad bukan lagi tentang destinasi mana untuk dituju tetapi keberanian melangkah keluar daripada zon selesa. Pengembaraan seterusnya bakal membawanya ke Amerika Selatan selama kira-kira dua bulan. Tidak seperti perjalanan sebelum ini, langkah Madie bukan lagi sekadar tentang bilangan negara yang perlu dijejaki. Ia tentang kepuasan mengatasi rasa takut dan keraguan diri dengan negara yang belum pernah Madie lawati.

ADVERTISEMENT
Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down