Ia menjadi bualan utama di Paris pada pagi 6 Oktober. Udara dipenuhi dengan debaran dan jangkaan. Pagi itu, saya menghadiri pertemuan para editor ELLE antarabangsa di Hôtel de Crillon, bersebelahan Jardin des Tuileries dan perbualannya benar-benar hangat: adakah Matthieu Blazy akan berjaya di Chanel atau sebaliknya gagal?
Paris telah pun menyaksikan beberapa debut yang kurang memberangsangkan musim ini dan pertunjukan ini merupakan yang terakhir yang mampu membentuk atau memecahkan naratif fesyen musim ini. Taruhannya bersifat sejarah. Karl Lagerfeld telah menerajui Chanel selama 36 tahun dan penggantinya, Virginie Viard ialah protegenya yang telah bekerja di sisinya selama tiga dekad sebelum pemergiannya. Cukup untuk dikatakan, bahasa Chanel seolah-olah telah terpahat dalam batu.

Menjelang petang, keterujaan kota itu berpindah ke Grand Palais. Para tetamu berkumpul di pintu masuk. Pelanggan, editor, pembeli dan jurugambar semuanya berpakaian dalam gaya Chanel klasik: tali beg chain yang disulam kulit, motif berjahit quilt, bunga camellia dan sentuhan glamor. Saya memerhati sekeliling, tertanya-tanya: mampukah Blazy memuaskan pengikut setia Chanel cukup bersemangat ini? Sejak pelantikannya pada Disember lalu, tiada sebarang petunjuk tentang arah kreatifnya. Awal pagi itu, seorang orang dalam yang suaminya bekerja di atelier Chanel memberi teaser tentang koleksi baru ini: “Kurang chain, dan kurang quilt,” katanya.
Kami melangkah masuk ke Grand Palais dan segera disambut oleh set pentas yang menakjubkan. Bebola planet bercahaya tergantung megah di ruang udara mencipta suasana kosmik di atas pentas peragaan. Belum sempat kami benar-benar menghayati keindahan itu, para selebriti mula tiba satu demi satu, menghidupkan lagi suasana glamor dari setiap sudut.
Para duta rumah fesyen itu hadir seperti dijangka: Ayo Edebiri, Gracie Abrams, Margot Robbie, Marion Cotillard, Penélope Cruz dan Jennie Kim. Malah Pedro Pascal turut kelihatan, hadir memberi sokongan kepada adiknya yang akan berjalan di pentas. Setelah hiruk-pikuk kemunculan bintang-bintang reda, kami diarahkan ke tempat duduk masing-masing dan sejurus kemudian, pertunjukan pun bermula.
Tiga rekaan pertama tampak ringkas. Terlalu ringkas, sebenarnya. Ia kelihatan hampir terlalu komersial. Walaupun sut yang ditampilkan dijahit dengan sempurna itu tiada cacat cela, tidak banyak yang menzahirkan bahasa ikonik Chanel. Fikiran saya mula melayang kepada jangkaan pelanggan setia rumah fesyen ini. Adakah mereka akan berpuas hati dengan arah yang begitu sederhana ini?








Namun saya tidak sempat tertanya lama. Rekaan yang menyusul tampil megah dengan pesonanya yang tersendiri. Gaun hitam jarang berhias sulaman bunga kuning serta bunga buatan tangan menandakan titik perubahan yang jelas. Skirt besar berhias bulu membawa elemen dramatik yang seimbang dengan T-shirt minimalis dan kemeja kapas segar menghadirkan rasa moden yang santai namun tetap berkelas.
Busana berhias manik berkilauan diserlahkan dengan topi bulu dramatik bergaya couture, manakala sut skirt tweed yang lebih panjang memancarkan keanggunan yang tenang dan matang. Di tempat lain, set yang diinspirasikan daripada tweed dikait menyerupai motif tandatangan Chanel, sementara kot tweed tulen beralih dengan lancar menjadi juraian manik berumbai memberikan kelenturan dan pergerakan pada siluet yang dahulunya tegar.

Sorotan aksesori: beg 2.55 yang sedikit renyuk dan lusuh menambah sentuhan keintiman yang hidup di tengah-tengah kemegahan, seolah-olah mengingatkan bahawa di sebalik kemewahan ada sisi manusia yang sebenar.
Koleksi ini menafsir semula warisan Chanel dengan kepekaan yang menyegarkan. Lebih lembut, lebih bebas. Visi Mattheiu seolah-olah berbisik bahawa kemewahan tidak lagi perlu menjerit. Ia boleh bergerak, bernafas dan hidup. Bukti bahawa masa depan Chanel tidak terletak pada penciptaan semula, tetapi pada evolusi yang berterusan.







