Langgan

Kenali PCOS, Masalah Wanita Yang Semakin Mendapat Perhatian

Polikistik Ovari Sindrom (PCOS) sering terjadi di kalangan wanita. Walaupun penyakit ini sudahpun wujud sekian lama, namun PCOS kini semakin hangat menjadi topik perbualan wanita muda hari ini.
3 minit untuk membaca
Published: May 7, 2025

Polikistik Ovari Sindrom (PCOS) sering terjadi di kalangan wanita. Walaupun penyakit ini sudahpun wujud sekian lama, namun PCOS kini semakin hangat menjadi topik perbualan wanita muda hari ini.

Semakin hari semakin kerap saya mendengar permasalahan ini yang terjadi pada teman sekeliling. Sebagai seorang wanita, sudah semestinya saya juga merasa bimbang dan sering berfikir jika ia suatu hari menimpa saya. Baru-baru ini bertemu dengan seorang teman, dia turut meluahkan bagaimana dirinya mula didiagnosa dengan penyakit PCOS ini. Perit mendengar ceritanya kerana dia harus melalui penderitaan sakit perut yang tidak terhingga sewaktu mula mendapat tahu dia mengalami sindrom PCOS ini.

Saya mendapatkan informasi yang lebih tepat dengan menemu bual doktor perubatan yang bertempat di Kuala Lumpur untuk dekati dengan lebih dekat lagi tentang penyakit wanita ini.

Gambar: Pexels

Kenali PCOS Bersama Dr. Widyaningsih, Doktor Perubatan Awam

1) Apakah itu PCOS dan bagaimana ia memberi kesan kepada kesihatan wanita?

PCOS atau nama panjangnya adalah Polycystic Ovarian Syndrome. Ia memiliki tiga karakteristik utama iaitu kitaran haid yang tidak teratur, Hirsutisme (pertumbuhan rambut berlebihan) juga ovari polikistik (namun tidak semua wanita dengan sindrom PCOS akan mengalami simptom cyst ini). Untuk mengesan sindrom ini, anda haruslah memiliki dua karakter daripada senarai tersebut.

Secara amnya, ia adalah keadaan ketidakseimbangan hormon semasa tahun reproduktif akibat ovari (organ yang menghasilkan dan melepaskan telur) menghasilkan hormon yang berlebihan. Di Malaysia sahaja, ia sudahpun mempengaruhi sekitar 11 peratus populasi wanita. 

Isu utama yang timbul daripada PCOS ini sudah tentu dimana ia memberi kesan kepada kesuburan. Pada masa kini, jumlah kes ketidaksuburan yang dikaitkan dengan PCOS ini turut dilihat semakin meningkat. 

2) Apakah simtom kebiasaan yang dialami pesakit PCOS dan bagaimana wanita boleh mengesannya sedari awal?

Kitaran haid yang tidak tetap, pertumbuhan jerawat, pertumbuhan rambut berlebihan yang tidak diingini pada wajah dan tubuh badan seperti yang saya katakan tadi antara simptom kebiasaan. Bukan itu sahaja, berat badan yang bertambah, tompok-tompok kulit yang tebal dan menggelap (acanthosis nigricans) juga ketidaksuburan antara faktor yang boleh dikesan awal pada pesakit PCOS.

3) Bagaimana PCOS didiagnosis? Adakah terdapat ujian khusus?

Lebih mudah didiagnosis melalui pemeriksaan klinikal juga melalui sejarah perubatan pesakit. Doktor juga akan mencadangkan untuk melalukan ujian darah termasuklah ujian glukosa darah serta memeriksa tahap hormon dalam tubuh. Ultrasound pelvik juga amat berguna untuk memeriksa keadaan ovari di mana ia boleh mengesan kista kecil (cyst) pada bahagian ovari ini.

4) Adakah anda melihat peningkatan kes PCOS kebelakangan ini? Jika ya, mengapa anda berpendapat demikian?

Ya, secara amnya dalam populasi hari ini, kes dilihat semakin meningkat naik. Pada pendapat saya, ia mungkin disebabkan oleh peningkatan obesiti dalam populasi, perubahan gaya hidup seperti kekurangan senaman fizikal, pemakanan yang tidak sihat berserta faktor tekanan. Sebab lain untuk peningkatan trend PCOS dalam masyarakat adalah kerana ramai wanita kini lebih peka dan mempunyai akses yang lebih mudah kepada alat diagnostik yang membawa kepada diagnosis yang lebih tepat dan tepat pada masanya, menyebabkan jumlah kes yang dilaporkan semakin meningkat.

5) Bagaimana PCOS mempengaruhi kesuburan dan apakah rawatan yang tersedia bagi mereka yang ingin hamil?

Dalam PCOS, ovari menghasilkan tahap hormon yang sangat tinggi yang dipanggil androgen. Ini menyebabkan hormon reproduktif menjadi tidak seimbang, menyebabkan haid yang tidak teratur, haid terlepas dan ovulasi yang tidak dapat diramal. 

Buat mereka yang ingin hamil, antara rawatan yang boleh dicuba adalah menerusi perubahan gaya hidup termasuk kawalan diet dan senaman yang teratur. Bagi mereka yang menghadapi masalah berat badan, doktor akan mencadangkan untuk menurunkan berat badan terlebih dahulu.

Selain itu, doktor akan mencadangkan untuk mengambil ubat-ubatan untuk merangsang ovulasi seperti clomiphene. Rawatan IVF juga antara pilihan wanita hari ini jika amalan ubat yang diambil tidak berkesan. 

6) Apakah pilihan rawatan terbaik untuk PCOS? Adakah ubat sentiasa diperlukan?

Sebenarnya tiada sebarang rawatan tetap dan spesifik untuk merawat panyakit PCOS ini. Doktor anda akan merancang rawatan berdasarkan simptom anda, sejarah perubatan, sebarang keadaan kesihatan lain yang berkaitan dan sama ada anda merancang untuk hamil atau tidak. Cadangan rawatan doktor biasanya boleh merangkumi ubat-ubatan, perubahan gaya hidup atau juga gabungan kedua-duanya.

Sebagai contoh, doktor akan mencadangkan pengawalan kelahiran hormon atau pil. Ini bertujuan untuk mengatur kitaran haid. Ubat penambah sensitiviti insulin seperti metformin di amana ia untuk membantu tubuh anda memproses insulin. Cadangan perubahan gaya hidup di mana mengamalkan pemakanan berkhasiat dan mengekalkan berat badan ideal.

7) Apakah nasihat yang akan anda berikan kepada seseorang yang baru didiagnosis dengan PCOS?

Pertama sekali, nasihat saya adalah untuk tidak terlalu risau tentang PCOS. Ia bukanlah penghujung segalanya, terutamanya jika anda sedang berusaha untuk hamil. Ia adalah keadaan yang boleh anda atasi jika anda mengawalnya dengan cara yang betul. Jika anda merasa seperti ada mengalami mana-mana simptom ini, jangan sesekali ragu untuk mendapatkan nasihat perubatan daripada doktor anda. Jangan mencuba untuk membuat diagnosis sendiri atau merawat diri sendiri. Dan ingat, gaya hidup yang sihat boleh mengubah diagnosis anda.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down