Langgan

Butik di New York dan Philadelphia Bukti Visi Global Jenn Low

Dari Malaysia ke Manhattan, pengasas Wanderlust + Co berkongsi kisah membina empayar barang kemas global yang berakar pada niat dan komuniti.
4 minit untuk membaca
Published: July 20, 2025
Jenn Low
Jenn Low, Pengasas Wanderlust + Co

Jenn Low bukanlah seorang usahawan biasa. Dia seorang pencerita, pemikir yang berpandangan jauh dan wanita Malaysia yang bangga menerajui sebuah jenama barang kemas global. Dia baru sahaja meraih pencapaian terbesarnya setakat ini: pembukaan bukan satu, tetapi dua butik fizikal di Amerika Syarikat. Dengan kehadiran terbaharu di kota New York dan Philadelphia, Wanderlust + Co kini bukan lagi sekadar jenama digital dengan pengikut setia. Ia telah berkembang menjadi ruang fizikal yang bersifat komuniti. 

“Membuka butik fizikal kami di Amerika sangat bermakna buat saya,” kongsi Jenn. “Secara peribadi, ia adalah detik yang penuh kebanggaan. Melihat sesuatu yang bermula sebagai hobi di bilik tidur saya kini menjadi nyata di kota-kota paling ikonik dunia.”

Bilik tidur itu terletak di Malaysia, tempat kisah keusahawanan Jenn bermula. Dengan hanya berbekalkan sebuah komputer riba, impian yang besar dan tekad untuk mencipta sesuatu yang bermakna. Hari ini, Wanderlust + Co sinonim dengan kemewahan mampu milik, rekaan bersih yang mesra kulit dan pendekatan reka bentuk yang berteraskan niat. Amerika Syarikat kini menyumbang hampir 40 peratus daripada trafik laman sesawang global mereka, manakala 25 peratus pelanggan melakukan pembelian berulang. Angka yang mencerminkan kekuatan daya tarikan dan jangkauan jenama ini di peringkat antarabangsa.

MENGANGKAT SUARA ASIA

Bagi Jenn, pengembangan jenamanya lebih daripada membuka butik fizikal. Ia tentang memperluas suara, nilai dan representasi. “Sebagai seorang pengasas dan wanita Asia, peluang untuk melancarkan butik fizikal di Amerika Syarikat – pasaran yang sekian lama didominasi jenama Barat – adalah satu penghormatan besar,” jelasnya. “Ia mengingatkan saya betapa pentingnya representasi dan bahawa wanita dari rantau ini juga mampu membina jenama global sambil kekal berakar pada identiti dan nilai kita sendiri.”

Perjalanan ini bermula jauh sebelum Wanderlust + Co terbentuk. “Membesar di Malaysia membentuk daya tahan dalam diri saya,” imbas Jenn. “Saya belajar menyesuaikan diri, mengatasi batasan dan berfikir secara kreatif. Pemikiran itu membentuk cara saya melihat dunia dan memberi saya keberanian untuk bermimpi besar, walaupun peluang kelihatan terhad.”

Ketika belajar dan bekerja di Australia, Jenn mula tertarik kepada jenama-jenama gaya hidup yang menggabungkan penceritaan yang indah dan nilai yang kukuh. “Ia menunjukkan betapa kuatnya kuasa naratif dalam membina kepercayaan dan hubungan dengan komuniti,” katanya. Dalam masa yang sama, dia menyedari kekosongan dalam pasaran barang kemas. Tiada jenama daripada perspektif Asia yang menggabungkan rekaan penuh pertimbangan, rasa komuniti dan tujuan.

Kajian awal mengesahkan apa yang dia rasai: kebanyakan jenama barang kemas tidak direka untuk iklim lembap atau untuk kulit sensitif yang mudah terkena ekzema. Penemuan ini mendorong pasukannya membangunkan formula logam asas bersih yang mesra kulit, tahan lama dan sesuai untuk cuaca tropika. Inovasi ini menjadi asas kepada penubuhan Wanderlust + Co.

Kini, pembukaan butik utama di New York merupakan satu pernyataan bahawa idea dari Asia Tenggara mampu merentas sempadan dan bergema di pentas dunia. “Ia membuktikan bahawa visi dari rantau ini boleh mendapat tempat dan sambutan global,” kata Jenn. Dan sememangnya, gema itu jelas dirasai. Setiap rekaan Wanderlust + Co sarat dengan warisan dan nilai yang mencerminkan asal-usulnya dari Malaysia.

“Malaysia terserlah dengan budaya yang kaya,” katanya. “Antara kenangan paling saya hargai ialah membuat dumpling bersama Nenek Low setiap Tahun Baru Cina. Tradisi itu melekat dalam diri saya dan menjadi ilham kepada koleksi Lucky, sebagai penghormatan kepada warisan, simbolisme dan kekuatan senyap yang diwarisi daripada generasi wanita terdahulu.”

KE NEW YORK DAN PHILADELPHIA

Bagi Jenn, New York sentiasa menjadi bab penting dalam perjalanan Wanderlust + Co sejak awal lagi. “Sewaktu baru bermula, saya lakukan semuanya sendiri, daripada membungkus pesanan sehinggalah menulis nota tangan kepada pelanggan,” imbas Jenn. “Salah satu pesanan pertama saya hantar kepada pempengaruh fesyen Amerika, Eva Chen. Saya tidak sangka dia akan memakainya. Sokongan awal daripada dia memberi dorongan luar biasa kepada kami.”

Daripada Eva Chen ke majalah ‘Oprah’, malah Gigi Hadid juga pernah dilihat memakai rekaan jenama ini, New York terus menjadi pentas utama yang meraikan keajaiban Wanderlust + Co. Kota ini memainkan peranan penting dalam memperluaskan jangkauan dan menyalakan semangat jenama.

Tidak jauh dari situ, Philadelphia muncul sebagai langkah semula jadi seterusnya dalam pengembangan Wanderlust + Co. “Kami sudah lama mengagumi kejayaan King of Prussia, salah satu pusat beli-belah paling ikonik di AS. Kami benar-benar mahu menjadi sebahagian daripada ekosistem ini,” jelas Jenn. Sebagai jenama yang prihatin terhadap alam sekitar, keselesaan pelanggan turut diberi keutamaan. “Lokasi butik yang terletak dalam bangunan tertutup membolehkan kami berkhidmat kepada pelanggan sepanjang tahun, terutama ketika musim sejuk,” tambahnya.

MEMBINA DENGAN TUJUAN

Membawa jenama dari Asia Tenggara ke salah satu pasaran paling kompetitif di dunia bukanlah tugas yang mudah. Pelbagai cabaran menanti, daripada peraturan tarif baru, halangan logistik, perbezaan zon waktu, hinggalah cabaran membina kredibiliti.

“Ada masanya saya terpaksa berusaha lebih keras untuk meyakinkan orang tentang kredibiliti jenama, sambil membina sistem dalaman yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan global kami. Apa yang menguatkan kami adalah keyakinan diri dan kesetiaan terhadap tujuan yang jelas.”

Tujuan itu tidak lain adalah untuk mencipta barang kemas yang bersih, bermakna dan berkesan. Namun, kejayaan itu bukan milik seorang individu sahaja. Ia hasil usaha kolektif sebuah pasukan yang kecil tetapi penuh kehebatan.

“Pasukan kami, di Malaysia dan AS bersatu dengan semangat, kreativiti dan jiwa yang sama. Pencapaian ini membuktikan apa yang boleh dicapai apabila niat tulus dan insan berbakat bergabung tenaga," jelasnya.

ADVERTISEMENT
Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down