Pasaran barang kemas halus di Malaysia sangat khusus dan hanya segelintir jenama yang benar-benar berjaya mencipta nama. Namun, GUNG tetap meyerlah berbanding yang lain. Dilancarkan pada tahun 2017, GUNG hadir dengan visi yang unik. Setiap rekaan dicipta dengan niat yang mendalam, diilhamkan oleh kecintaan Yinn terhadap seni bina. Jenama ini lahir daripada pengalaman peribadi yang intim, memberi Yinn sesebuah identiti ketika dia masih dalam proses mengenal dan menerima diri. Barang kemas menjadi bahasanya ketika kata-kata sukar diungkap membantunya mengharungi perjalanan hidup dengan penuh keberanian.

Rekaan GUNG terkenal dengan garisan yang kemas, bentuk moden dan rekaan yang diilhamkan oleh seni bina. Adakah terdapat sebuah bangunan di dunia yang mencerminkan falsafah reka bentuk anda?
The Church of Light oleh Tadao Ando sentiasa tersemat dalam ingatan saya. Kontras antara konkrit dan cahaya yang memotongnya. Ia puitis namun penuh kuasa. Ketegangan senyap antara kekuatan dan ketenangan itu benar-benar mencerminkan apa yang saya sasarkan dalam rekaan GUNG. Kesederhanaan yang bermakna, garisan yang terasa terstruktur tetapi juga emosional.
Bagaimana proses kreatif anda daripada konsep sehingga ke produk akhir?
Ia selalu bermula dengan suasana atau cerita, sesuatu yang saya rasa, perhatikan atau alami. Daripada situ, saya cipta dunia visual melalui moodboard atau penulisan, kemudian bekerjasama rapat dengan pereka untuk menterjemahkannya ke dalam bentuk. Kami melakar, buat prototaip dan memperhalusi sehingga terasa tepat. Bukan sahaja daripada segi estetika, tetapi juga emosi. Pada masa yang sama, serbaguna dan fungsi adalah kunci. Saya mahu setiap item boleh dipakai dalam pelbagai cara, mengikuti rentak anda daripada siang ke malam dan menjadi sebahagian daripada irama harian anda.
Apakah detik paling berharga dalam perjalanan anda dengan GUNG setakat ini?
Banyak pencapaian telah dilalui, daripada mencapai angka tujuh digit sehingga bekerjasama dengan jenama yang selari dengan nilai kami. Namun yang benar-benar kekal di hati saya adalah kemenangan emosional: membina sebuah pasukan yang percaya pada visi dan mendengar feedback pelanggan yang berkata GUNG telah menjadi sebahagian daripada identiti mereka. Ini adalah ganjaran yang lebih bermakna daripada apa jua angka.

Bagaimana anda merancang mengekalkan perusahaan dalam jangka masa panjang?
Saya beri ruang untuk berhenti sejenak kerana saya percaya idea datang daripada pengalaman hidup. Daripada segi etika, kami memastikan penghasilan dibuat secara bertujuan dan mengelak penghasilan berlebihan. Kami menggunakan bahan yang tahan karat dan tahan lama. Daripada segi kewangan, saya belajar untuk memimpin dengan kedua-dua kreativiti dan angka, membuat keputusan yang strategik tanpa mengorbankan jiwa.
Sejauh mana komuniti penting kepada jenama anda dan bagaimana anda memupuk hubungan dengan pelanggan?
GUNG tidak akan menjadi jenama yang anda nampak hari ini tanpa mereka yang memakai dan membentuknya. Kami memupuk hubungan itu dengan mendekati mereka melalui bengkel, acara styling malah perbualan WhatsApp. Saya juga suka muncul online, bukan sekadar pengasas, tetapi sebagai seorang wanita yang sedang membina sesuatu. Kejujuran itu membina kepercayaan emosi yang saya sangat hargai.
Bagaimana pengalaman peribadi anda mempengaruhi estetika dan penceritaan di sebalik rekaan GUNG?
Barang kemas membantu saya mengekspresikan diri ketika kata-kata sukar diungkap. Sepanjang perjalanan ini, saya belajar menerima kelembutan dan kekuatan saya dan dualiti itu menjadi fokus kepada segala yang kami cipta. GUNG sebenarnya adalah cermin perjalanan saya sendiri dan saya rasa itu sebabnya wanita lain begitu terhubung dengannya. Ia mencerminkan sesuatu yang nyata dan berkembang sama seperti mereka.

Bagaimana anda mengimbangi kebebasan kreatif dengan tuntutan mengendalikan perniagaan?
Ada hari saya lebih rasa sebagai pengasas daripada seorang kreatif. Tetapi saya belajar membina sistem dan sokongan pasukan untuk melindungi ruang kreatif saya. Saya juga ingatkan diri bahawa sisi perniagaan adalah sebahagian daripada seni. Membuat sesuatu yang lestari adalah satu bentuk kreativiti juga.
Ada koleksi baru atau kolaborasi yang bakal dilancarkan?
Ya! Kami akan melancarkan koleksi baru tidak lama lagi, meneruskan penerokaan kami tentang makna, jati diri dan keindahan perhiasan. Bersama itu, kami juga mencipta siri hadiah khas untuk wanita meraikan persahabatan dan pernghargaan. Setiap rekaan membawa emosi dan jiwa.
Ramai wanita muda di Malaysia memandang tinggi usahawan seperti anda. Apakah nasihat yang boleh anda berikan kepada mereka?
Mulakan dengan kebenaran diri anda. Kenal pasti “sebab” anda sebelum fikirkan produk. Jangan mulakan sesuatu hanya untuk membuktikan sesuatu, niat anda adalah sauh yang akan mengekalkan anda melalui naik turun. Anda perlukan visi dan ketabahan. Dan ingat: jalan anda tidak perlu serupa dengan orang lain. Ambil masa. Bina dengan betul, bukan cepat.

Jika imbas kembali perjalanan, apakah sesuatu yang anda akan buat berbeza?
Untuk melihat lebih mendalam sebelum melompat masuk, benar-benar fahami pasaran dan landskap emosi keusahawanan. Saya juga akan membina komuniti lebih awal. Anda tidak perlu lakukan semuanya seorang diri. Mempunyai orang yang percaya pada anda, walaupun sebelum anda “berjaya” amat bermakna.
Akhir sekali, apakah legasi yang anda harap tinggalkan melalui kerja anda dengan GUNG?
Saya mahu GUNG menjadi teman anda dan peringatan bahawa anda berharga, berkuasa dan unik. Saya harap kami dikenali sebagai jenama yang membuktikan anda boleh berkembang dengan penuh kasih sayang, bertujuan dan tetap memberi impak sebenar.
