“Tiga rekaan topi saya dipilih sebagai koleksi tetap di muzium di China!” Jelas Bremen Wong kepada kami.

Menghimpunkan karya-karya agung pereka segenap dunia, menampilkan kepelbagaian gaya daripada keanggunan romantik Paris ke semangat fesyen avant-garde New York sehinggalah kehalusan yang penuh ketelitian Tokyo. 101 International Milinery Designers Showcase adalah satu pameran yang mementaskan kreativiti, mendukung tinggi kehebatan para pereka topi serta hiasan kepala yang mengumpamakan satu kembara global.
Ada 101 topi atau hiasan kepala yang dipersembahkan. Setiap satunya memperlihatkan inovasi para pereka berani dalam mengintegrasikan bahan-bahan baharu, malah elemen tradisional diimaginasikan semula dan menjangkaui sempadan dengan hasilan unik serta penuh kreativiti. Lantas melahirkan tafsiran segar pada setiap rekaan topi serta hiasan kepala. Kehebatan inovasi dan kesenian yang dipamerkan merantai perhatian, membuatkan mata-mata audiens terpukau.

Hiasan-hiasan kepala Bremen Wong antara yang terpilih untuk acara 101 International Milinery Designers Showcase di Fumei Milinery Museum. Bremen tidak mahu mempercumakan peluang yang ada, lantas dia tidak membuang masa untuk menjadi sebahagian daripada pameran yang menakjubkan ini. “Ini adalah satu detik yang membanggakan. Melihat rekaan pereka Malaysia di persada antarabangsa – membuktikan yang kita juga punya suara dan gaya tersendiri. Kreativiti tidak mengenal sempadan dan pereka Malaysia layak untuk ‘didengari,” jelas Bremen. ELLE Malaysia mendekati Bremen, menemu bualnya secara eksklusif!
Apakah maknanya bagi anda, secara peribadi dan juga untuk pereka Malaysia secara keseluruhan — apabila hasil rekaan dipamerkan bersama beberapa milliner terkemuka dunia di China?
Sejujurnya, ia sangat-sangat bermakna! Datang dari Malaysia, bekerja secara ‘senyap’ setelah sekian lama dan akhirnya memperoleh kejayaan dengan mempamerkan hasil-hasil rekaan saya bersama milliner ternama dunia… rasa seperti mimpi! Ia membuktikan dengan bekalan masa dan berkat kesabaran, segalanya boleh menjadi kenyataan. Apa yang penting, kita harus sentiasa mencuba dan jangan terlalu terikat untuk mengejar wang serta nama. Fokus saja untuk berkarya sepenuh hati.
Inspirasi dan proses kreatif sepanjang penghasilan hiasan kepala anda yang dipamerkan di Fumei Milliner Museum.
Saya diajak untuk menyertai pameran ini sejak awal tahun 2024. Pengasas Fumei Milliner Museum menghubungi saya menerusi WeChat dan memberitahu yang mereka seddang mengusahakan projek Istimewa yakni menghimpun 101 rekaan topi daripada milliner seluruh dunia. Pengasas Fumei Milliner Museum kata kepada saya, “Bremen, kami sangat ingin anda menjadi salah seorang daripada mereka.” Pada masa itu, saya tengah membuat persiapan untuk pertunjukan solo saya, Being Sustainable. Apabila saya berkongsi konsep saya dengan mereka, mereka benar-benar tertarik. Mereka suka dengan bagaimana aya memberi tumpuan kepada aspek penggunaan semula bahan lama dan menghidupkan rekaan baharu. Jadi selepas pertunjukan itu, saya teliti memilih tiga rekaan topi yang benar-benar mencerminkan idea tersebut dan menghantarnya. Dua daripadanya diolah semula daripada rekaan lama dan satu lagi menggunakan bahan yang saya simpan bertahun-tahun — akhirnya diubah menjadi sesuatu yang bermakna.

Bagaimana anda menyulam elemen budaya, identiti atau ketukangan Malaysia dalam karya Bremen Wong, ketika dipersembahkan kepada audiens antarabangsa?
Bagi saya, menyulam budaya dan identiti Malaysia dalamhasil rekaan tidak semestinya perlu ditunjukkan melalu motif tradisional atau simbol yang ketara. Contohnya, hasil rekaan saya adalah sesuatu yang lebih mendalam — ianya hidup dalam cara saya mendekati bahan, dan bagaimana saya memberi tindak balas terhadap bentuk serta emosi. Saya lahir di Sabah dan membesar dalam persekitaran yang kaya dengan budaya serta dekat dengan alam semula. Jadi, ia membentuk cara saya berfikir dan merasa sesuatu. Jadi walaupun karya saya cenderung ke arah avant-garde atau eksperimental, ia tetap membawa jati diri Malaysia, cuma dalam cara yang lebih halus dan intuitif.
Terpilih untuk menyertai pameran berprestij bersama 100 pereka lain bukanlah sesuatu yang kecil. Bagaimana pengalaman ini mempengaruhi pandangan anda terhadap karya anda sendiri dan kedudukannya dalam dunia millinery di peringkat global?
Sejujurnya, terpilih bersama 100 pereka lain dalam sebuah pameran antarabangsa sebesar ini adalah satu penghormatan yang amat besar. Ia benar-benar membuatkan saya berhenti sejenak dan berfikir tentang karya saya sendiri dan saya sedar bahawa walaupun saya berpangkalan di Malaysia, suara dan rekaan saya masih boleh dilihat, didengari dan dihargai di seluruh dunia. Sebenarnya, ini adalah salah satu matlamat saya pada tahun 2023. Sebelum itu, saya mempersembahkan rekaan topi saya melalui pertunjukan fesyen dan majalah. Tetapi pada tahun 2023, saya berkata pada diri sendiri, “Saya hanya mahu fokus kepada pameran. Saya mahukan ruang di mana karya saya boleh ‘bernafas’ lebih bebas, dan orang ramai boleh mengalaminya dengan cara yang berbeza.”

