
Selamat datang ke Singapura, kota kosmopolitan yang sarat dengan gaya hidup kentemporari! Inilah destinasi pilihan H&M bagi meraikan koleksi musim bunga/panas 2025 mereka yang terbaharu. ELLE berasa amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama meraikan acara sulung H&M dalam mempersembahkah koleksi S/S 2025 ini di kalangan rantau Asia Tenggara. Dan, kami benar-benar jatuh cinta dengan keselurahan koleksi ini!

Ketika tirai acara utama dibuka pada 10 April lalu, perkarangan Hotel Artyzen, Singapore diserikan dengan kehadiran bintang-bintang jemputan yang mencuri tumpuan. Masing-masing kelihatan menawan dan memukau, menggayakan pakaian daripada koleksi yang diraikan itu. Para selebriti diterbangkan khas dari serata Asia, termasuk dari Filipina, Vietnam, Malaysia dan juga selebriti yang beralamat di Singapura.



Mewakili negara Malaysia, nama yang hadir termasuk pasangan selebriti Scha Alyahya dan Awal Ashaari, Azira Shafinaz, serta ahli kumpulan M-pop sensasi DOLLA - Sabronzo, Angel dan Tabby. Malah, Huening Bahiyyih daripada kumpulan K-pop Kep1er turut menyemarakkan lagi suasana dan diikuti dengan persembahan mengejut daripada penyanyi-penulis lagu berbakat, Regina Song!



Istimewa musim ini, koleksi H&M S/S 2025 meraikan semangat kewanitaan menerusi pelbagai aspek - menyelami emosi, perasaan dan cerminan identiti wanita. Menerusi kempennya, H&M menghimpunkan figura-figura wanita masa kini seperti Tyla, FKA twigs dan Caroline Polachek. Bahkan, koleksi ini diperkenalkan dalam dua bahagian yang memancarkan estetika berlainan, namun kedua-duanya saling melengkapi satu sama lain dengan sempurna.

H&M S/S 2025 Chapter 1:
Untuk koleksi bahagian pertama, H&M menampilkan stail ala boho ethereal yang stylish. Ia menggabungkan elemen glam rock, androgini New Romantic dan gaya bebas festival. Setiap helaian diberi pendekatan moden yang diolah daripada gaya era 70-an dengan cita rasa era 90-an. Fabrik yang dipilih menonjolkan kemewahan tekstur, manakala palet rona lembut membangkitkan rasa nostalgia musim panas. Dalam nada yang berbeza, corak kulit ular pada helaian tertentu menambah sentuhan berani dan dramatik pada naratif keseluruhan koleksi.
H&M S/S 2025 Chapter 2:
Bahagian kedua koleksi pula diteruskan dengan pendekatan yang lebih sofistikated. Siluet lebih kemas menggantikan stail boho pada bahagian pertama, namun masih mengekalkan elemen ethereal. Gaya minimalis era 90-an ini diberi sentuhan romantik kontemporari melalui fabrik ringan seperti sheer tencel, organza dan juga jacquard yang membentuk struktur. Palet warna neutral seperti kelabu, merah jambu lembut dan beige memberi nafas segar, manakala perincian manik mikro, kristal dan hiasan logam kecil menambah kilauan elegan.
Kunjungi butik H&M berdekatan anda atau layari laman web rasmi untuk mendapatkan koleksi eksklusif ini.