Menora yang juga dikenali sebagai Manora, Nora atau Nora Chatri ialah sejenis seni persembahan tradisional. Berakar umbi dari negeri-negeri pantai timur dan utara seperti Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang, ia dikatakan turut berumbi dengan wilayah selatan Thailand, termasuk daerah Pattani, Songkhla dan Nakhon Si Thammarat.
Asal Usul Tarian Menora
Asalnya Menora dipersembahkan bagi memenuhi nazar, sama ada selepas kejayaan memburu, dalam upacara penyembuhan penyakit atau selepas menunaikan hajat tertentu. Lama-kelamaan, ia turut dimainkan sebagai hiburan dalam pelbagai acara seperti perayaan, upacara tokong, majlis perkahwinan dan sambutan masyarakat.
Namun Menora bukan sekadar persembahan semata-mata. Ia merupakan gabungan unik tarian, muzik, nyanyian dan lakonan. Persembahan ini biasanya dipimpin pelakon utama yang mencipta dialog spontan atas pentas, menjadikan setiap persembahan unik, saspens dan sarat kreativiti. Tidak seperti teater konvensional, Menora tidak mempunyai skrip jalan cerita tetap.
Menariknya, kisah asal Menora dikatakan berpunca tentang cerita Jataka, puteri kayangan bernama Manora yang jatuh cinta kepada Putera Phra Suthon. Dikatakan, gerak tari asal dalam Menora menggambarkan usaha sang putera memikat hati sang puteri. Walaupun mempunyai unsur mitologi dalam sejarahnya, hari ini Menora dipersembahkan secara lebih terbuka sebagai budaya rakyat yang boleh dinikmati semua lapisan masyarakat.
Di beberapa daerah Kelantan, Menora telah lama menjadi sebahagian daripada identiti budaya masyarakat setempat. Ia masih kekal dipentaskan hingga ke hari ini.

Menora Kelantan oleh PUSAKA
Pada Ahad lepas, penonton di Teater KuAsh, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) berpeluang menyaksikan persembahan Menora yang memukau mata dan telinga. Persembahan istimewa ini dibawakan oleh Kumpulan Manora Cit Manit Bukit Yong dari Pasir Puteh, Kelantan. Mereka telah dijemput khas ke Kuala Lumpur oleh PUSAKA melalui program Charting Cultural Confluence. Selain itu, acara tersebut mendapat sokongan Kementerian Kewangan dan Yayasan Hasanah menerusi inisiatif ArtsFAS.
Menora berpotensi besar menjadi medium seni merentas budaya. Hari ini, ia dipersembahkan dalam pelbagai bahasa termasuk Melayu, dialek Kelantan dan Hokkien. Suatu cerminan jalinan budaya yang luas dan inklusif.

Gambar Oleh: Cheryl Hoffmann, PUSAKA
Watak utama Menora acara malam itu tampil berbusana tradisional, menyampaikan lenggok tari penuh anggun dan menghidupkan kembali identiti warisan kita. Menariknya lagi, tiga peserta bengkel acara tersebut turut diberi peluang menyertai persembahan pentas. Satu bukti bahawa seni tradisi kita mudah hidup dan berkembang apabila diberi ruang, sokongan dan galakan sewajarnya.
Mari kita sama-sama mengangkat dan rai kekayaan citra budaya Malaysia yang berakar umbi dalam sejarah negara kita!
Ikuti laman Seni PUSAKA dan Yayasan Hasanah untuk lebih info.
