
Kendrick Lamar menjalani tahun yang luar biasa. Selepas mengubah persengketaannya dengan Drake menjadi lima kemenangan Grammy dan satu persembahan separuh masa di Super Bowl 2025, rapper ini kini melangkah lebih jauh sebagai duta rasmi Chanel. Dalam kempen kaca mata Chanel musim bunga 2025 yang dirakam oleh Karim Sadli, Kendrick bergandingan dengan bintang-bintang ternama seperti Lupita Nyong’o, Margaret Qualley dan Nana Komatsu.
Menurut Chanel, projek ini melambangkan generasi seni yang berani serta menandakan permulaan era baharu yang lebih berani untuk jenama tersebut. Bagi artis yang juga pemenang Hadiah Pulitzer ini, Chanel menyatakan, “Kendrick adalah seorang penghibur di kemuncak kerjayanya.”

Kendrick sememangnya memiliki pemahaman mendalam tentang fesyen dan kekuatan mesej yang dapat disampaikan melalui seni visual. Daripada metafora tersembunyi dalam busana khas Martine Rose dalam video muzik 'Not Like Us', hinggalah rantai huruf kecil “a” yang dipakainya ketika persembahan separuh masa Super Bowl, setiap pilihan bergaya membawa makna tersendiri. Sejak tahun 2020, Kendrick bekerjasama dengan penggaya selebriti Taylor McNeill, yang membantu memperbaharui gayanya. McNeill, yang juga merupakan stylist kepada Margaret Qualley (seorang duta Chanel) turut bertanggungjawab menghidupkan kembali gaya Timothée Chalamet, menyarungkannya dalam rekaan khas Chrome Hearts hingga ke arkib Prada semasa jelajah promosi filem 'A Complete Unknown' menuju Anugerah Oscar.

Bagi Kendrick, McNeill telah menjadi tunjang gayanya sejak awal perjalanannya bersama Chanel. Pada tahun 2023, rapper itu menghadiri Met Gala yang menghormati Karl Lagerfeld dengan mengenakan jaket bomber berlapik rekaan bekas pengarah kreatif rumah fesyen itu, Virginie Viard. Tidak lama kemudian, dia tampil di pertunjukan haute couture musim luruh 2023 Chanel, mengenakan jaket tweed putih daripada koleksi pakaian wanita, digayakan bersama rantai mutiara, skaf sutera bercetak logo yang dililit pada topi besbol, dan tentunya, kaca mata hitam – satu interpretasi genderless yang berjaya mengalihkan elemen pakaian wanita ke dalam fesyen lelaki. Penampilannya turut mencerminkan semangat zaman ini, di mana pereka wanita seperti Martine Rose, Grace Wales Bonner, dan Bianca Saunders mendominasi fesyen lelaki dengan suntikan ekspresionisme era '80-an, sementara pentas wanita seperti Saint Laurent dan Fendi menyaksikan kebangkitan semula kuasa sut korporat.
Tahun lalu, kedua-dua figura hebat ini berkolaborasi secara rasmi; Kendrick bukan sahaja terlibat dalam pembinaan set haute couture musim bunga 2024 Chanel, malah dia turut melancarkan sebuah filem pendek bertajuk 'The Button' sempena acara tersebut.
“Chanel mempunyai warisan yang abadi dan itu adalah sesuatu yang saya sentiasa sokong. Memandangkan mereka tidak menghasilkan pakaian lelaki, saya tahu ia pastinya berkaitan dengan kaca mata,” kata Kendrick.
Ahli sejarah dan teori fesyen, Rian Phin, berpendapat bahawa kaca mata merupakan permulaan yang sempurna untuk kerjasama ini. “[Kendrick] boleh membantu memperluaskan audiens Chanel,” katanya kepada ELLE.com. “Saya rasa dia boleh mempelbagaikan fesyen lelaki secara keseluruhan dan mengembangkan idea tentang apa yang boleh menarik minat lelaki, seperti yang dilakukannya dengan seluar jean potongan kembang [Celine] di Super Bowl. Aksesori adalah pintu masuk mudah untuk melibatkan peminatnya dalam naratif fesyennya.”
Meskipun Chanel pernah melantik duta lelaki seperti Timothée Chalamet untuk kempen pewanginya sebelum ini, jenama tersebut secara tradisi tidak pernah menghasilkan koleksi pakaian lelaki. Dalam perkembangan lain, bekas pengarah kreatif Bottega Veneta, Matthieu Blazy, dijangka membuat kemunculan sulungnya di pentas peragaan Chanel semasa Minggu Fesyen Paris pada Oktober ini. Kemahirannya di Bottega terkenal dengan pendekatan tanpa jantina; bukan sahaja pentas peragaannya dipuji, malah beg bahu Andiamo rekaannya turut menjadi kegemaran gaya jalanan selebriti lelaki seperti Jacob Elordi (yang kadangkala dilihat membawa sehingga tiga sekaligus) dan Omar Apollo. Mungkin juga pelantikan Kendrick sebagai duta Chanel ini merupakan satu lagi ‘Easter egg’ fesyen yang tersembunyi.
Artikel asal daripada ELLE US.