Langgan

Menyelusuri Keindahan Tersembunyi Bersama Kia Kia Places

KiaKia Places meraikan keindahan Malaysia melalui cerita-cerita kecil yang penuh jiwa
2 minit untuk membaca
Published: January 14, 2026

Dalam era di mana perjalanan sering dikaitkan dengan penerbangan jauh dan destinasi luar negara, muncul satu pasangan yang mengubah makna sebenar ‘mengembara’. Bagi Eve Lau dan pasangannya, keindahan tidak semestinya ditemui di tempat asing. Kadangkala, ia tersembunyi di lorong lama, pasar pagi atau warung hujung kampung. Dikenali dengan panggilan Kia Kia Places. Pasangan ini memperkenalkan pendekatan baharu terhadap pelancongan tempatan yang lebih perlahan dan lebih dekat di hati.

Nama yang Mencetuskan Rasa Ingin Tahu

Kia Kia Places diilhamkan daripada perkataan Hokkien “Kia Kia” yang bermaksud jalan-jalan atau bersiar-siar. Nama ini bukan sekadar melambangkan gaya hidup santai, malah mencerminkan semangat ingin tahu dan keinginan untuk meneroka dunia sekeliling. Setiap kali persoalan “Apa maksud Kia Kia?” diajukan, ia membuka ruang kepada kisah pengembaraan, budaya dan keindahan Malaysia yang sering terlepas daripada perhatian.

Inspirasi di Sebalik Langkah

Bagi mereka, inspirasi datang daripada perkara yang paling sederhana. Kia Kia Places bermula daripada kecintaan terhadap pengalaman kecil dalam perjalanan seperti menikmati sarapan di warung, berbual dengan penduduk kampung, berjalan di pasar pagi atau terserempak dengan kedai buku lama yang penuh karakter.

Setiap langkah membawa penemuan baru dan setiap pertemuan memberi satu cerita. Mereka percaya bahawa dalam kehidupan moden yang sibuk, kita sering lupa menghargai perkara yang paling dekat. Contohnya seperti tradisi, budaya dan manusia yang membentuk identiti negara ini. Daripada pembuatan wau hingga ke seni batik dan songket, mereka ingin mengembalikan perhatian kepada warisan yang menjadikan Malaysia unik dan bermakna.

Antara Budaya dan Selera Tempatan

Kandungan Kia Kia Places bukan sekadar tentang destinasi, tetapi tentang jiwa sesuatu tempat. Ia adalah gabungan harmoni antara makanan dan budaya, dua elemen yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Bagi mereka, setiap hidangan tradisional bukan sekadar sajian di pinggan tetapi lembaran kisah tentang asal-usul dan jiwa masyarakatnya. Dari nasi kerabu yang mewarnai Kelantan ke laksa Penang yang ikonik hinggalah ke aroma kopi panas di kopitiam lama. Setiap detik dinikmati dengan keikhlasan dan rasa ingin tahu yang tulen. Kandungan yang mereka hasilkan bukan untuk hiburan semata tetapi untuk membangkitkan semula rasa bangga terhadap keunikan dan warisan cita rasa Malaysia.

Momen yang Mengubah Perspektif

Daripada pelbagai pengalaman, satu yang kekal di hati mereka ialah penginapan di Kebun Lisdtari Langkawi. Sebuah ladang kecil yang diusahakan oleh pasangan suami isteri, Kak Lis dan Khalid.

Di situ, Kia Kia Places menemui makna sebenar kehidupan berasaskan tujuan. Selama tiga hari mereka menikmati sarapan di kebun, belajar tentang sistem rekaan pertanian, membuat roti jala, berjalan di kampung dan dikelilingi oleh alam serta haiwan peliharaan. Ia bukan tentang berapa banyak tempat yang dilawati tetapi tentang bagaimana sesuatu tempat membuat kita merasa lebih hidup. Ia menjadi peringatan bahawa setiap perjalanan tidak diukur dengan sejauh mana kita pergi tetapi sejauh mana ia menyentuh hati dan mengubah diri.

Langkah Seterusnya untuk Kia Kia Places

Pasangan ini kini merancang untuk meneroka Malaysia sepenuh masa. Memberi tumpuan kepada kisah warisan, komuniti dan projek budaya yang menyentuh hati. Mereka juga sedang menyiapkan projek kreatif pertama mereka iaitu ‘snail mail project’ yang bakal muncul tidak lama lagi dan bakal mempersembahkan kepada orang ramai di luar sana tentang inisiatif yang menghubungkan komuniti. 

Di samping itu, mereka berharap dapat berkolaborasi dengan jenama serta pencipta kandungan yang berkongsi visi sama. Daripada situ mereka dapat memperjuangkan penceritaan budaya tempatan dan memperkukuh rasa cinta terhadap Malaysia. 

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down