
Terletak di Bangsar diapit label-label tempatan yang menjadi kesayangan ramai, berdiri Saoi, sebuah butik yang terasa seperti sebuah cottage dan bukan sekadar ruang membeli-belah biasa. Di teras jenama yang kian bersinar ini berdiri Wan Nur Syaira, figura kreatif yang menganyam estetika minimalism, keanggunan dan keaslian. Apa yang bermula sebagai hobi kini berkembang mekar menjadi jenama yang memikat hati ramai.
Perjalanan Syaira bermula tanpa dirancang di Melbourne, Australia, ketika dia sedang melanjutkan pengajian. Di kota itulah dia menemui sebuah jenama yang terkenal dengan gaun sutera yang ringkas namun menarik.
“Segalanya bermula ketika saya sedang belajar di Melbourne,” ujar Syaira. “Saya terjumpa jenama bernama Silk Laundry. Mereka jual gaun sutera yang sangat cantik. Masa tu saya masih seorang pelajar. Saya beli satu dengan harganya lebih kurang $300. Tetapi, saya mahukannya dalam pelbagai warna.”
Daripada situlah benih ilham mula tumbuh. “Saya balik ke Malaysia, pergi ke Gulati’s, tempah gaun sutera pertama saya dan memakainya sekadar suka-suka,” jelasnya.
Apa yang pada mulanya hanya eksperimen gaya peribadi, perlahan-lahan menjadi asas kepada sebuah jenama. Gaun sutera itu mencuri perhatian ramai. “People started asking me about it,” katanya. “Saya rasa memang susah nak cari satu baju yang sempurna. Yang nampak bergaya tapi tak terlalu berlebihan.” Sambutan terhadap gayanya membangkitkan satu persoalan: mungkinkah wujud ruang untuk busana sutera bergaya yang cukup ringkas untuk dipakai setiap hari di Malaysia?
Daripada situ, Syaira mula bereksperimen, menghasilkan gaun-gaun sutera dalam pelbagai rona sebelum meluaskannya kepada skirt satin, seluar linen dan blaus serba guna. “Bagi saya, semuanya tentang bermain dengan material tertentu dan menawarkan helaian yang boleh digayakan dalam pelbagai warna,” ujarnya. “Daripada sutera ke linen, segalanya berakar pada satu idea iaitu mempertingkatkan asas gaya harian.”
Apa yang membezakan Saoi bukan sekadar kualiti fabriknya, tetapi betapa ia begitu berakar dalam estetika peribadi Syaira. Seperti produk yang direkanya, gaya Syaira adalah gabungan minimalism dengan niat yang jelas.
“Gaya peribadi saya bergantung kepada mood hari tersebut. Ada hari saya rasa boyish, saya akan pakai short jeans. Ada hari saya nak rasa lebih put-together untuk naikkan semangat.”
Namun satu perkara kekal: asas minimalis dengan satu elemen yang menyerlah. “There’s got to be one thing that pops. For example, if I wear a simple outfit, my shoes have to be polka dot.” Falsafah ini jelas kelihatan dalam koleksi Saoi di mana garisan bersih bertemu sentuhan mewah yang tidak dijangka.
Kepekaan terhadap perincian ini menjadi identiti utama jenama Saoi. Sama ada tali leher sutera atau blaus mesh, setiap rekaan dibuat dengan niat. “Saya bukanlah jenis yang terlalu mengejar trend,” katanya. “Tapi saya perasan kadang-kadang bila saya mula pakai sesuatu, lama-lama ia jadi trendy. Semuanya tentang percaya pada naluri sendiri.
Setelah berjaya membina pengikut setia untuk pakaian, Syaira melangkah ke dunia kasut, kategori yang dekat di hatinya. “I’m a shoeholic,” katanya sambil ketawa. “If I could carry shoes like bags, I would.”
Setelah menemui pembekal yang sesuai, tiada lagi jalan untuk berpatah balik. Matlamatnya jelas: mencipta kasut yang bukan sahaja cantik, tetapi juga selesa dan boleh dipakai seharian. “Saya cuba setiap pasang sendiri. Kalau ia terlalu ketat atau menyakitkan di belakang, kami akan rework semula.”
Apa yang menjadikan Saoi benar-benar istimewa ialah inclusivity dalam saiznya yang tersedia sehingga saiz EU 43. Ini sesuatu yang jarang berlaku dalam arena fesyen tempatan, terutamanya untuk wanita tinggi atau mereka yang berkasut besar. “Mendengar bahawa kasut kami bukan sahaja cantik, tetapi juga selesa dan inklusif benar-benar bermakna segalanya buat kami,” katanya.