
Lama sebetulnya saya tidak ke Langkawi namun agendanya sentiasa ada cuma hanya menanti waktu yang tepat sahaja. Temple Tree Langkawi sentiasa menjadi destinasi dambaan. Imej ikonik kolam renang yang panjang mendepani salah satu rumah (yang kini spa) sentiasa terdetik di kepala saat berbicara tentang resort mewah ini.
Melalui satu transformasi yang cukup besar pada tahun 2019 dengan peralihan dan penambahan beberapa rumah asal dari negeri berbeza yang dibawa dan dipasangkan semula di sini, Temple Tree kekal sebagai destinasi yang sentiasa mahu utuh pada seni bina asal dengan idea kediaman moden.
Di sini sebanyak tujuh rumah kesemuanya berusia hampir seratus tahun untuk didiami dengan sebuah rumah Ipoh yang menjadi lobi utama yang boleh dilihat struktur seni bina daripada luar hotel ini. Ia bersambung dengan Paloh, sebuah restoran yang menjadi ruang tumpu penggemar gastronomi menikmati hidangan lazat yang ada di sini.

Warisan Bertemu Kemodenan
Saya menetap di rumah Negeri Sembilan yang menempatkan dua bilik dengan ruang tamu serta bilik air yang disediakan lengkap dengan bath tub. Sempurna bagi anda yang mahu melihat matahari terbit dari rumah. Pagi saya disapa dengan deruan angin dan cahaya mentari saat membuka pintu kedua yang ada di bilik tidur utama.
Di letakkan berdepan dengan pintu adalah bath tub untuk anda melihat pemandangan saat berendam melewati waktu berlalu. Sesekali berpergian sebegini tanpa perlu memikirkan tentang kerja dan komitmen lain begitu menyenangkan.
Dan di Temple Tree anda tidak perlu gusar, walaupun ia terletak sedikit jauh daripada kesibukan tarikan utama Pulau Langkawi - ia masih menawarkan kemodenan dan segala servis yang anda perlukan. Sistem wifi di setiap kawasan, hawa dingin dan oh ya, Netflix! Jika perlu catch up dengan any series atau sesekali harus membuka laptop melihat emel - lakukan pada bila-bila masa sahaja.

Pengalaman Gastronomi
Restoran Paloh menawarkan pengalaman gastronomi yang sangat menarik. Cef Anis yang mengepalai menu masakan Melayu di sini cukup pakar dalam memberi cita rasa asli. Makan malam pertama saya di sini akan menjadi hidangan paling akan diingati.
Selain Cef Anis yang pakar dengan menu masakan Melayu. Seorang lagi cef di sini iaitu Cef Faizal pula merupakan pakar dalam hidangan masakan berilhamkan menu barat. Makan malam kedua saya di sini dihidangkan dengan pengalaman berbeza berbanding malam pertama.
Pilihan pastri di sini yang ada untuk sarapan pagi menjadi kegemaran saya. Cukup pelbagai dengan bermacam dan jem disediakan atau nikmati saja dengan telur jika anda mahukan sesuatu yang lebih savory.

Temple Tree Langkawi menawarkan sesuatu yang cukup santai jika anda tidak mahukan percutian yang terlalu penuh dengan jadual aktiviti. Dua malam di sini cukup untuk saya melapangkan seketika pemikiran dan berlapang rasa.
Beberapa tarikan lain yang ada di sekitarnya yang boleh anda cuba adalah morning walk di persisiran pantai Cenang, menikmati sunset atau pabila malam tiba cuba ke Dream Forest Lagkawi sebuah pengalaman menikmati ceritera dongeng dengan pengalaman audio visual yang memukau.