Muar akhirnya mempunyai satu pasar pagi hujung minggu berkonsep seni sendiri. Acara yang dinamakan Pekan Pagi ini khusus meraikan seni dan kraf tempatan. Ia diperkenalkan sebagai sebuah himpunan kreatif yang menampilkan hasil kraf tangan, makanan tempatan, muzik santai, buku dan aktiviti mesra keluarga yang pelbagai dan bervariasi. Selain itu, ia turut dirancang menjadi satu sambutan terbuka memfokuskan kreativiti, komuniti, semangat keusahawanan dan suasana keluarga.

Inisiatif Utama
Dianjurkan oleh Tangankraf dengan kerjasama strategik Majlis Perbandaran Muar, Pekan Pagi berlangsung di Youth Centre – TMIYC, Tunku Mahkota Ismail, Kampung Baharu. Di masa hadapan, acara ini akan terus menjadi salah satu acara tetap di Muar Johor.
Sebagai pasar pagi seni dan kraf yang pertama di Muar, Pekan Pagi mahu mengangkat karya-karya buatan tempatan dan memberi ruang kepada para artisan, pengusaha dan usahawan mikro untuk memperkenalkan hasil mereka kepada khalayak yang lebih luas.
Seni dan Komuniti
Pekan Pagi tidak hanya menjual barangan cantik atau makanan lazat. Ia juga tentang apa yang sedang berlaku dalam komuniti manusia yang berkumpul di ruang terbuka dengan niat yang sama. Sama ada untuk berkongsi, menyokong jualan dan menikmati waktu pagi bersama.
Pagi adalah waktu paling produktif dalam sehari. Tubuh bada lebih segar dan minda lebih fokus. Cahaya matahari pagi pula memainkan peranan besar dalam kesejahteraan hidup kita. Matahari pagi membekalkan vitamin D yang memperbaiki mood dan menyelaraskan ritma sirkadian tubuh iaitu jam biologi semula jadi kita.

Dengan kata lain, keluar pagi-pagi bukan saja baikuntuk kesihatan tetapi untuk jiwa. Pekan Pagi dianjurkan untuk memberi alasan yang cukup baik untuk komuniti setempat melangkah keluar rumah. Seterusnya menikmati sinar pagi sambil dikelilingi seni, makanan dan manusia sebenar.
Tarikan Pekan Pagi
Antara yang boleh ditemui:
- Kraf tangan, tekstil, cetakan seni, barangan rumah dan produk buatan tangan oleh artisan tempatan
- Kopi segar, kuih-muih tradisional dan juadah pagi yang membangkitkan nostalgia
- Buku-buku terbitan kecil, barangan vintaj dan pre-loved daripada pengumpul yang penuh minat
- Bengkel, demonstrasi kraf dan sesi bersama pembuat untuk mengenali cerita di sebalik karya

Pekan Pagi mengajak pengunjungnya untuk menikmati masa bersama-sama dan benar-benar menghargai apa yang dibuat dengan olahan tangan dan hati. Ia adalah ruang untuk kembali kepada asas seni yang jujur, interaksi yang tulen dan menikmati pagi yang bermakna.
