
TikTok menjadi batu loncatan buat gadis berasal dari Klang ini berkarya. Asalnya hanya sebagai hobi, tidak disangka siri mashup muziknya menjadi tular dan mendapat sambutan luar biasa. Mungkin itulah rentak muzik generasi baru, sentiasa dahagakan sesuatu yang segar di telinga. Tanpa disedari mengukir peluang buat Jovynn melebarkan sayapnya dalam lapangan muzik Electronic Dance atau lebih dikenali sebagai EDM.
Jovynn hadir ke studio pada petang Selasa lengkap dengan solekan, memang kemuncak trafik namun dia hadir tepat waktu call time. Berpersonaliti introvert, namun tidak kekok langsung berbicara dan menyapa semua orang di studio. “I really like your makeup," sapa saya, “Oh thank you, I did it myself,” balasnya membuat saya kaget seketika, orang berbakat seni ini, buat apa pun menjadi, bisik hati saya.
Daripada gaya high streetnya boleh tahu dia penggemar fesyen, “kalau saya tidak di bidang muzik, saya akan membuat sesuatu yang related dengan fesyen. I love fashion!” seloroh Jovynn ketika baju disua pada badannya yang kurus langsing itu. Tidak disangkal lagi Jovynn memang punyai pakej lengkap yang dipuja generasi muda. Fun, edgy, introvert disuntik pula dengan gaya manis dan ilusi animasi dan bawa pula muzik cool kids EDM, namanya bakal menjadi lebih besar.

ELLE: Memandangkan Jovynn enjoy membuat mashup lagu, adakah Jovynn rasa seperti bekerja?
Jovynn: Membuat mashup muzik untuk saya sendiri memang tidak rasa seperti bekerja, tapi kalau ia melibatkan klien jadi sudah tentu ia memberi sedikit tekanan. Saya perlu buat mengikut kemahuan mereka, dan selalunya ia lebih spesifik. Tapi apa pun saya tetap seronok melakukannya. Untuk membuat muzik saya sendiri saya boleh luangkan lebih banyak masa dan masih tidak terasa seperti bekerja.
E: Bagaimana Jovynn membesar dengan muzik?
J: Saya mula bermain instrumen muzik sejak kecil lagi, seperti gitar dan piano. Saya belajar sehingga saya berusia 10 tahun. Dan ramai artis yang memberi inspirasi kepada saya, antaranya adalah Avril Lavigne, Michael Jackson dan kebanyakannya daripada pengaruh ibu bapa saya, saya banyak mendengar dari koleksi CD mereka.
E: Siapa antara DJ wanita yang memberi penangan hebat di mata Jovynn?
J: Penerbit rekod dan DJ dari Korea Selatan, Peggy Gou. Aura dan muziknya memberi saya inspirasi. Pada awal penglibatan saya sebagai DJ, saya tidak tahu siapa DJ wanita yang benar-benar ‘made it’ yang memberi saya sedikit harapan yang ini adalah pilihan yang betul buat saya, dan dia waktu itu benar-benar beri saya inspirasi. Dan saya enjoy dengan muziknya. Paris Hilton juga agak bagus, tapi saya boleh katakan Peggy Gou yang memberi impak besar dalam memberi ilham kepada saya, kerana dia membawa muzik House, jadi ada similarity di situ. Manakala Paris Hilton lebih kepada seorang ikon.
E: Adakah Jovynn bergerak sendirian atau di bawah naungan label rakaman?
J: Saya mempunyai beberapa orang bekerja dengan saya, tapi apabila melibatkan penerbitan lagu saya bekerja dengan beberapa label tapi bukan secara eksklusif. Saya masih boleh release lagu secara independent. Agak sukar untuk saya sign contract dengan mana-mana label secara eksklusif kerana apabila saya membaca kontrak, ada terma dan syarat yang agak sukar untuk dikompromi. Kalau waktu itu saya berusia 14 tahun mungkin saya akan sign sahaja, it’s the dream right? Tapi kini saya perlu lebih teliti, saya lihat ramai artis yang kehilangan hak untuk kreativiti mereka sendiri kerana terlalu dikawal, jadi saya tidak mahu itu berlaku kepada saya. Pada awalnya memang saya bekerja sendiri, jadi perlu hustle sedikit dulu, kena berdisiplin dan kini lebih mudah dengan bantuan orang yang bekerja dengan saya.

E: Bagaimana Jovynn menggunakan muzik untuk memberi pengaruh yang baik kepada pendengar? Terutama sekali generasi muda?
J: Saya rasa muzik secara generalnya adalah satu escapism dan bagi saya muzik memang membantu saya rasa seperti saya belong somewhere. Lagi-lagi dengan muzik tekno, mereka seolah membawa satu komuniti. Dan mereka sangat loving dan bila berkumpul dan mendengar muzik ia adalah satu unity. Dan saya nak mereka merasakan apa yang saya rasa melalui muzik yang saya hasilkan.
E: Apa pendapat Jovynn tentang generasi kini yang semakin kreatif dan sering bersandarkan pada bakat dalam menjana pendapatan berbanding memilih pekerjaan korporat?
J: Ya saya rasa memang agak benar, we are the stubborn generation (ketawa). Tapi ia agak bagus dalam membentuk kepelbagaian dalam menjana pendapatan. Tidaklah hanya bekerja 9 to 5 sahaja pilihan yang kita ada bukan? Kini dengan pelbagai platform media sosial, mereka dapat lakukan apa yang mereka benar-benar suka dan peroleh pendapatan daripadanya. Jadi sebagai golongan gen Z saya memberi sokongan penuh untuk generasi baru yang ingin explore karier mereka dalam muzik, seni, content creating dan sebagainya.

E: Adakah Jovynn sentiasa tahu yang Jovynn akan menceburi lapangan muzik?
J: Not really, it was an accident. Waktu Covid dulu kita semua dalam lock down, saya tidak tahu mahu post content apa di TikTok. Jadi saya hanya mencuba hasilkan mashup lagu untuk suka-suka, tidak sangka ia mendapat sambutan daripada orang ramai. Tapi saya sangat seronok menghasilkan lagu sekarang, rasa seperti satu terapi. Tapi kalau saya lihat semula semua hasil mashup saya pada waktu itu semuanya kedengaran agak canggung, ia tak berapa bagus kalau nak dibandingkan dengan penerbitan muzik saya sekarang. Oh well, semua orang ada permulaan yang tidak sempurna bukan?
E: Apa perasaan Jovynn apabila siap menghasilkan sesebuah muzik? Boleh kongsi prosesnya bagaimana?
J: Rasa satu kepuasan! Menjadi DJ selalunya memainkan lagu-lagu karya artis lain, jadi untuk mainkan lagu ciptaan sendiri sememangnya satu kebanggaan dan mendengar sendiri idea yang asalnya dalam kotak fikiran secara langsung. Saya memakan masa yang agak lama untuk belajar proses menghasilkan muzik, dan ramai yang tidak tahu proses ini berbeza dengan ‘DJ-ing’.Apabila saya tamat persekolahan, saya komited meluangkan masa untuk belajar dan berlatih membuat remixes. Apabila kita sentiasa berlatih proses itu akan menjadi lebih mudah. Dan saya faham mengapa sesetengah DJ boleh menjadi introvert, apabila saya dalam proses menghasilkan muzik baru saya akan meluangkan masa sehingga seminggu di rumah tanpa keluar. Dan apabila saya keluar berjumpa orang, saya pun hilang idea bagaimana ingin bergaul.
E: Apa perancangan jangka masa panjang Jovynn dalam muzik?
J: Semestinya saya akan menghasilkan lebih banyak muzik, waktu ini saya masih tidak tahu genre apa yang bakal saya terokai, saya hanya akan ikut saja ke mana ia membawa saya, saya rasa saya sentiasa beralih ke fasa yang berlainan, saya bermula dengan komersial kemudian House dan kini saya selesa dengan genre Hard Techno, saya sendiri pun tidak tahu bagaimana saya boleh sampai ke genre ini. Saya tidak pernah merancang ke mana arah aliran muzik saya, dan itu yang membuatkan saya lebih teruja. Juga membuat lebih banyak persembahan itu dalam perancangan saya.
E: What is your end game?
J: Saya mahu memberi inspirasi kepada lebih ramai orang melalui muzik saya, membuat lebih banyak persembahan dan hit the charts!
E: Apa yang Jovynn akan lakukan jika bukan terlibat dalam bidang muzik?
J: Saya masih akan membuat content, muzik adalah minat saya dan membuat content juga adalah minat saya jadi kalau bukan membuat content mengenai muzik, saya mungkin akan membuat content seperti rutin hari saya atau mengenai fesyen, I love fashion! Semua ini saling berkait bukan? Art, music, fashion, ia saling berhubung seperti solekan saya ini ada unsur tekno (ketawa).
E: Bagaimana muzik boleh mengubah dunia?
J: Muzik bagi saya boleh beri kita pelbagai perasaan. Waktu pertama kali saya ke konsert rave tekno, saya seperti terkejut dalam masa yang sama teruja. Muzik memberi anda perasaan dan emosi yang mendalam. Ia juga boleh buat kita lari sebentar dari masalah dan layan setiap ritma. Dan kadang kala ia memberi kita satu harapan, harapan untuk kita teruskan hidup kita dan melakar memori.
E: Bagaimana Jovynn mengutip semangat sebelum memulakan persembahan? Dan pernah ‘messed up’ on stage?
J: Oh, sememangnya perlu rehat yang cukup dan stamina yang tinggi. Mood juga perlu dijaga. Pernah satu ketika, saya berasa down disebabkan isu personal. Jadi saya perlu mengawal emosi saya, put on a happy face, menjadi energetik dan berdansa. Sebagai DJ kita adalah cerminan emosi crowd kita juga. Kalau kita menari mereka akan menari, kalau kita tidak bergerak mereka pun kaku.
Dan ya, pada awal-awal membuat persembahan dulu memang saya pernah buat silap di atas pentas, saya ingat lagi ketika persembahan di Thailand, saya terlalu leka dan I forgot to mix and the mix just stop dan crowd semua senyap. Tapi lama kelamaan apabila kita buat silap kita akan pandai cover up dan crowd pun tidak akan perasan.
E: Genre EDM apa yang menjadi sambutan? Yang mampu membuat crowd go crazy?
J: Ia terpulang kepada sesuatu club atau festival muzik itu. Kalau di club selalunya mashup komersial lebih mendapat sambutan. Manakala untuk festival muzik lebih specific kepada genre seperti House dan Hard Techno, it depends.
E: Ingin DJ-ing di Ibiza atau Coachella?
J: Susahnya nak buat pilihan! Coachella. Ibiza mungkin tawarannya lebih lumayan namun untuk membuat persembahan di Coachella is the dream! Dan apabila seorang DJ mendapat peluang membuat persembahan di Coachella, sudah tentu akan dapat peluang di Ibiza juga.
E: Apakah the next big thing yang akan anda lakukan?
J: Saya akan membuat persembahan di seluruh dunia! Itu bagi saya adalah yang terbesar setakat ini. Dan banyak juga kolaborasi yang menarik bakal saya lakukan, tapi saya masih tidak boleh kongsi. Nantikan ya! Saya boleh bagi sedikit hint “knock knock”.
E: Apakah splurge terbesar Jovynn untuk menjadi DJ?
J: Oh sudah tentunya pembelian DJ Deck saya. It cost me a lot! Dan semua peralatan lain, instrumen, speakers dan banyak lagi. DJ Deck itu saja berharga lebih kurang RM14,000. Jadi berbaloilah dengan pendapatan saya untuk satu persembahan. Saya percaya dalam industri kreatif ini kita perlu invest in something to gain more things.
Banyak kolaborasi istimewa antara Jovynn dan artis lain yang mengujakan bakal berlaku, baik lokal dan antarabangsa, tapi masih tidak boleh dikongsikan. Cukuplah dia memberi clue buat team ELLE dan biar kami berteka-teki sendiri. Walau apa pun, yang pasti Jovynn akan melebarkan sayapnya di seantero dunia. Dialah gadis elektro yang bakal menggegarkan pentas dunia dengan ritma tekno gubahannya!