Malaysia sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik, warisan seni dan sejarah yang kaya. Setiap negeri menawarkan sesuatu yang unik. Sempena Hari Malaysia ini, jadikan perjalanan anda lebih bermakna dengan meneroka destinasi-destinasi berikut yang mencerminkan keindahan warisan negara.
Baba Nyonya Heritage Museum
Di bandar Melaka yang bersejarah, Baba Nyonya Heritage Museum yang menjadi mercu tanda kepada sejarah masyarakat Peranakan. Rumah agam yang dibina pada abad ke-19 ini dihiasi dengan perabot antik, jubin berwarna-warni dan ukiran kayu halus yang mencerminkan kehalusan seni bina Peranakan. Lawatan ke muzium ini menghidupkan kembali kisah-kisah pertembungan budaya Cina dan Melayu sekaligus memperlihatkan keindahan warisan yang unik dan tidak ternilai.
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari kecuali Selasa
10:00AM - 4:30PM
Ethnology Malay World Museum
Bagi mereka yang ingin memahami akar sejarah bangsa Melayu, Ethnology Malay World Museum adalah destinasi yang tidak boleh dilepaskan. Muzium ini mempamerkan artifak bersejarah, senjata tradisional, pakaian adat dan khazanah budaya yang merentasi rantau Nusantara. Setiap koleksi di sini menyampaikan cerita tentang kehebatan tamadun Melayu yang kaya nilai seni, falsafah dan tradisi.
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari
9:00AM - 5:00PM
Tiket : RM1.00 - RM5.00

Malaysia Heritage Studios
Malaysia Heritage Studios membawa pengalaman muzium ke tahap yang lebih moden dan interaktif. Pameran yang kreatif membolehkan pengunjung menghayati seni bina, landskap sejarah dan elemen budaya dengan cara yang menarik. Ia adalah lokasi yang ideal untuk generasi muda mengenali warisan negara dalam suasana santai tetapi penuh maklumat.
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari
10:00AM - 1:00PM & 2:00PM - 5:00PM
Mari-Mari Cultural Village
Terletak di tengah-tengah hutan tropika Sabah, Mari-Mari Cultural Village mengajak pengunjung merasai kehidupan sebenar komuniti pribumi Borneo. Rumah panjang tradisional, demonstrasi pembuatan sumpit serta persembahan tarian dan muzik tradisional menjadikan lawatan ke sini sebuah pengalaman yang mengasyikkan. Kampung budaya ini menjadi simbol kepelbagaian etnik Sabah dan memperlihatkan bagaimana tradisi terus dipelihara dalam dunia moden.
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari
10:00AM - 1:00PM & 2:00PM - 5:00PM

Sarawak Cultural Village
Sarawak Cultural Village atau lebih dikenali sebagai ‘living museum’, adalah lokasi ikonik untuk menyelami budaya masyarakat Sarawak. Dengan rumah-rumah tradisional pelbagai etnik seperti Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, pengunjung dapat menyaksikan secara langsung seni kraftangan, permainan tradisional dan persembahan kebudayaan yang penuh warna. Tempat ini juga menjadi tuan rumah kepada acara terkenal dunia, Rainforest World Music Festival yang mempamerkan muzik etnik dan kontemporari dari seluruh dunia.
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari
9:00AM - 5:00PM
Pasar Siti Khadijah
Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu adalah simbol keusahawanan wanita Kelantan yang terkenal dengan kemahiran berniaga. Tempat ini meriah dengan deretan kain batik, hasil kraftangan, rempah ratus dan makanan tradisional seperti nasi kerabu dan kuih muih. Ia bukan sekadar pasar, tetapi sebuah institusi sosial dan budaya yang mencerminkan keteguhan komuniti setempat.
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari
7:30AM - 5:30PM

