Cukup ironi. Menyelami hasrat Onitsuka Tiger musim bunga/panas 2026 yang mendekatkan jarak ruang imaginasi kita kepada suasana panas kota Asia, namun realitinya, deras hujan membiaki di luar tempat acaranya yakni di Tunnel Club. Namun jauh sama sekali merasa ragu untuk merodong hujan lebat itu, menapaki selaju mungkin untuk tiba sebelum bermulanya pertunjukan. Sesampainya di Tunnel Club, terlihat jelas Baifern, Momo, Hael Husaini dan Joshua Hong sudah mengisi penuh barisan hadapan.

Sebelum melabuhkan punggung, pada waktu mengejar untuk menemu ramah Baifern, Hael Husaini serta Christinna Kuan, terlihat figura Monchichi digayakan dalam rekaan baju hud mini Onitsuka Tiger tersedia di atas kerusi, untuk setiap tetamu yang hadir. Satu inisiatif yang ‘comel’ oleh Onitsuka Tiger kali ini, melemparkan senyuman pada setiap wajah undangan. Monchichi adalah akesori utama dalam himpunan Onitsuka Tiger musim bunga/panas 2026? Mungkin.
Onitsuka Tiger Musim Bunga/Panas 2026: Urban Fantasy
Pengarah Kreatif Onitsuka Tiger, Andrea Pompilio memerangkap pemikiran pemerhati, dengan daya khayal dan beranalogi untuk membahasakan himpunan musim bunga/panas 2026. Dia ligat menonjolkan fantasi sebuah kota yang dianggap suatu penemuan dalam menghidupkan rekaan-rekaan pakaiannya - bagaimana kita menyenangi seni pemakaian dan sebebas-bebasnya menggarap ia mengikut intuisi.
Kaki melangkah ke buana metropolis Asia, seraya menahan diri melawan iklim panas. Jalinan cerita beginilah yang mengetuk akal budi Andrea untuk Onitsuka Tiger, menjadikan dia seorang yang idealis dalam membangunkan idea himpunannya.
Kendatipun begitu, serasa beranekdot pun ada. Onitsuka Tiger musim bunga/panas 2026 seakan-akan bercanda dengan kepelbagaian padanan helaian, yang bersandarkan prinsip perihal ilham cara berpakaian atau seni pemakaian dipilih mengikut kemahuan serta kehendak kendiri.

Lantas, ia terkait dengan pengertian bahawa aspek fesyen melewati satu sempadan tanggapan dan ia bukan sekadarkan pakaian sahaja. Fesyen itu memintarkan diri kita untuk menjadi seorang yang berkuasa, sekali gus umpama medium untuk tujuan ekspresi diri. Bersinonim dengan kepantasan naluri kita memakai sesuatu untuk mencipta sesuatu detik - contohnya, saat keluar dari rumah atau ketika kehangatan bekuan cerah di metropolis Asia membarakan kulit tubuh.
Lantaran itu, aliran tenaga di antara landskap urban yang berbalas pancaran matahari mendorong Onitsuka Tiger untuk mereka fantasi yang mendorong spiritual individu untuk berekspresi dengan menggunakan pelbagai item.
Idea 'Vintage' Onitsuka Tiger
Onitsuka Tiger seakan-akan cenderung menuju ke arah sentimental, mengolah rekaan-rekaannya berteraskan citra vintaj. Contohnya, kemeja penuh kedutan, blaus serta dress-dress Onitsuka Tiger kali ini mencerminkan vibe vintaj. Dress yang merupa bentuk bodysuit dipadankan bersama culottes yang menyajikan konsep siluet asimetri.
Terlihat juga jaket biker bersaiz besar dengan skirt mini yang diperbuat daripada material kulit, manakala fabrik sued digunakan pada jaket varsity. Material-material seperti neoprena dan nilon turut membuat kemunculan di atas pentas Onitsuka Tiger. Malah, sempadan kebebasan fesyen Onitsuka Tiger menyaksikan visual motif floral seperti cetakan bunga mawar serfta daisi dalam simbahan rona merah jambu era 80-an.
Idea vintaj berkelantasan sehingga ke rangkaian pakaian lelaki. Jaket-jaket tailored single breasted serta double breasted buat pertama kalinya ditampilkan, dengan padanan seluar pendek. Seluar-seluar labuh dan weskot turut ‘menghuni’ pentas Onitsuka Tiger kali ini. Aturan aksesori seperti kasut satin balet MEXICO 66 yang mentafsirkan semula sniker serta kasut berjumbai membuat kemunculan, sekali dengan sandal-sandal sued lembut. Kesemarakan dimensi gaya Onitsuka Tiger bertunas ke kasut-kasut but yang mensintesiskan siluet riding boot dengan material kulit sued serta dihiasi butiran rambu panjang.









