Langgan

Ulasan Google Pixel 10 Pro Fold

Serba lengkap dan terkini dalam barisan telefon pintar boleh lipat
2 minit untuk membaca
Published: December 15, 2025

Tika menjalani kesibukan kerja dengan gaya hidup, inovasi telefon pintar penting dalam kehidupan. Telefon pintar anda kini tidak hanya wujud sekadar untuk kelihatan cantik digunakan tetapi ia harus datang dengan fungsi serba sempurna dalam melengkapkan rutin harian. Google Pixel 10 Pro Fold hadir sebagai peranti boleh lipat pertama jenama Google dan kini tersedia untuk pasaran Malaysia. Ia membawa satu naratif baharu yakni teknologi pintar yang elegan, tahan lama dan direka untuk jangka masa panjang.

Reka Bentuk Eksklusif dan Premium

Pixel 10 Pro Fold memikat sejak dipegang pada sentuhan pertama. Skrin luaran sebesar 6.4 inci Actua OLED tampil kemas dan sofistikated, ia cukup ideal untuk penggunaan pantas ketika anda bergerak dan bekerja. Selain itu apabila dibuka, skrin dalaman 8 inci Super Actua Flex OLED menawarkan pengalaman visual yang lebih luas dan selesa, seolah-olah anda membawa sebuah tablet nipis dalam genggaman tangan. Ia juga memudahkan pembacaan dan urusan kerja-kerja yang memerlukan anda membuka folder yang pelbagai. Selanjutnya, kemasan Moonstone yang eksklusif menambahkan aura minimalis moden telefon pintar ini. Dengan erti kata lain, ia cukup understated dan elegan.

Tahan Lasak, Dibina untuk Masa Hadapan

Google kini turut telah menetapkan standard baharu dengan pensijilan IP68 yang pertama untuk peranti boleh lipat ini. Engsel tanpa gear yang direka semula bukan sahaja lebih licin malah dikatakan mampu bertahan lebih 10 tahun lipatan penggunaan. Hal ini dilakukan Google untuk menjadikan bahawa setiap produk mereka bukan sekadar gajet bermusim tetapi satu pelaburan gaya hidup untuk jangka panjang.

Prestasi Pintar yang Dinamik

Dikuasakan oleh cip Google Tensor G5 dan 16GB RAM, Pixel 10 Pro Fold bergerak seiring dengan gaya hidup serba pantas masa kini. Bermula daripada suntingan foto, mesyuarat maya, hinggalah multitasking skrin, segalanya boleh dilakukan tanpa kompromi. Bateri 5015mAh memberi keyakinan sepanjang hari malah boleh dipanjangkan sehingga 72 jam hayatnya dengan mod Extreme Battery Saver. Hal ini menjadikan peranti ini sesuai untuk dibawa ketika perjalanan jauh atau buat mereka yang mempunyai jadual yang padat.

Fotografi Ikonik dan Estetika

Kamera Pixel sememangnya sinonim dengan hasil fotografi yang jelas dan artistik. Sistem tiga kamera belakang termasuk lensa utama 48MP dan telefoto 5x mampu menangkap setiap perincian dengan tona semula jadi dan dramatik yang halus. Sama ada potret bergaya editorial atau rakaman kandid harian, hasilnya sentiasa siap untuk Instagram tanpa perlu banyak suntingan perlu dilakukan.

Pixel 10 Pro Fold tidak sekadar menjadi telefon boleh lipat keluaran baharu, ia adalah pernyataan gaya terkini. Untuk mereka yang menghargai keseimbangan antara teknologi pintar, ketahanan dan estetika elegan, peranti ini memenuhi semua kriterianya. Dengan harga sebermula RM7,999 di pasaran Malaysia, ia mungkin sebuah komitmen tetapi bagi pencinta inovasi yang memilih kualiti dan rekaan abadi Pixel 10 Pro Fold adalah definisi kemewahan moden yang berfungsi.

ADVERTISEMENT
Topics: ,
Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down