Langgan

Ada 'Sesuatu' Di Balik Benteng 'Niente' Moschino S/S 2026

Moschino musim bunga/panas 2026 melaungkan 'Niente'!
2 minit untuk membaca
Published: October 24, 2025

Berdasarkan paparan makroskopi, apa yang terlihat sepertikan tiada bertalian. Umpama diskrit pada pandangan. Taburan gaya di atas pentas Moschino musim bunga/panas 2026 menghidangkan penataan yang berteraskan kewanitaan, kemudiannya muncul rupa yang memimik aspek upcycle dan berhujung dengan aksesori-aksesori unik. Sejujurnya Adrian Appiolaza menjabarkan setiap satu maksud itu berasaskan kehendaknya untuk mempertingkatkan nilai kesenian ‘keanak-anakan’ dalam rekaan-rekaannya.

moschino

Moschino Musim Bunga/Panas'26: Tiada apa-apa

Ruang luar pertunjukan Moschino di Via Olona 4 yang agak sesak menerbitkan rasa rusuh hati. Terkejar-kejar dari Armani Teatro, membetis selaju boleh ke tempat acara Moschino kerana tidak mahu terlepas detik-detik penting. Kendatipun begitu, sambil lalu, mata pula melilau mencerap staf-staf yang bertugas menyarung kemeja T dengan hiasan perkataan ‘Niente’ – perkataan yang menjadi ‘mainan kata’ dalam jemputan Moschino. Lalu, lenyap rasa gelisah seketika kerana mahu memahamkan kaitan ‘mainan kata Niente’ itu dengan himpunan Moschino musim bunga/panas 2026.

Makna yang terangkum daripada ‘Niente’ adalah nothing. ‘Tiada apa-apa’. Andaian awal yang dibuat barangkali, perkataan tersebut adalah jentikan Adrian yang mahu menyalurkan optimisme, di sebalik pengertian umum tentang ‘tiada apa-apa’. Namun, menyaksikan ciptaan hiasan kepala kotak hadiah, ikatan ranting kayu dan pakaian merupa guni… itulah fungsinya.

Citra panorama komprehensif yang bermatlamat untuk memandu pemerhati mengerti benar ‘niente’ itu bertolak daripada poor art yang mengaburi sempadan, kononnya menggunakan barang-barang harian sebagai butiran rekaan. 

moschino

Retorik Adrian Appiolaza untuk Moschino

Apakah ini merupakan retorik Moschino? Mungkin. ‘Tiada apa-apa’ itu adalah pendefinisan ideologi Moschino tentang hasilan atau ciptaan yang banyak dan diolah daripada kesederhanaan. Namun, pada dasarnya, Adrian beretorik dengan aspek ‘tiada apa-apa’ yang bukannya konotasi negatif.

Lantaran itu, ungkapan ringkas seperti reuse, recycle, reimagine menjadi pegangan teras. Betul, ia berhubungan dengan hal-hal sustainability atau kitar semula. Namun, ia menuju ke pengertian yang tidak terlalu literal. 

Reuse adalah untuk mencadangkan matlamat baharu, melaras semula dan menilai semula. Recycle bermakna mempertimbangkan semula, menghargai semula dan mendpatkan nilai yang hilang. Reimagine pula bererti menghidupkan Kembali, merangka semula idea dan mentakrif makna baharu. 

Adrian mengotakan aspek keterusterangan pada transformasi rekaan-rekaannya. Terbit keingintahuan pada rekaan skirt kembang bufan yang menggunakan krinolin – yang secara lazimnya, krinolin itu tersorok daripada pandangan. Sebaliknya, Adrian memperlihatkan krinolin tersebut. Baju kait pula tercipta dengan menggunakan material rafia yang dikitar semula daripada plastik, manakala beg ‘Tie Me Bag’ direka daripada material getah. 

Seperti yang sudah dijelaskan, Adrian ‘menemukan’ kita pada ruang pemikiran lateral yang menunjangi himpunan Moschino musim bunga/panas 2026 – suatu penerokaan yang memuaskan rasa ingin tahu. Ada sesuatu yang berselindung di balik benteng ‘tiada apa-apa’ itu. 

ADVERTISEMENT
Topics:
Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down